Revelation 20

Wahyu 20

1Dan aku melihat seorang malaikat turun dari syurga, sementara memegang kunci liang yang tiada dasar dan suatu rantai besar di tangannya.

2Dan dia menangkap si naga itu, ular tua itu, yang merupakan Iblis, dan Syaitan, dan mengikatnya untuk seribu tahun.

3Dan melemparkannya ke dalam liang yang tiada dasar, dan menutupi dia di dalamnya, lalu mengenakan meterai kepada dia, supaya dia tidak akan memperdayakan bangsa-bangsa lagi, sehingga seribu tahun digenapi: dan sesudah itu dia akan dilepaskan untuk musim yang singkat.

4Dan aku melihat takhta-takhta, dan mereka duduk di atasnya, dan penghakiman telah diberi kepada mereka: dan aku melihat jiwa-jiwa orang yang telah dipancung kepala kerana kesaksian Yesus, dan kerana firman Allah, dan yang tidak bersembahyang kepada binatang itu, dan tidak juga kepada gambarnya, dan tidak juga menerima tandanya pada dahi mereka, atau pada tangan mereka; dan mereka hidup dan bertakhta dengan Kristus untuk seribu tahun.

5Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula sehingga seribu tahun itu berakhir. Inilah kebangkitan yang pertama.

6Diberkatilah dan kuduslah orang yang ada bahagian di dalam kebangkitan pertama: bagi orang demikian maut kedua tiada kuasa, tetapi mereka akan menjadi para imam Allah dan Kristus, dan akan memerintah bersamanya untuk seribu tahun.

7Dan sesudah tamatnya seribu tahun itu, Syaitan akan dilepaskan dari penjaranya,

8Dan akan keluar untuk memperdaya bangsa-bangsa yang ada di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, untuk mengumpulkan mereka bersama untuk bertempur: bilangan mereka adalah seperti pasir di laut.

9Dan mereka naik menerusi keluasan bumi, dan melingkupi perkhemahan orang-orang kudus, dan kota yang tersayang itu: dan api turun daripada Allah dari syurga, lalu menghanguskan mereka.

10Dan iblis yang telah memperdayakan mereka dilempar ke dalam lautan api dan belerang, tempat yang binatang itu dan nabi palsu itu berada, dan akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya.

11Dan aku melihat suatu takhta yang putih dan dia yang duduk di atasnya, yang daripada wajahnya bumi dan syurga melarikan diri; dan tiada apa pun tempat yang ditemui bagi mereka.

12Dan aku nampak orang mati, baik yang kecil mahupun yang besar, berdiri di hadapan Allah; dan kitab-kitab dibuka: dan satu lagi kitab dibuka, iaitu kitab kehidupan: dan orang mati telah dihakimi daripada apa yang tertulis di dalam kitab-kitab itu, menurut perbuatan-perbuatan mereka.

13Dan lautan menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya; dan maut dan neraka melepaskan orang mati yang ada di dalam mereka: dan mereka telah dihakimi setiap orang menurut perbuatan-perbuatan mereka.

14Dan maut dan neraka dilemparkan ke lautan api. Inilah kematian yang kedua.

15Dan barang siapa yang tidak ditemui tertulis di dalam kitab kehidupan dilemparkan ke dalam lautan api.