30:25
Semut ialah bangsa yang tidak kuat, namun mereka menyediakan makanan mereka pada musim panas;
Semut berhikmah. Kamu ingat bahawa mereka salah satu makhluk yang paling lemah, tetapi mereka memiliki hikmah yang tidak dimiliki kebanyakan orang. Mereka menyimpan sebahagian daripada keseluruhan pendapatannya untuk dipakai pada masa depan. Mereka bekerja kuat pada musim yang baik, dan dengan mata tertuju ke masa depan, mereka menyimpan makanan bagi waktu kesesakan.
Salomo juga memakai semut untuk menggambarkan hikmah hal ekonomi apabila dia menggesakan anaknya untuk mempertimbangkan ketekunan semut, daya inisiatif mereka tanpa diselia, dan pandangan jauh mereka untuk menyimpan bagi masa depan (Ams 6:6-8). Adakah kamu sebijak semut, atau bolehkah kamu peroleh pelajaran daripada mereka? Adakah kamu mempunyai program simpanan supaya kerap kali menabung? Adakah kamu meninggalkannya tidak disentuh supaya bertumbuh?
Semut boleh dibunuh beratus-ratusan dengan hanya memijak mereka. Walaupun mereka sangat lemah, mereka memakai hikmah untuk menjamin dan melindungi diri sendiri. Lebih-lebih lagi, mereka menjadi makmur kerana hikmah mereka. Pada musim panas, mereka bekerja dengan tekun untuk mengumpulkan sebanyak makanan yang semungkin, yang lalu dipakai sebagai makanan pada musim gugur dan musim bunga apabila berada di bawah tanah. Biasanya semut berhibernasi pada musim sejuk.
Orang berhikmah tidak membelanjakan semua pendapatannya; hanya orang bebal yang habis membelanjakannya (Ams 21:20). Menabung sebahagian daripada pendapatanmu bukanlah suatu pilihan atau cadangan – ia adalah perintah Allah. Kamu harus belajar daripada semut (Ams 6:6-8;30:25); tabung simpanan melindungi dirimu daripada bahaya yang tidak disangkakan pada masa depan (Ams 27:12). Perbuatan tidak menabung sebahagian pendapatanmu ialah sikap memandai yang berdosa (Ams 12:27; 27:24).
Menabung itu haruslah menjadi keutamaan hidup, dan bukan wang sisa selepas perbelanjaan. Jika suatu janji untuk menabung tidak dibuat sebelum berbelanja, ia memang tidak akan dibuat. Membayar bil membayar orang lain; menabung membayar diri sendiri. Hukum ekonomi yang salih adalah mudah sahaja: pertama, bayar Allah dulu (persepuluhan dan persembahan), kedua, bayar dirimu sendiri, dan selepas itu hidup atas baki yang ada. Tidak perlu ada badjet yang canggih atau rancangan kewangan – hidup memakai saki baki yang ada.
Apa yang ditabungkan kamu ialah apa yang kamu bayar kepada dirimu sendiri. Apa yang dibelanjakanmu ialah apa yang kamu bayar orang lain. Berapa banyakkah perbendaharaanmu hasil semua tahun berpeluh, berjerih-perih, menghadapi kesukaran dan kesusahan bekerja? Kamu tidak memiliki apa-apapun daripada semua tahun bekerja itu kecuali akaun simpananmu dan aset bersihmu. Adakah perbuatan membayar diri sendiri, iaitu, menabung sebahagian daripada pendapatanmu, sekarang menjadi lebih bererti? Terima kasih semut!
Menabung kurang 10% daripada pendapatan kasar adalah perbuatan main-main sahaja. Orang berhikmah akan menabung sekurang-kurangnya 10%. Tidak ada banyak perubahan gaya hidup jikalau sikap jimat cermat diamalkan di dalam perbelanjaan yang lain. Kebanyakan majikan zaman kini akan membuat caruman KWSP pada kadar yang lebih kurang sama dengan penabunganmu. Suatu program simpanan mudah adalah senang sahaja. Pertama, bayar Allah dulu (10%+), kedua, bayar dirimu sendiri (10%+), dan lepas itu, hidup seharian dengan baki yang ada. Dengan memakai hanya 80% daripada pendapatanmu, kamu akan lebih menghargai hidup (Ams 27:7). Cubalah itu!
Menabung menghasilkan lagi satu faedah – modal! Bacalah ulasan yang penting di dalam Amsal 14:4. Setiap orang akan ada beberapa peluang di dalam kehidupannya – dipanggil sebagai waktu dan nasib di dalam Alkitab – untuk mendapat wang lumayan (Peng 9:11). Tetapi kamu harus ada modal – simpanan – untuk mengambil kesempatan atas peluang-peluang sebegini. Ada yang memanggil pelaburan ini sebagai modal benih jagung, sebab benih inilah yang ditabur bagi tuaian masa depan. Hikmah semut telah mengajar kamu hal menabung dan hal pelaburan.
Jangan sesekali menyentuh simpanan. Ia adalah untuk masa depan – bagi kecemasan besar dan peluang-peluang besar. Jika semut mengambil cuti dan memakan simpanan makanan mereka, mereka akan mati pada musim gugur dan musim bunga, apabila mereka memerlukan simpanan makanan itu. Jika kamu memerlukan wang yang lebih untuk perbelanjaan yang luar biasa di pertengahan tahun, ia harus datang daripada pengurusan wang yang baik dan perbendaharaan yang lain; ia tidak boleh diperoleh daripada simpananmu. Simpanan modal kamu tidak boleh disentuh; benih jangung kamu tidak boleh dimakan!
Jika kamu melabur modalmu dengan konservatif dan dengan bijak, ia akan bertumbuh sepanjang waktu siang dan malam. Jika kamu membeli bon kerajaan, kamu sedang menjanakan faedah setiap saat waktu siang dan malam (Mat 25:26-27). Jika kamu membeli saham, kamu akan mempunyai banyak orang di banyak syarikat di seluruh dunia yang sedang bekerja bagi kamu siang dan malam. Kamu sedang melipatgandakan kemampuan dan usahamu yang terbatas itu dengan gabungan kemampuan dan usaha banyak orang lain. Terima kasih semut!
Kejayaan kewangan memerlukan ketekunan, disiplin, pengorbanan, ketekalan [konsisten], dan masa. Semutmelakukan kesemua lima hal ini dengan sempurna (Ams 6:6-8; 30:25). Ketekunan ialah kerja keras untuk memperolehi pendapatan yang paling banyak semungkin. Disiplin ialah hal membayar Tuhan dulu dan lepas itu dirimu sendiri, sebelum mula memakai sesen pun daripada pendapatanmu. Pengorbanan ialah kepuasan supaya melepaskan beberapa mainan dan kemewahan yang diinginimu. Ketekalan ialah ketetapan melakukannya tanpa terhenti-henti pada umurmu yang paling berhasil. Masa ialah apa yang membenarkan simpanan untuk bertumbuh.
Jika harta kekayaanmu adalah kecil dan simpananmu sikit sahaja, hai pembaca, ia adalah kerana kamu telah mengabaikan semut dan hikmah Salomo. Tidak pernahkah kamu mendengar bahawa kamu patut menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatanmu bagi masa depan – bagi kecemasan besar dan peluang-peluang besar? Tidak pernahkah kamu mendengar? Atau adakah kamu lebih bebal daripada semut yang menyimpan tanpa pemerintah atau pemimpin?
Bersedia untuk kekekalan di akhirat adalah jauh lebih baik daripada bersedia untuk kewangan masa depanmu. Di sinilah hikmah dalam bentuk yang paling cerah dan tulen. Seperti hamba tidak jujur yang melindungi dirinya daripada kehilangan peluang kerja, Yesus menggesakan anak-anakNya untuk melindungi diri mereka sendiri daripada perhitungan besar yang akan datang pada hari terakhir itu (Luk 16:1-16).Pernahkah kamu memandang kepada masa depan dan memasang suatu dasar yang baik bagi masa yang akan datang (1Tim 6:17-19)? Tuhan Yesus Kristus akan datang tidak lama lagi, dan kamu akan menghadapi suatu kecemasan yang tidak dapat dibandingkan dengan yang lain. Menabunglah kamu bagi hari itu!