Genesis 38

Kejadian 38

1Dan terjadilah pada waktu itu, bahawa Yehuda turun meninggalkan saudara-saudaranya, dan berpaling kepada salah seorang Adulam, yang namanya Hira.

2Dan Yehuda nampak di sana seorang anak perempuan kepada salah seorang Kanaan; yang bernama Syua; dan Yehuda mengambil dia, dan menghampirinya.

3Dan perempuan itu mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki; dan dia memanggil namanya Er.

4Dan dia mengandung sekali lagi, lalu melahirkan seorang anak lelaki; dan dia memanggil namanya Onan.

5Dan dia sekali lagi mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki; dan memanggil namanya Syela: dan dia berada di Kezib, ketika anak itu dilahirkan.

6Dan Yehuda mengambil seorang isteri bagi Er, anak sulungnya, dan isteri itu bernama Tamar.

7Dan Er, anak sulung Yehuda, adalah durjana di mata TUHAN; lalu TUHAN membunuh dia.

8Dan Yehuda berkata kepada Onan, Hampirilah isteri abangmu, dan berkahwin dengannya, lalu bangunkan benih bagi abangmu.

9Dan Onan tahu bahawa benih itu tidak akan jadi kepunyaannya; dan terjadilah, ketika dia menghampiri isteri abangnya, bahawa dia melepaskannya ke tanah, supaya jangan dia memberi benih kepada abangnya.

10Dan hal yang dia buat itu tidak menyukakan TUHAN: lantaran itu, TUHAN membunuh dia juga.

11Kemudian Yehuda berkata kepada Tamar, menantu perempuannya, Tinggallah sebagai seorang balu di rumah ayahmu, sehingga Syela anak lelakiku membesar: sebab dia berkata, Supaya jangan kemungkinan dia juga mati, seperti abang-abangnya. Dan Tamar pergi dan tinggal di rumah ayahnya.

12Dan dalam perlanjutan masa, anak perempuan Syua, isteri Yehuda, pun mati; dan Yehuda dihiburkan, lalu pergi naik kepada para penggunting bulu dombanya di Timna, iaitu dia bersama-sama sahabatnya, Hira, orang Adulam itu.

13Dan itu diberitahu kepada Tamar, dengan berkata, Lihatlah, ayah mentuamu naik ke Timna untuk menggunting bulu domba-dombanya.

14Dan dia menanggalkan pakaian balu daripada dirinya, dan menutupi diri dengan selubung, dan membalutkan dirinya, lalu duduk di tempat terbuka, yang merupakan jalan menuju ke Timna; sebab dia nampak bahawa Syela sudah besar, dan dia tidak diberi kepada Syela sebagai isteri.

15Ketika Yehuda melihatnya, dia menganggapnya sebagai seorang perempuan sundal; kerana dia telah menutupi mukanya.

16Dan Yehuda berpaling menuju ke arahnya di pinggir jalan, dan berkata, Marilah, aku mohon kepadamu, biar aku masuk kepadamu; (sebab dia tidak tahu bahawa dia merupakan menantu perempuannya.) Dan perempuan itu berkata, Apakah yang akan kamu beri kepadaku, supaya kamu dapat masuk kepadaku?

17Dan dia berkata, Aku akan mengutus kepadamu seekor anak dari kawanan itu. Dan dia berkata, Akankah kamu memberiku tanda jaminan, sehingga kamu mengutusnya?

18Dan dia berkata, Apakah tanda jaminan yang harus kuberi kepadamu? Dan dia berkata, cincin meteraimu, dan gelang-gelang tanganmu, dan tongkatmu yang ada pada tanganmu. Dan Yehuda memberi itu kepadanya, lalu masuk kepadanya, dan perempuan itu mengandung melaluinya.

19Dan perempuan itu bangkit, dan pergi, dan menanggalkan selubungnya daripada dirinya, dan mengenakan pakaian kejandaannya itu.

20Dan Yehuda mengirim anak kambing itu oleh tangan sahabatnya, orang Adulam itu, untuk menerima balik tanda jaminannya dari tangan perempuan itu: tetapi dia tidak menemui perempuan itu.

21Kemudian dia menanya lelaki di tempat itu, dengan berkata, Di manakah perempuan sundal itu, yang dengan terbuka berada di pinggir jalan? Dan mereka berkata, Tiada perempuan sundal di tempat ini.

22Dan dia pulang ke Yehuda, dan berkata, Aku tidak dapat menemuinya; dan juga lelaki di tempat itu berkata, bahawa tiada perempuan sundal di tempat ini.

23Dan Yehuda berkata, Biar perempuan itu mengambil barang-barang itu, supaya jangan kita dimalukan: lihatlah, aku mengirim anak kambing ini, dan kamu tidak menemuinya.

24Dan terjadilah di sekitar tiga bulan kemudian, bahawa ia diberitahu Yehuda, dengan berkata, Tamar, menantu perempuanmu itu sudah main sundal; dan juga, lihatlah, dia sekarang mengandung melalui pelacuran. Dan Yehuda berkata, bawalah dia menampil, dan biar dia dibakar.

25Dan sesudah dia dibawa menampil, dia mengirim kepada ayah mentuanya, dengan berkata, Oleh lelaki ini, yang empunya barang-barang ini, aku mengandung: dan dia berkata, Camlah, aku mohon kepadamu, barang-barang siapakah ini, cincin meterai, dan gelang-gelang tangan, dan tongkat.

26Dan Yehuda memperakui barang-barang itu, dan berkata, Perempuan itu lebih benar daripada diriku; kerana aku tidak memberinya Syela anak lelakiku. Dan Yehuda tidak mengenal perempuan itu lagi.

27Dan terjadilah, pada waktu perempuan itu bersalin, bahawa, lihatlah, ada anak kembar di dalam rahimnya.

28Dan terjadilah, ketika dia bersalin, bahawa salah satu mengeluarkan tangannya: dan bidan itu mengambil dan mengikat benang kirmizi pada tangannya, dengan berkata, Yang ini pertama keluar.

29Dan terjadilah, sementara dia menarik balik tangannya, bahawa, lihatlah, saudaranya pula yang keluar: dan bidan itu berkata, Bagaimana pula telah kamu merebut keluar? pelanggaran ini kamu tanggung: oleh sebab itu namanya dipanggil Peres.

30Dan selepas itu saudaranya keluar, yang ada benang kirmizi yang diikat pada tangannya itu: dan namanya dipanggil Zerah.