1 Korintus 13

1 Corinthians 13

1Walaupun aku berbicara dengan lidah manusia bahkan lidah malaikat, dan tidak mempunyai belas ihsan, maka aku sudah menjadi seperti bunyi bras dan simbal yang berdenting.

2Dan walaupun aku ada kurnia bernubuat, dan memahami segala misteri dan segala pengetahuan; dan walaupun aku ada segala iman sehingga dapat mengalihkan gunung, dan tidak mempunyai belas ihsan, maka aku kosong sahaja.

3Dan walaupun aku menyerahkan segala harta bendaku untuk memberi makan kepada orang miskin, dan walaupun aku menyerahkan tubuhku untuk dibakar, dan tidak mempunyai belas ihsan, maka itu semua tidak menguntungkanku.

4Belas ihsan itu sabar menderita, dan adalah murah hati; belas ihsan itu tidak beriri hati; belas ihsan itu tidak membesar-besarkan dirinya sendiri, ia tidak sombong,

5Tidak berkelakuan tidak wajar, tidak mencari kepentingannya sendiri, tidak mudah diprovokasi, tidak memikirkan kejahatan;

6Tidak bersuka dalam kedurjanaan, tetapi bersuka dalam kebenaran;

7Menanggung segala sesuatu, percaya segala sesuatu, berharap segala sesuatu, bertahan segala sesuatu.

8Belas ihsan tidak akan luput: tetapi jika ada nubuat, itu akan luput; jika ada bahasa lidah, itu akan berhenti; jika ada pengetahuan, itu akan lenyap.

9Sebab kita tahu separa dan kita bernubuat separa.

10Tetapi apabila apa yang sempurna itu datang, maka apa yang separa itu akan disingkirkan.

11Ketika aku seorang budak, aku berbicara seperti seorang budak, aku memahami seperti seorang budak, aku berfikir seperti seorang budak: tetapi ketika aku menjadi dewasa, aku mengetepikan apa yang kebudakan itu.

12Sebab sekarang kita melihat melalui cermin dengan samar-samar; tetapi kemudian pula dengan bersemuka: sekarang aku tahu separa; tetapi kemudian pula aku akan mengenal sepertimana aku juga dikenal.

13Dan sekarang tinggal tiga ini: iman, harapan, dan belas ihsan; tetapi yang paling besar antaranya ialah belas ihsan.