Kejadian 32

Genesis 32

1Dan Yakub pergi menurut perjalanannya, dan para malaikat Allah bertemu dengannya.

2Dan ketika Yakub nampak mereka, dia berkata, Inilah angkatan Allah: dan dia memanggil nama tempat itu Mahanaim.

3Dan Yakub mengutus para utusan di hadapannya kepada Esau abangnya ke tanah Seir, negara Edom.

4Dan dia memerintahkan mereka, dengan berkata, Demikianlah kalian akan berkata kepada tuanku Esau; Hambamu Yakub berkata demikian, Aku telah tinggal sementara bersama Laban, dan berdiam di sana sehingga sekarang:

5Dan aku memiliki lembu, dan keldai, kawanan-kawanan, dan hamba-hamba lelaki, dan hamba-hamba perempuan: dan aku telah menyampaikan pesanan untuk memberitahu tuanku, supaya aku dapat memperoleh keredaan di pandanganmu.

6Dan para utusan kembali kepada Yakub, dengan berkata, Kami sampai kepada abangmu, Esau, dan dia juga datang untuk bertemu denganmu, dan dengan empat ratus orang bersamanya.

7Dan Yakub menjadi sungguh takut dan susah hati: lalu dia membahagikan orang-orang yang ada bersamanya, dan kawanan-kawanan domba, lembu, dan unta kepada dua pasukan;

8Dan berkata, Jika Esau datang ke satu pasukan, lalu menyerangnya, maka satu lagi pasukan yang tertinggal dapat melepaskan diri.

9Dan Yakub berkata, Ya Allah kepada datukku, Abraham, dan Allah kepada ayahku, Ishak, TUHAN yang telah berfirman kepadaku, Kembalilah ke negerimu, dan kepada sanak-saudaramu, dan aku akan berbuat baik kepadamu:

10Aku tidak layak menerima yang paling sedikit daripada segala belas kasihan, dan segala kebenaran, yang telah engkau tunjukkan kepada hambamu ini; sebab dengan tongkatku aku menyeberangi sungai Yordan ini; dan sekarang sudah menjadi dua pasukan.

11Selamatkanku, aku mohon kepadamu, daripada tangan abangku, daripada tangan Esau: sebab aku takut kepadanya, supaya jangan dia datang dan menyerangku, dan kaum ibu bersama-sama anak-anak itu.

12Dan engkau telah berfirman, Aku pasti akan berbuat baik kepadamu, dan menjadikan benihmu seperti pasir di lautan, yang tidak dapat dibilang kerana ia banyak.

13Dan dia bermalam di sana pada malam itu juga; dan mengambil daripada apa yang telah datang ke tangannya sebagai suatu persembahan bagi Esau, abangnya;

14Dua ratus kambing bentina, dan dua puluh kambing jantan, dua ratus domba bentina, dan dua puluh domba jantan,

15Tiga puluh unta yang sedang menyusui beserta anak-anaknya, empat puluh lembu bentina, dan sepuluh lembu jantan, dua puluh keldai bentina, dan sepuluh anak-anak keldai.

16Dan dia menyerahkan itu kepada tangan hamba-hambanya, setiap kawanan dipandu berasingan; dan dia berkata kepada hamba-hambanya, Majulah mendahuluiku, dan biar ada jarak di antara setiap kawanan.

17Dan dia memerintahkan barisan yang paling depan, dengan berkata, Ketika Esau, abangku, bertemu denganmu, dan bermohon kepadamu, dengan berkata, Siapakah tuanmu? dan ke manakah kamu pergi? dan siapakah pemilik semua kawanan di depanmu ini?

18Maka kamu akan berkata, Ini semua merupakan milik hambamu Yakub; ia suatu persembahan yang disampaikan kepada tuanku Esau: dan, lihatlah, dia juga berada di belakang kami.

19Dan demikian juga Yakub memerintahkan barisan yang kedua, dan yang ketiga, dan semua yang mengikuti kawanan-kawanan itu, dengan berkata, Demikianlah caranya kalian akan berbicara kepada Esau, ketika kalian menemuinya.

20Tambahan pula, kalian berkatalah demikian, Lihatlah, hambamu Yakub berada di belakang kami. Sebab dia berkata, Aku akan menenteramkannya dengan persembahan yang mendahuluiku, dan selepas itu aku akan melihat wajahnya; dengan kemungkinan dia akan menyambut diriku.

21Demikianlah persembahan mendahuluinya: dan dia sendiri berdiam pada malam itu di dalam perkhemahan.

22Dan dia bangun pada malam itu, lalu membawa kedua-dua isterinya, dan kedua-dua hamba perempuannya, dan sebelas orang anak lelakinya, dan menyeberangi tempat penyeberangan sungai Yabok.

23Dan dia membawa mereka, dan mengutus mereka untuk menyeberangi anak sungai itu, dan menghantar ke seberang apa yang dimilikinya.

24Dan Yakub ditinggalkan seorang diri; dan di sana bergelut dengan seorang lelaki yang ada bersamanya sampai fajar menyingsing.

25Dan ketika orang itu nampak bahawa dia tidak memenanginya, dia menyentuh bahagian cengkung pahanya; dan bahagian cengkung paha Yakub terkeluar dari sendinya, sementara dia bergelut dengannya.

26Dan orang itu berkata, Biar aku pergi, sebab fajar sedang menyingsing. Dan Yakub berkata, Aku tidak akan membiarkan engkau pergi, kecuali engkau memberkatiku.

27Lalu orang itu menjawabnya, Siapakah namamu? Dan dia berkata, Yakub.

28Dan orang itu berkata, Namamu tidak akan lagi dipanggil Yakub, tetapi Israel: sebab sebagai seorang penguasa kamu ada kuasa dengan Allah dan dengan manusia, dan telah menang.

29Dan Yakub menanya dia, dan berkata, Beritahuku namamu, aku mohon kepadamu. Dan orang itu berkata, Mengapakah demikian bahawa kamu menanyakan namaku? Dan dia memberkatinya di sana.

30Dan Yakub memanggil tempat itu Peniel: sebab aku telah melihat Allah dengan bersemuka, dan nyawaku dikekalkan.

31Dan sementara dia melintasi Penuel, matahari terbit di atasnya, dan dia berjalan tempang di atas pahanya.

32Oleh sebab itu, bani Israel tidak memakan bahagian urat yang mengecut, yang ada pada bahagian cengkung paha, sampai kepada hari ini: kerana dia menyentuh bahagian cengkung paha Yakub di urat yang mengecut.