1Pada tahun pertama Darius anak Ahasyweros, yang daripada benih orang Media, dan yang telah dijadikan raja ke atas seluruh kerajaan orang Kasdim;
2Pada tahun pertama pemerintahannya, aku, Daniel, memahami melalui kitab-kitab bilangan tahun itu, sepertimana firman TUHAN yang datang kepada nabi Yeremia, bahawa TUHAN akan melaksanakan tujuh puluh tahun dalam pemusnahan Yerusalem.
3Dan aku mengarahkan mukaku kepada Tuhan Allah, untuk mencari-cari melalui doa dan rayuan, dengan puasa, dan mengenakan kain kabung, dan abu:
4Dan aku berdoa kepada TUHAN Allahku, dan membuat pengakuanku, dan berkata, Ya Tuhan, Allah yang besar dan yang mengerikan, yang berpegang teguh kepada waad dan belas kasihan kepada mereka yang mengasihi Allah, dan kepada mereka yang mematuhi perintah-perintahnya;
5Kami telah berdosa dan melakukan kedurjanaan, dan telah berbuat jahat, dan telah memberontak, malahan dengan menyimpang daripada ketetapan dan penghakimanmu:
6Kami juga tidak mendengarkan hamba-hamba engkau iaitu nabi-nabi, yang telah berbicara dalam namamu kepada raja-raja kami, penguasa-penguasa kami, dan bapa-bapa leluhur kami, dan kepada semua rakyat tanah itu.
7Ya Tuhan, kewajaran itu bagimu, tetapi bagi kami pula muka malu, sampai kepada hari ini; yakni bagi orang Yehuda, dan bagi para penduduk Yerusalem, dan bagi seluruh Israel, baik yang dekat mahupun yang jauh, menerusi semua negeri ke mana engkau menghalaukan mereka kerana pelanggaran mereka terhadap engkau.
8Ya Tuhan, bagi kami muka malu, bagi raja-raja kami, bagi penguasa-penguasa kami, dan bagi bapa-bapa leluhur kami, kerana kami telah berdosa terhadap engkau.
9Bagi Tuhan dan Allah kita ada belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadapnya;
10Kami juga tidak mentaati suara TUHAN Allah kami, supaya berjalan menurut hukumnya, yang telah dia tetapkan bagi kami melalui nabi-nabi, para hambanya.
11Ya, seluruh Israel telah melanggari hukummu, malahan dengan menyimpang sehingga mereka tidak mentaati suaramu; oleh sebab itu, dicurahkan kutuk itu ke atas kami, dan sumpah itu yang telah tertulis dalam hukum Musa, hamba Allah, kerana kami telah berdosa terhadapnya.
12Dan dia telah mengesahkan firmannya, yang telah dia ucapkan terhadap kami, dan terhadap hakim-hakim kami yang telah menghakimi kami, dengan membawa kepada kami suatu celaka yang besar: sebab di bawah seluruh syurga tidak pernah terjadi seperti yang telah terjadi kepada Yerusalem.
13Sepertimana telah tertulis dalam hukum Musa, segala celaka ini telah menimpa ke atas kami: namun kami tidak berdoa kepada TUHAN Allah kita, supaya kami berpaling daripada kedurjanaan kami, dan memahami kebenaranmu.
14Oleh sebab itu, TUHAN telah menantikan celaka itu, dan mendatangkannya kepada kami: sebab TUHAN Allah kami adalah wajar dalam segala pekerjaannya yang dia buat: sebab kami tidak mentaati suaranya.
15Dan sekarang, Ya Tuhan Allah kami, yang telah membawa keluar umatmu dari tanah Mesir dengan tangan yang kuat, dan telah menjadikanmu terkenal seperti pada hari ini; kami telah berdosa, dan telah berbuat kekejaman.
16Ya Tuhan, berdasarkan segala kewajaranmu, aku merayu kepadamu, biar kemarahanmu dan keradanganmu dipalingkan dari kotamu Yerusalem, yakni gunungmu yang kudus: oleh sebab dosa-dosa kami, dan kedurjanaan bapa-bapa leluhur kami, Yerusalem dan umatmu sudah menjadi suatu keaiban kepada semua yang mengelilingi kami.
17Oleh sebab itu, Ya Allah kami, dengarlah doa hambamu ini, dan rayuan-rayuannya, dan biarlah wajahmu bersinar kepada tempat kudusmu yang termusnah itu, demi Tuhan.
18Ya Allahku, cenderungkan telingamu, dan dengarlah; bukalah matamu, dan lihatlah kemusnahan kami, dan kota itu yang dipanggil menurut namamu: kerana kami tidak membawa rayuan-rayuan kami menghadapmu bagi kewajaran kami, tetapi bagi belas kasihanmu yang besar.
19Ya Tuhan, dengar; Ya Tuhan, ampunilah; Ya Tuhan, endahkanlah dan buat; janganlah menangguhkannya, demi dirimu sendiri, Ya Allahku: kerana kotamu dan umatmu itu dipanggil menurut namamu.
20Dan sementara aku sedang berbicara, dan berdoa, dan mengakui dosaku dan dosa bangsaku Israel, dan membawa rayuanku menghadap Tuhan Allahku bagi gunung kudus Allahku;
21Ya, sementara aku sedang berbicara dalam doa, Gabriel, orang itu sendiri yang telah aku nampak dalam penglihatan pada mulanya, sementara dijadikan untuk terbang dengan laju, menjamahku di sekitar waktu persembahan petang.
22Dan dia memaklumkanku dan bercakap denganku, dan berkata, Wahai Daniel, sekarang aku datang untuk memberimu kemahiran dan pemahaman.
23Pada permulaan rayuan-rayuanmu, perintah telah diberikan, dan aku telah datang untuk memberi petunjuk kepadamu; sebab kamu sungguh dikasihi: oleh itu fahamilah hal ini dan pertimbangkan penglihatan ini.
24Tujuh puluh minggu telah ditentukan ke atas bangsamu dan ke atas kotamu yang kudus, untuk menghabiskan pelanggaran itu, dan untuk menamatkan dosa, dan untuk membuat pendamaian bagi kedurjanaan, dan untuk membawa masuk kewajaran yang abadi, dan untuk memeteraikan penglihatan dan nubuat itu, dan untuk mengurapi Yang Mahakudus.
25Oleh sebab itu, ketahuilah dan fahamilah bahawa dari waktu pemberian perintah untuk memulihkan dan membina Yerusalem sehingga Mesias Putera itu ialah tujuh minggu, dan tiga kali dua puluh minggu dan dua minggu: jalan-jalan dan tembok akan dibina semula meskipun dalam masa kesesakan.
26Dan selepas tiga kali dua puluh minggu dan dua minggu Mesias akan dipotong keluar, tetapi bukan bagi dirinya sendiri: dan rakyat putera yang akan datang akan membinasakan kota itu dan tempat kudus itu; dan penamatannya adalah dengan suatu banjir, dan sampai penamatan peperangan itu pemusnahan telah ditentukan.
27Dan dia akan mengesahkan waad itu dengan banyak orang dalam satu minggu: dan dalam pertengahan minggu itu dia akan menyebabkan korban dan persembahan terhenti, dan bagi kekejian-kekejian yang merebak dia akan menjadikannya memusnahkan, malahan sampai kepada kegenapan, dan apa yang telah ditentukan itu akan dicurahkan ke atas yang musnah itu.