John 8

Yohanes 8

1Yesus pergi ke bukit Zaitun.

2Dan pada awal-awal pagi dia datang semula ke dalam bait suci, dan seluruh rakyat datang kepadanya; dan dia duduk, dan mengajar mereka.

3Dan para jurutulis dan orang Farisi membawa kepadanya seorang perempuan yang telah ditangkap berzina; dan ketika mereka menaruh perempuan itu di tengah-tengah,

4Mereka berkata kepadanya, Tuan, perempuan ini telah ditangkap berzina, ketika dia berbuat zina.

5Sekarang Musa dalam hukum telah memerintahkan kita, bahawa orang demikian harus direjam: tetapi apakah katamu?

6Mereka berkata demikian untuk menguji dia supaya mereka mendapat sesuatu untuk menuduh dia. Tetapi Yesus membongkok ke bawah, dan dengan jarinya menulis di tanah, seakan-akan dia tidak mendengar mereka.

7Maka ketika mereka terus bertanya kepadanya, dia membangkitkan dirinya, dan berkata kepada mereka, Orang yang tiada dosa di kalangan kalian, biar dia yang pertama untuk melempari batu kepada perempuan itu.

8Dan sekali lagi dia membongkok ke bawah, dan menulis di tanah.

9Dan mereka yang mendengar itu, sementara insaf oleh hati nurani sendiri, pergi satu demi satu, bermula dari yang tertua, sampai kepada yang terakhir: dan Yesus tertinggal bersendirian, dan dengan perempuan itu berdiri di tengah-tengah.

10Ketika Yesus membangkitkan dirinya, dan nampak tidak seorang pun tertinggal kecuali perempuan itu, dia berkata kepadanya, Hai perempuan, di manakah para penuduhmu? tiadakah orang yang mengutukimu?

11Perempuan itu berkata, Tiada, Tuan. Dan Yesus berkata kepadanya, Maka aku juga tidak mengutukmu: pergi dan jangan berdosa lagi.

12Kemudian Yesus berucap sekali lagi kepada mereka, dengan berkata, Akulah cahaya dunia: dia yang mengikutiku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi akan ada cahaya kehidupan.

13Maka orang Farisi berkata kepadanya, Engkau bersaksi untuk dirimu sendiri; kesaksianmu itu tidak benar.

14Yesus menjawab dan berkata kepada mereka, Walaupun aku bersaksi untuk diriku sendiri, namun saksiku adalah benar: sebab aku tahu dari mana aku datang, dan ke mana aku pergi; tetapi kalian tidak dapat tahu dari mana aku datang, dan ke mana aku pergi.

15Kalian menghakimi menurut daging; aku tidak menghakimi mana-mana orang.

16Namun, jika aku menghakimi pun, penghakimanku adalah benar: sebab aku tidak bersendirian, tetapi aku dan Bapa yang telah mengutusku.

17Ia juga tertulis dalam hukummu, bahawa kesaksian dua orang adalah benar.

18Aku salah seorang yang bersaksi tentang diriku sendiri, dan Bapa yang telah mengutusku bersaksi tentang diriku.

19Kemudian mereka berkata kepadanya, Di manakah Bapamu? Yesus menjawab, Kalian tidak mengenal baik diriku mahupun Bapaku: jika kalian telah mengenalku, kalian sudah patut mengenal Bapaku juga.

20Kata-kata itu diucapkan Yesus di tempat perbendaharaan, sementara dia mengajar di bait suci: dan tidak seorang pun menangkap dia; sebab waktunya belum tiba.

21Kemudian Yesus berkata sekali lagi kepada mereka, Aku pergi menurut jalanku sendiri, dan kalian akan mencariku, dan akan mati di dalam dosa-dosa kalian: di mana kupergi, kalian tidak dapat datang.

22Kemudian orang Yahudi berkata, Akankah dia membunuh dirinya sendiri? kerana dia berkata, Di mana kupergi, kalian tidak dapat datang.

23Dan dia berkata kepada mereka, Kalian dari bawah; aku dari atas: kalian adalah dari dunia ini; aku bukan dari dunia ini.

24Maka aku berkata kepada kalian, bahawa kalian akan mati di dalam dosa-dosa kalian: sebab jika kalian tidak percaya bahawa akulah dia, kalian akan mati dalam dosa-dosa kalian.

25Kemudian mereka berkata kepadanya, Siapakah engkau? Dan Yesus berkata kepada mereka, Sama seperti pun yang telah kuberitahu kalian dari permulaannya.

26Aku ada banyak perkara untuk disebut dan untuk menghakimi kalian: tetapi dia yang telah mengutusku adalah benar; dan aku berucap kepada dunia perkara-perkara yang telah kudengar daripada dia.

27Mereka tidak faham bahawa dia sedang berbicara kepada mereka tentang Bapa.

28Kemudian Yesus berkata kepada mereka, Sesudah kalian mengangkat Anak manusia, barulah kalian akan tahu bahawa akulah dia, dan bahawa aku tidak melakukan apa pun oleh diriku sendiri; tetapi seperti Bapaku telah mengajarku, aku mengucap perkara-perkara ini.

29Dan dia yang mengutusku ada bersamaku: Bapa tidak meninggalkanku bersendirian; sebab aku selalu melakukan apa yang menyenangkannya.

30Sementara dia mengucapkan kata-kata ini, banyak yang percaya kepadanya.

31Seterusnya, Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepadanya, Jika kalian berterusan di dalam firmanku, maka, kalian memang murid-muridku;

32Dan kalian akan mengenal kebenaran, dan kebenaran itu akan menjadikan kalian merdeka.

33Mereka menjawabnya, Kami merupakan benih Abraham, dan tidak pernah berada dalam perhambaan kepada sesiapa pun: bagaimanakah mungkin kamu berkata, Kalian akan dijadikan merdeka?

34Yesus berkata kepada mereka, Sesungguhnya, sesungguhnya, aku berkata kepada kalian, Barang siapa melakukan dosa ialah hamba kepada dosa.

35Dan hamba tidak berdiam di rumah selamanya: tetapi Anak berdiam selamanya.

36Maka jika Anak menjadikanmu merdeka, kalian akan dijadikan memang merdeka.

37Aku tahu bahawa kalian ialah benih Abraham; tetapi kalian harap untuk membunuhku, kerana firmanku tidak beroleh tempat di dalam kalian.

38Aku berbicara apa yang telah kunampak dengan Bapaku: dan kalian melakukan apa yang kalian telah nampak dengan bapamu.

39Mereka berjawab dan berkata kepadanya, Abraham ialah bapa kami. Yesus berkata kepada mereka, Jika kalian merupakan anak-anak Abraham, kalian akan melakukan perbuatan-perbuatan Abraham.

40Tetapi sekarang kalian berusaha untuk membunuhku, iaitu orang yang telah memberitahu kalian kebenaran, yang telah aku dengar daripada Allah: ini tidak dibuat oleh Abraham.

41Kalian melakukan perbuatan-perbuatan bapamu. Kemudian mereka berkata kepadanya, Kami tidak dilahirkan daripada perzinaan; kami ada satu Bapa, yakni Allah.

42Yesus berkata kepada mereka, Jika Allah merupakan Bapamu, kalian akan mengasihiku: sebab aku berasal dan datang daripada Allah; dan aku juga tidak datang bagi diriku sendiri, tetapi bagi dia yang telah mengutusku.

43Mengapakah kalian tidak memahami ucapanku? itu pun kerana kalian tidak dapat mendengar firmanku.

44Kalian berasal daripada bapamu iaitu iblis, dan nafsu bapa kalian itu yang kalian akan buat. Dia seorang pembunuh dari permulaannya, dan tidak berdiam dalam kebenaran, sebab tiada kebenaran dalamnya. Apabila dia mengucap bohong, dia berucap menurut sifatnya sendiri: sebab dia seorang pembohong, dan bapa bohong.

45Dan kerana aku memberitahu kalian kebenaran, kalian tidak percaya akan aku.

46Siapa di antara kalian dapat membuktikan aku berdosa? Dan jika aku menyatakan kebenaran, mengapakah kalian tidak percaya kepadaku?

47Dia yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah: oleh sebab itu, kalian tidak mendengarkannya, kerana kalian tidak berasal daripada Allah.

48Kemudian orang Yahudi berjawab, dan berkata kepadanya, Bukankah kata kami elok untuk menyatakan bahawa kamu seorang Samaria, dan kerasukan iblis?

49Yesus menjawab, Aku tidak kerasukan iblis; tetapi aku menghormati Bapaku, dan kalian tidak menghormatiku.

50Dan aku tidak mencari kemuliaanku sendiri: ada ada satu yang mencari dan menghakimi.

51Sesungguhnya, sesungguhnya, aku berkata kepada kalian, Jika seseorang menjaga kataku, dia tidak akan melihat maut.

52Ketika orang Yahudi berkata kepadanya, Sekarang kami tahu bahawa kamu kerasukan iblis. Abraham sudah mati, dan juga para nabi; dan kamu berkata, Jika seseorang menjaga kata-kataku, dia tidak akan pernah melihat maut.

53Adakah kamu lebih besar daripada bapa leluhur kita, Abraham, yang sudah mati? dan para nabi pun sudah mati: kamu ingin berlagak seperti siapa?

54Yesus menjawab, Jika aku menghormati diriku, kehormatanku adalah kosong: Bapakulah yang menghormatiku; yang kalian berkata, bahawa dia Allahmu:

55Namun kalian tidak mengenal dia; tetapi aku mengenal dia: dan sekiranya aku berkata, Aku tidak mengenalnya, aku akan menjadi pembohong seperti kalian: tetapi aku mengenal dia, dan memegang kata-katanya.

56Bapa leluhurmu, Abraham, bersukacita untuk melihat hariku: dan dia telah melihatnya, dan menjadi gembira.

57Maka kata orang Yahudi kepadanya, Kamu belum berumur lima puluh tahun, dan sudahkah kamu melihat Abraham?

58Yesus berkata kepada mereka, Sesungguhnya, sesungguhnya, aku berkata kepada kalian, sebelum adanya Abraham, Aku adalah.

59Kemudian mereka mengambil batu untuk merejamnya: tetapi Yesus menyembunyikan dirinya, dan keluar dari bait suci itu, melalui tengah-tengah mereka, dan dengan demikian berlalu.