1Kemudian Nahas, orang Amon itu, naik, dan berkhemah bertentangan Yabeshgilead: dan semua orang Yabesh berkata kepada Nahas, Buatlah suatu waad bersama kami, dan kami akan menjadi takluk kepadamu.
2Dan Nahas, orang Amon itu, menjawab mereka, Dengan syarat ini aku akan berwaad dengan kalian, iaitu aku dapat mencungkil semua mata kanan kalian, dan mempamerkannya sebagai aib kepada seluruh Israel.
3Dan para penatua Yabesh berkata kepadanya, Berilah kami tujuh hari penangguhan, supaya kami dapat mengutus para utusan kepada seluruh persisiran Israel: dan kemudian, jika tiada orang yang datang untuk menyelamatkan kami, maka kami akan keluar kepadamu.
4Kemudian sampailah para utusan ke Gibeah, tempat Saul, dan menyampaikan berita itu ke telinga orang-orang itu: dan semua orang itu menaikkan suara mereka, dan menangis.
5Dan, lihatlah, Saul datang menyusul ternakan lembu dari ladang; dan Saul berkata, Apakah yang menyusahkan umat sehingga mereka menangis? Dan mereka memberitahunya berita akan orang-orang Yabesh.
6Dan Roh Allah turun ke atas Saul ketika dia mendengar berita itu, dan kemarahannya dinyalakan dengan sungguh hebat.
7Dan dia mengambil sepasang kuk lembu, dan menetak-netakkannya sampai berpotong-potong, dan menghantarnya menerusi seluruh persisiran Israel melalui tangan para utusan dengan berkata, Barang siapa yang tidak keluar mengikuti Saul dan Samuel, demikianlah ini akan dilakukan kepada lembu-lembunya. Dan takut akan TUHAN menimpa umat itu, dan mereka keluar sebulat hati.
8Dan ketika Saul menghitung bilangan mereka di Bezek, bani Israel berbilangan tiga ratus ribu, dan orang lelaki Yehuda pula tiga puluh ribu.
9Dan mereka berkata kepada para utusan yang datang, Demikianlah kalian akan berkata kepada orang Yabeshgilead, Pada hari esok, pada waktu matahari menjadi panas, kalian akan mendapat bantuan. Dan para utusan itu datang dan menunjukkan itu kepada orang Yabesh; dan mereka beroleh gembira.
10Oleh sebab itu, orang Yabesh berkata, Pada hari esok akan kami keluar kepada kalian, dan kalian akan berbuat kepada kami segala yang dianggap elok pandangan kalian.
11Dan ia terjadilah demikian pada hari esok, bahawa Saul membahagi umat itu kepada tiga pasukan; dan mereka sampai ke tengah-tengah angkatan itu pada kawal pagi, lalu membunuh orang Amon sampai hari panas: dan terjadilah, bahawa orang yang tertinggal bertempiaran, sehingga dua orang pun tidak berada bersama.
12Dan umat itu berkata kepada Samuel, Siapakah orang yang berkata, Akankah Saul memerintah atas kami? bawalah orang-orang itu, supaya kami dapat membunuh mereka.
13Dan Saul berkata, Tiada seorang pun yang akan dibunuh pada hari ini: sebab pada hari ini TUHAN telah menempa keselamatan di Israel.
14Kemudian Samuel berkata kepada umat itu, Marilah, dan biar kita pergi ke Gilgal, dan memperbaharui kerajaan di sana.
15Dan semua orang pergi ke Gilgal; dan di sana mereka menjadikan Saul raja di hadapan TUHAN di Gilgal; dan di sana mereka mengorbankan korban-korban persembahan damai sejahtera di hadapan TUHAN; dan di sana Saul dan semua orang Israel bersukacita dengan hebat sekali.