Proverbs 9

Amsal 9

1Hikmah telah membina rumahnya, dia telah membentukkan ketujuh-tujuh tiangnya:

2Dia telah menyembelih haiwannya; dia telah mencampuri wainnya; dia juga telah menyediakan sajian mejanya.

3Dia telah mengutus dayang-dayangnya: dia menyeru di tempat-tempat yang tertinggi di kota,

4Sesiapa yang pandir, biar dia berpaling ke sini: bagi orang yang kekurangan pemahaman, perempuan itu berkata kepadanya,

5Mari, makanlah rotiku, dan minumlah wain yang telah kucampur.

6Tinggalkanlah yang bebal, lalu hidup; dan pergi menurut jalan pemahaman.

7Dia yang mencela si pencemuh memperoleh malu bagi dirinya sendiri: dan dia yang menegur si durjana memperoleh noda bagi dirinya.

8Jangan mencela pencemuh, supaya jangan dia membencimu: tegurlah orang berhikmah, dan dia akan mengasihimu.

9Berilah arahan kepada orang berhikmah, dan dia akan menjadi lebih berhikmah: ajarlah orang yang benar, dan dia akan bertambah dalam pembelajarannya.

10Takut akan TUHAN ialah permulaan hikmah: dan pengetahuan akan yang kudus ialah pemahaman.

11Sebab melaluiku hayatmu akan digandakan, dan tahun-tahun nyawamu akan ditambahkan.

12Jika kamu berhikmah, maka kamu berhikmah bagi dirimu sendiri: tetapi jika kamu mencemuh, maka kamu sendiri akan menanggungnya.

13Seorang perempuan bebal suka membuat kecoh: dia pandir, dan tidak tahu apa pun.

14Sebab dia duduk di pintu rumahnya, di kerusi tempat-tempat yang tinggi di kota,

15Untuk memanggil orang dalam perjalanan yang berjalan lurus dalam jalannya:

16Sesiapa yang pandir, biar dia berpaling ke sini: dan bagi orang yang kekurangan pemahaman, perempuan itu berkata kepadanya,

17Air yang telah dicuri adalah manis, dan roti yang telah dimakan dengan rahsia menyenangkan.

18Tetapi orang itu tidak tahu bahawa orang-orang mati berada di sana; dan bahawa para tetamunya berada di kedalaman neraka.