2 Samuel 11

2 Samuel 11

1Dan terjadilah, selepas tahun itu sudah berlalu, pada waktu ketika raja-raja pergi ke medan peperangan, bahawa Daud mengutus Yoab, dan hamba-hambanya bersamanya, dan semua Israel; dan mereka membinasakan bani Amon, dan mengepung Kota Raba. Tetapi Daud tetap tinggal di Yerusalem.

2Dan terjadilah pada suatu petang, bahawa Daud bangun dari katilnya, lalu berjalan di atas bumbung istana raja: dan dari bumbung itu dia nampak seorang perempuan yang sedang membasuh diri sendiri; dan perempuan itu sungguh cantik untuk dilihat.

3Dan Daud memanggil orang utusan dan bertanya tentang perempuan itu. Dan salah seorang berkata, Bukankah ini Batsyeba, anak perempuan Eliam, isteri Uria, orang Het itu?

4Dan Daud mengutus para utusan, dan mengambil perempuan itu; dan perempuan itu datang kepadanya, dan dia berbaring bersamanya; sebab perempuan itu telah disucikan daripada kenajisannya: lalu dia kembali ke rumahnya.

5Dan perempuan itu mengandung, dan mengutus orang dan memberitahu Daud pesan, Aku sudah mengandung.

6Dan Daud mengirim perutusan kepada Yoab, dengan berkata, Hantar kepadaku Uria orang Het itu. Dan Yoab mengutus Uria kepada Daud.

7Dan sesudah Uria datang kepadanya, Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab, dan keadaan pasukan, dan bagaimana perkembangan peperangan itu.

8Dan Daud berkata kepada Uria, Pergi ke rumahmu, dan cucilah kakimu. Dan Uria meninggalkan istana raja, dan ada menyusulnya pemberian makanan daripada raja.

9Tetapi Uria tidur di pintu istana raja bersama semua hamba tuannya, dan tidak pergi ke rumahnya.

10Dan setelah mereka memberitahu Daud, dengan berkata, Uria tidak pergi ke rumahnya, Daud berkata kepada Uria, Bukankah kamu datang dari perjalananmu itu? jadi mengapakah kamu tidak pergi ke rumahmu sendiri?

11Dan Uria berkata kepada Daud, Tabut, dan Israel, dan Yehuda, berdiam di dalam khemah; dan tuanku Yoab, dan hamba-hamba tuanku, sedang berkhemah di ladang-ladang yang lapang; maka haruskah aku pergi ke rumahku, untuk makan dan minum, dan untuk berbaring dengan isteriku? sementara tuanku hidup, dan sementara jiwa tuanku hidup, aku tidak akan berbuat sedemikian.

12Dan Daud berkata kepada Uria, Tinggal di sini untuk hari ini juga, dan pada hari esok aku akan membenarkanmu untuk bertolak. Jadi Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu, dan pada keesokan harinya.

13Dan apabila Daud memanggilnya, dia makan dan minum di hadapannya; dan Daud menjadikannya mabuk: dan pada waktu petang dia pergi keluar untuk berbaring di atas katilnya bersama hamba-hamba tuannya, tetapi tidak pergi ke rumahnya.

14Dan terjadilah pada waktu pagi, bahawa Daud menulis suatu surat kepada Yoab, dan mengirimkannya melalui tangan Uria.

15Dan dia menulis di dalam surat itu, dengan berkata, Tempatkanlah Uria di baris depan pertempuran yang paling hangat, dan kalian undur daripadanya, supaya dia dapat diserang, lalu mati.

16Dan terjadilah, setelah Yoab meneliti kota itu, bahawa dia menempatkan Uria di tempat yang dia tahu ada orang yang gagah perkasa.

17Dan orang kota itu keluar, dan bertempur dengan Yoab: dan di sana tewaslah beberapa orang hamba Daud; dan Uria orang Het itu juga telah mati.

18Maka Yoab mengirim perutusan kepada Daud dan memberitahunya segalanya berkenaan peperangan itu;

19Dan dia mengamanatkan orang utusan itu, dengan berkata, Apabila kamu sudah mengakhiri cerita hal-hal peperangan kepada raja,

20Dan jika terjadi bahawa murka raja mulai bangkit, dan dia berkata kepadamu, Mengapakah kalian begitu mendekati kota itu ketika bertempur? tidakkah kalian tahu bahawa mereka akan memanah dari tembok?

21Siapakah yang menyerang Abimelekh anak Yerubeset? Bukankah seorang perempuan, yang menjatuhkan sebuah batu kisaran ke atasnya dari tembok, sehingga dia mati di Tebes? mengapakah kalian pergi dekat tembok itu? maka kamu harus berkata, Hambamu Uria orang Het itu juga sudah mati.

22Jadi utusan itu pergi, dan sesudah sampai dia memberitahu Daud segalanya yang diamanatkan Yoab kepadanya.

23Dan orang utusan berkata kepada Daud, Sesungguhnya orang itu menang atas kami, dan keluar menghadap kami di padang, dan kami menentang mereka sampai ke kawasan masuk pintu gerbang.

24Dan para pemanah memanah hamba-hambamu dari atas tembok; dan beberapa hamba raja telah mati, dan hambamu Uria orang Het itu juga telah mati.

25Maka Daud berkata kepada orang utusan itu, Beginilah kamu akan berkata kepada Yoab, Jangan hal ini menyusahkan hatimu, sebab pedang dapat membinasa seseorang dan juga orang lain: jadikan pertempuranmu itu lebih kuat terhadap kota itu, dan gulingkannya: dan biar kamu menggalakkan hatinya.

26Dan apabila isteri Uria mendengar bahawa Uria, iaitu suaminya sudah mati, dia berkabung bagi suaminya.

27Dan sesudah waktu perkabungan berlalu, Daud mengutus orang lalu menjemputnya ke istananya, dan dia dijadikan isterinya, dan melahirkan kepadanya seorang anak lelaki. Tetapi hal yang dibuat Daud itu tidak menyenangkan hati TUHAN.