Psalms 91

Mazmur 91

1Dia yang berdiam di tempat rahsia Yang Maha Tinggi akan berdiam di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa.

2Aku akan berkata tentang TUHAN, Dia tempat perlindunganku dan kubu pertahananku: Allahku; di dalamnya aku percaya.

3Sudah pasti dia akan melepaskanmu daripada jerat si pemikat burung, dan daripada wabak yang berbahaya.

4Dia akan menudungimu dengan bulu pelepahnya, dan di bawah sayapnya akan kamu taruh percaya: kebenarannya akan menjadi perisaimu dan utar-utarmu.

5Kamu tidak akan takut kepada kengerian pada waktu malam; atau anak panah yang terbang pada waktu siang;

6Atau wabak yang berjalan dalam kegelapan; atau pembinasaan yang melumpuhkan pada waktu tengah hari.

7Seribu akan jatuh di sebelahmu, dan sepuluh ribu pada sebelah tangan kananmu; tetapi ia tidak akan mendekatimu.

8Hanya dengan matamu kamu akan memandang dan melihat ganjaran orang durjana.

9Oleh sebab kamu telah menjadikan TUHAN, yang adalah tempat perlindunganku, yakni Yang Maha Tinggi, tempat kediamanmu;

10Maka tiada kejahatan yang akan menimpamu, dan tiada apa pun wabak mendekati tempat kediamanmu.

11Sebab dia akan memerintahkan para malaikatnya ke atasmu, untuk menjagamu dalam segala jalanmu.

12Mereka akan mendukungmu dalam tangan mereka, supaya jangan kamu terhantuk kakimu pada batu.

13Kamu akan memijak singa dan ular kapak: singa muda dan naga akan kamu menginjak di bawah kaki.

14Oleh sebab dia telah menaruh kasihnya terhadapku, maka aku akan menyelamatkannya: Aku akan meletakkannya di tempat yang tinggi, kerana dia telah mengenal namaku.

15Dia akan memanggilku, dan aku akan menjawabnya: Aku akan berada bersamanya dalam kesesakan; Aku akan menyelamatkannya, dan memberinya penghormatan.

16Aku akan memuaskannya dengan hayat yang panjang, dan menunjukkannya keselamatanku.