1Paulus, seorang rasul, (bukan daripada manusia, dan juga bukan oleh manusia, tetapi oleh Yesus Kristus, dan Allah Bapa, yang telah membangkitkannya daripada mati;)
2Dan daripada semua saudara yang berada bersamaku, kepada gereja-gereja di Galatia:
3Rahmat menyertaimu dan damai sejahtera daripada Allah Bapa dan daripada Tuhan kita, Yesus Kristus,
4Yang telah menyerahkan dirinya bagi dosa-dosa kita, supaya dia dapat melepaskan kita daripada dunia semasa yang jahat ini, menurut kehendak Allah dan Bapa kita:
5Baginyalah kemuliaan untuk selama-lamanya! Amin.
6Aku hairan bahawa kalian begitu cepat teralih daripada dia yang telah memanggil kalian ke dalam rahmat Kristus kepada suatu injil yang lain:
7Yang bukanlah injil; tetapi ada sesetengah orang yang mengacau kalian, dan ingin memutarbalikkan injil Kristus.
8Tetapi jika kami, atau suatu malaikat daripada syurga, mengkhutbahkan kepada kalian apa pun injil yang lain daripada apa yang telah kami khutbahkan kepada kalian, biarlah dia terkutuk.
9Seperti yang kami sudah katakan, demikian aku mengatakan semula, Jika sesiapa pun mengkhutbahkan kepada kalian apa pun injil yang lain daripada apa yang kalian telah terima, biarlah dia terkutuk.
10Sebab adakah aku sekarang memujuk manusia, atau Allah? atau adakah aku mencari-cari kesenangan manusia? sebab jika aku masih ingin menyenangkan manusia, aku tidak patut menjadi hamba Kristus.
11Tetapi aku mengesahkan kepada kalian, saudara-saudara, bahawa injil yang telah dikhutbahkan aku itu bukan menurut manusia.
12Sebab aku tidak menerimanya daripada manusia, dan juga tidak diajarkannya, tetapi ia melalui wahyu daripada Yesus Kristus.
13Sebab kalian telah mendengar tentang perangaiku pada masa dahulu dalam agama orang Yahudi, iaitu betapa aku telah dengan tidak terhingga menganiaya gereja Allah, dan melumpuhkannya:
14Dan beroleh maju di dalam agama orang Yahudi mengatasi banyak orang sebayaku di negaraku sendiri, sebagai orang yang sungguh teramat ghairah akan tradisi bapa leluhurku.
15Tetapi sewaktu ia berkenan kepada Allah, yang telah mengekhaskanku sejak dari rahim ibuku, dan telah memanggilku oleh rahmatnya,
16Untuk menyatakan Anaknya di dalamku, supaya aku dapat mengkhutbahkannya di antara orang kafir; sejurus kemudian aku tidak berunding dengan daging dan darah:
17Dan aku juga tidak pergi ke Yerusalem kepada mereka yang menjadi rasul sebelum aku; tetapi aku berangkat ke tanah Arab, dan seterusnya kembali semula ke Damsyik.
18Kemudian, selepas tiga tahun, aku pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Petrus, dan berdiam bersama-samanya untuk lima belas hari.
19Tetapi bagi rasul-rasul yang lain, aku tidak melihat mereka kecuali Yakobus, iaitu saudara lelaki Tuhan itu.
20Apa yang kutuliskan kepada kalian, lihatlah, di hadapan Allah, aku tidak berbohong.
21Selepas itu, aku sampai ke daerah-daerah Siria dan Kilikia;
22Dan rupaku tidak dikenali oleh gereja-gereja Yudea yang berada dalam Kristus:
23Tetapi mereka hanya telah mendengar, Bahawa dia yang telah menganiaya kita pada masa silam sekarang sedang mengkhutbahkan iman yang dahulu dibinasakannya.
24Dan mereka memuliakan Allah dalam aku.