Matius 3

Matthew 3

1Pada zaman itu, Yohanes Pembaptis datang, dan berkhutbah di padang gurun Yudea,

2Dan berkata, Bertaubatlah kalian: kerana kerajaan syurga sudah dekat.

3Sebab inilah dia yang telah disebut oleh nabi Yesaya, dengan katanya, Ada suara seorang yang berseru-seru di padang gurun, Kalian persiapkanlah jalan Tuhan, luruskanlah jalan-jalannya.

4Dan Yohanes yang sama itu berpakaian bulu unta, dan memakai ikat pinggang kulit pada pinggangnya; dan makanannya belalang dan madu liar.

5Kemudian mendatanginya Yerusalem, dan seluruh Yudea, dan seluruh daerah yang di sekitar Yordan,

6Dan mereka dibaptis olehnya di Yordan, sementara mengakui dosa-dosa mereka.

7Tetapi apabila dia nampak banyak orang Farisi dan orang Saduki datang ke pembaptisannya, dia berkata kepada mereka, Hai generasi ular kapak, siapakah yang telah memberi amaran kepada kalian untuk melarikan diri daripada murka yang akan datang?

8Maka, hasilkanlah buah yang sesuai dengan pertaubatan:

9Dan jangan fikir untuk berkata sesama dirimu, Kami ada Abraham sebagai bapa leluhur kami: sebab aku berkata kepada kalian, bahawa Allah mampu membangunkan anak-anak bagi Abraham dari batu-batu ini.

10Dan sekarang juga kapak sudah ada pada akar pokok: oleh sebab itu, setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang, dan dibuang ke dalam api.

11Aku memang membaptis kalian dengan air bagi pertaubatan: tetapi dia yang datang selepas aku lebih kuat daripada aku, dia yang kasutnya pun aku tidak layak untuk bawa: dia akan membaptis kalian dengan Roh Kudus, dan dengan api:

12Dia yang kipasnya ada pada tangannya, dan dia akan membersihkan lantainya dengan menyeluruh, dan mengumpulkan gandumnya ke dalam lumbung; tetapi dia akan membakar sekam dengan api yang tidak dapat dipadamkan.

13Kemudian datanglah Yesus dari Galilea ke Yordan kepada Yohanes, untuk dibaptis oleh dia.

14Tetapi apabila Yohanes mencegah dia dengan berkata, Aku ada keperluan untuk dibaptis oleh engkau, dan engkau pula datang kepadaku?

15Dan Yesus menjawabnya dengan berkata, Izinkan ia sedemikian sekarang: sebab demikianlah sepatutnya kita menggenapi segala kewajaran. Maka Yohanes pun mengizinkannya.

16Dan Yesus, apabila dia dibaptis, terus naik keluar dari air: dan, lihatlah, syurga itu terbuka kepadanya, dan dia melihat Roh Allah turun seperti seekor burung merpati putih dan menghinggapinya:

17Lalu terdengarlah suatu suara dari syurga yang berkata, Inilah Anakku yang terkasih, Anak yang aku sungguh berkenan.