1Dan selepas hal-hal itu aku nampak suatu malaikat lain yang turun dari syurga, sedangkala memiliki kuasa yang besar; dan bumi dicerahkan oleh kemuliaannya.
2Dan dia lantang berseru dengan suara yang kuat, yang berkata, Babel yang agung sudah runtuh, sudah runtuh, dan sudah menjadi tempat kediaman iblis-iblis, dan kubu segala jenis roh busuk, dan sangkar segala jenis burung yang najis dan keji.
3Sebab segala bangsa telah meminum wain murka perzinaannya, dan raja-raja bumi telah berbuat zina dengannya, dan para pedangang di bumi bertambah kaya melalui kemewahannya.
4Dan aku mendengar suatu suara yang lain dari syurga, yang berkata, Keluarlah daripadanya, hai umatku, supaya kalian jangan menjadi peserta dosa-dosanya, dan supaya kalian jangan ditimpa celaka-celakanya.
5Sebab dosa-dosanya sudah mencapai syurga, dan Allah telah mengingat segala kedurjanaannya.
6Berilah ganjaran kepadanya setimpal dengan apa yang dia mengganjari engkau, dan berilah dua kali ganda menurut pekerjaannya: dalam cawan yang telah dia isikan itu isikan dia dengan dua kali ganda.
7Betapa banyak dia telah memuliakan dirinya sendiri, dan hidup dengan penuh kemewahan, timpa sedemikian banyak seksaan dan penderitaan kepadanya: sebab dia telah berkata dalam hatinya, aku bertakhta sebagai permaisuri, dan aku bukan seorang balu, dan tidak akan menemui apa pun penderitaan.
8Oleh sebab itu, celakanya akan datang dalam satu hari, yakni maut, ratapan, dan kebuluran; dan dia akan habis dibakar dengan api: sebab Allah yang menghakiminya itu kuat.
9Dan raja-raja di bumi, yang telah berbuat zina dan hidup mewah bersamanya, akan berkabung dan meratap baginya, ketika mereka nampak asap hasil pembakaran dirinya,
10Sedangkala berdiri jauh-jauh kerana takut akan seksaannya, dan berkata, Aduhai, aduhai, kota Babel yang agung itu, dan yang kuat itu! sebab dalam satu jam penghakimanmu berlangsung.
11Dan para saudagar di bumi akan menangis dan meratap baginya; sebab tiada seorang pun yang membeli barang dagangan mereka lagi:
12Barang dagangan emas, dan perak, dan batu permata yang berharga, dan mutiara, dan linen halus, dan kain ungu, dan sutera, dan merah menyala, dan segala kayu yang berbau harum, dan pelbagai jenis bejana gading, dan pelbagai jenis bejana yang diperbuat daripada kayu yang berharga, dan daripada tembaga, besi dan batu marmar,
13Dan kayu manis, minyak wangi, dan minyak salap, dan kemenyan, dan wain, dan minyak, dan tepung halus, dan gandum, dan binatang, dan domba, dan kuda, dan pedati, dan hamba-hamba, dan jiwa-jiwa manusia.
14Dan buah-buahan yang didambakan jiwamu sudah meninggalkanmu, dan segalanya yang molek dan elok sudah meninggalkanmu, dan kamu langsung tidak akan dapat menjumpainya lagi.
15Para saudagar bagi barangan tersebut, yakni orang yang telah dijadikan kaya oleh dia, akan berdiri jauh-jauh kerana takut akan seksaannya, sedangkala menangis dan meratap,
16Dan berkata, Aduhai, aduhai, kota yang agung itu, yang dulu memakai linen yang halus, dan ungu, dan merah menyala, dan dihiasi dengan emas, dan dengan batu permata yang berharga, dan mutiara!
17Sebab dalam jangka masa sejam kekayaan yang sebegitu besar sudah dilesapkan. Dan semua nakhoda kapal, dan semua orang dalam kapal, dan para kelasi, dan sebanyak mana orang yang berdagang menerusi laut, berdiri jauh-jauh,
18Dan menangis ketika mereka nampak asap hasil pembakaran dirinya, sambil berkata, Kota manakah yang sama dengan kota yang agung ini!
19Dan mereka menghamburkan debu ke atas kepala, dan berseru sambil menangis dan meratap, dengan berkata, Aduhai, aduhai, kota yang agung itu, yang olehnya semua yang ada kapal di laut dijadikan kaya kerana kemahalannya! sebab dalam satu jam dia telah dimusnahkan.
20Bersukacitalah atas dia, hai syurga, dan para rasul dan nabi sekalian yang kudus; sebab Allah telah membalas dendam bagi kalian.
21Dan seorang malaikat kuat mengangkat batu yang serupa dengan batu pengisar besar, lalu melemparkannya ke dalam lautan, dan berkata, Demikianlah dengan keganasan kota agung Babel itu akan dicampak ke bawah, dan tidak akan ditemukan lagi.
22Dan suara para pemain kecapi, dan ahli-ahli muzik, dan para peniup seruling, dan peniup sangkakala, langsung tidak akan lagi kedengaran di dalam kamu; dan tiada lagi ahli pertukangan, dalam apa pun bidang pertukangannya, yang akan ditemukan di dalam kamu; dan bunyi batu pengisar tidak akan lagi kedengaran di dalam kamu;
23Dan cahaya lilin tidak akan menyinar lagi di dalam kamu; dan suara pengantin lelaki dan pengantin perempuan tidak akan lagi kedengaran di dalam kamu: sebab saudagar-saudagarmu merupakan pembesar-pembesar di bumi; sebab melalui sihirmu semua bangsa diperdayakan.
24Dan di dalamnya terdapat darah para nabi, dan orang kudus, dan semua yang telah dibunuh di bumi.