Amsal · Proverbs

1:32
Sebab penyimpangan orang pandir akan membunuh mereka, dan kemakmuran orang bebal akan membinasakan mereka.

Mengapakah orang membeli tiket loteri atau main judi? Mereka nampak cerita menghebohkan pemenang, dan itu memperdayakan hati mereka yang bebal. Loteri ialah kerugian yang pasti untuk menjerat orang miskin, yang kurang pendapatan. Namun orang miskin masih membelinya, kerana “pemenang” memperdayakan fikiran mereka. Tunjukkan satu “pemenang” (tanpa mempedulikan berjuta orang lain yang kalah), dan orang miskin akan menjadi lebih miskin.

Ketika orang menolak hikmah Allah yang ditawarkan (Ams 1:20-29), Dia memperdayakan mereka dengan kejayaan palsu yang ada pada para pendosa (Ams 1:31-32). Mereka melihat orang lain menolak hikmah Allah dan nampaknya terlepas daripada hukuman, jadi mereka dengan berani mengikuti teladan mereka. Mereka nampak orang bebal menikmati kemakmuran semata-mata, jadi mereka dengan yakin meniru mereka. Dalam kedua-dua kes, mereka melakukan itu bagi kematian diri mereka sendiri.

Allah menghakimi dan membutakan orang bagi tujuan kematian dan kebinasaan. Dia membiarkan para pendosa terlepas dengan kedurjanaan untuk seketika supaya memperdayakan orang lain memikir mereka boleh berbuat apa yang sama itu. Dunia penuh dengan “kisah kejayaan” orang yang menolak hikmah Allah. Tetapi mereka memperdayakan diri mereka sendiri, dan mereka merupakan alat Allah untuk memperdayakan orang lain yang juga telah menolak hikmahNya.

Ini merupakan doktrin yang keras bagi orang yang tidak belajar Alkitab. Jika kamu menolak kebenaran Allah yang ditawarkan, Dia akan membutakan dan mengeraskanmu untuk kebinasaan (Rom 1:18-32; 2Tes 2:9-12; Yeh 14:1-11; 1Raj 22:19-22). Penawar, perlindungan, dan penyelesaiannya memang mudah – kasihi dan taatilah setiap kebenaran yang Allah beri kepadamu. Dia telah menyatakan kebenaran dan hikmah kepadamu melalui ciptaan, penyediaan nasib, hati nurani, dan alkitab, termasuk Amsal ini dan ulasannya.

Orang Kristian kerap kali gusar hati akan apa yang nampaknya kemakmuran dan kejayaan para pendosa. Asaf nampak orang durjana dimakmurkan dan dia hampir berputus asa dalam imannya kepada Allah dan dalam kehidupan benar (Maz 73:2-14), tetapi Tuhan mengingatinya akan pembalasan keras pada masa depan bagi semua orang (Maz 73:15-28). Jadi kamu mungkin membaca, “Jangan dirimu gusar kerana orang jahat” (Ams 24:19-20; Maz 37:1-20).

Allah mungkin memilih untuk berdiam seketika, dan para pendosa dengan bebal memikir bahawa Allah setuju dengan gaya hidup durjana mereka kerana mereka tidak dihakimi dengan serta-merta (Maz 50:16-21). Tetapi Dia memberi amaran bahawa tanpa pertaubatan Dia akan menghakimi dengan teruk (Maz 50:21-22), dan hanya orang yang hidup dengan wajar dan memujiNya akan menerima keredaanNya (Maz 50:23). Pertimbangkan petikan ini dengan baik-baik.

Hai pembaca, hasil tidak membuktikan apa-apa. Musa mendapat air daripada batu (Bil 20:7-12); para nabi berbuat mukjizat (Ula 13:1-5); Israel mendapat burung puyuh (Maz 106:15). Jika seorang jiran tidak pernah mendisiplinkan anak-anaknya yang “berkelakuan baik”, jangan pedulikan itu. Jika seorang penzina sedang hidup kehidupan kemewahan dan kenikmatan, jangan pedulikan itu. Dia sedang berlumba ke arah maut dan neraka yang tiada pemulihan (Ams 9:18).

Agur yang berhikmah takut akan kekayaan dan kesan-kesannya (Ams 30:7-9). Kemakmuran tidak dapat membantu Israel, sebab mereka memberontak di dalam kegemukan mereka (Ula 31:20; 32:15-18). Kecantikan boleh menjadi suatu kutuk (Yeh 16:6-15). Dan kejayaan telah menyebabkan dua orang kaya untuk melupakan jiwa mereka (Luk 12:15-21; 16:19-31). Kebaikan Allah patut memimpin orang untuk bertaubat (Rom 2:4). Tetapi mereka menjadi yakin dalam kemakmuran mereka dan tidak nampak penghakiman yang menjelang (Maz 37:35-36; 92:6-7; Yer 48:11-13).

Tuhan Yesus Kristus nampak banyak kejayaan dalam kesembuhan dan pengajaran, tetapi Dia mengekalkan pandangan mataNya kepada tugas besarNya di Yerusalem. Dan walaupun Dia ditawarkan pangkat dan kuasa yang besar oleh si iblis dan orang Yahudi, Dia menolak kedua-dua itu supaya melakukan kehendak Allah (Yoh 6:15; Luk 4:5-8).