Amsal · Proverbs

22:6
Didiklah seorang anak dalam jalan yang patut dipakainya: dan apabila tua, dia tidak akan meninggalkannya.

Mendidik anak berkesan. Kamu dapat menjadikan anakmu hebat di pandangan Allah dan manusia. Jika kamu tidak mendidik mereka, kamu tidak patut memperanakkan mereka. Kanak-kanak yang tidak terdidik akan menuruti sifat bebal dan sifat berdosa yang telah ada sejak lahir. Padahnya kesakitan dan masalah.

Mendidik anak berkesan. Tetapi kamu harus mendapatkan tekad itu sekarang juga. Ia melibatkan hikmah dan usaha. Ia melibatkan arahan Allah dan Salomo yang ditemui dalam kitab Amsal ini. Lambat laun, ia harus dibuat juga, maka, janganlah menangguh-nangguh apapun didikan yang diperlukan anak.

Seorang anak yang terdidik dengan baik takut akan Allah dan hidup berhikmah dan adalah benar pada masa dewasa. Seorang anak yang tidak terdidik tidak takut akan Allah dan tidak hidup berhikmah dan benar pada masa dewasa.Hanya mukjizat rahmat Allah dapat menterbalikkan didikan buruk, dan Allah tidak berjanji akan berbuat sebegitu. Jangan mempersoalkan janji amsal ini. Kekecualian yang diperhatikan tidak akan mengubahkan peraturan ini. Percayalah kepadanya. Lakukannya.

Tiada rahsia atau misteri di sini. Ibubapa yang malas mencari cara istimewa untuk mendidik anak mereka. Mereka selalu khuatir, membaca, membeli buku, menghadiri seminar, tetapi jarang mendidik. Tindakan jauh lebih penting daripada teknik. Kecekalan jauh lebih penting daripada keamatan didikan. Berhenti mencari-cari cara yang lebih mudah atau cara yang lebih bijak. Jadilah sibuk sekarang.

Amsal ini ialah perintah dan bukan suatu cadangan. Ia suatu janji, dan bukan suatu kemungkinan. Para percayawan menaruh percaya kepada nas ini sama seperti kepada apapun nas yang lain. Mereka tidak terkejut oleh tugas yang dihadapi mereka. Mereka menaruh percaya kepada Alkitab Allah yang berharga dan mulai bekerja, pada hari ini juga. Mereka tahu bahawa Allah Pencipta dan Salomo tahu lebih tentang mendidik anak daripada semua orang yang lain bergabung. Mereka langsung tidak peduli akan pendapat orang yang paling pakar di dunia.

Salomo berkata, “Didik.” Dia tidak berkata besarkan. Kamu membesarkan tumbuh-tumbuhan, tetapi kamu mendidik kanak-kanak. Memberi makanan yang berkhasiat, membekalkan pakaian yang selesa, memberi anak kamarnya sendiri, dan menciumnya sebelum tidur bukanlah didikan anak. Kebanyakan spesies binatang yang lain melakukan ini bagi anak-anak mereka. Mendidik anak ialah arahan dan disiplin yang terancang untuk membentuk akhlak jangka masa panjang dan hikmah dalam takut akan Tuhan dan pengetahuan akan Alkitab.

Kamu mendidik seorang “anak”. Ini menandakan jangka masa dari kelahiran ke kedewasaan. Didikan boleh bermula awal-awal sementara bayi boleh diajar pemakanan yang menurut jadual dan boleh diajar bahawa bukan semua tangisan akan mendapat perhatian. Ia berlangsung daripada peringkat kawalan kepada peringkat arahan dan kepada peringkat nasihat. Ia berterusan mengharungi waktu baligh dengan semua isunya yang baru. Ia berterusan lagi sampai ke kematangan, iaitu waktu ketika anak yang berumur belia itu memulakan rumahtangga baru dan memulakan proses didikan sekali lagi.

Kamu mendidik mereka dalam “jalan”. Ibubapa tidak dapat mendidik setiap langkah, tetapi mereka dapat mendidik hala tujuan (Kej 18:19). Allah memberi anak kepada ibubapa dengan minda yang kosong. Kamu akan mengisi minda itu dengan pengetahuan salih dan hikmah. Sementara Alkitab tidak memberi perintah bagi setiap langkah kehidupan, dan membenarkan banyak kebebasan individu, demikianlah kamu mendidik mereka dalam jalan kesalihan.

Anak harus dididik dalam jalan “yang patut dipakainya”. Bukan jalan yang anak ingin pakai. Setiap anak menuruti kebebalan dan dosa daripada Adam. Tanpa mendidik untuk menentang hati naluri yang semulajadi itu, mereka akan bertumbuh menjadi pendosa yang cekal berdosa dan mengeras hati. Tiada didikan yang membiarkan anak dididik hati sendiri – kamu akan memperoleh orang bebal sebagai anak (Ams 29:15). Jalan yang patut dipakainya ialah jalan kebenaran yang terang-terang terpapar dalam Alkitab (Ula 6:4-9; 29:29; Efe 6:4). Didikan bukanlah jalan yang diingini dunia, sebab itulah jalan Syaitan (Efe 2:1-3).

Apabila mereka “tua”, mereka akan mengikuti didikan itu. Di sinilah janji yang harus dipercayai, tetapi masih akan menyiapkan diri untuk kesukaran yang mungkin berlaku pada umur remaja sebelum mereka “tua.” Kalau terdidik dengan wajar sewaktu seorang budak, waktu remaja itu tidak semestinya sukar. Jika terdidik dengan cekal hati atau konsisten, maka mereka akan merujuk kepada didikan mereka ketika mereka dewasa. Percayalah ini. Kira ini benar.

Apakah itu didikan anak? Ia suatu teladan yang cekal menjalani hidup yang benar yang dapat dirasa anak pada mula-mula dan selepas itu perhatikan semasa membesar. Ia mengajar kewujudan Allah dan kekuasaan mutlak Alkitab. Ia menguatkuasakan peraturan-peraturan Allah dan kekuasaan ibubapa dengan tegas dan dengan keras. Ia mengajar dengan teguran dan tongkat. Ia pengajaran yang berulangan sepanjang hari. Ia memakai penguatkuasaan positif dan negatif bagi kelakuan. Ia suatu perhubungan yang sangat terbuka dengan anak untuk membenarkan mereka mengenalmu dan kamu mengenal mereka juga.

Apakah yang bukan didikan anak? Menjerit bukanlah didikan anak. Menghantar mereka ke sekolah Kristian hanya suatu bahagian lemah dalam didikan anak. Menggertak atau meleteri mereka bukanlah didikan anak. Percikan peraturan dan hukuman yang tidak teratur bukanlah didikan anak. Mengurungi mereka di bilik bukan didikan anak. Main bola di padang bukanlah didikan anak. Tonton rancangan televisyen “sesame street” bukanlah didikan anak. Menjadikan ibu bertugas untuk didikan bukanlah didikan anak. Mengayun-ayun bayi dengan perlahan bukanlah didikan anak. Memberi wang saku tanpa bekerja bukanlah didikan anak.

Generasi-generasi dahulu yang membesar di ladang pertanian memerhatikan binatang dilatih. Jika mereka tidak mendidik sesetengah binatang tertentu, maka rumahtangga akan kebuluran atau sangat kekurangan. Mendidik anak sungguh mudah selepas menjinakkan keldai dan melatih kerbau untuk membajak. Tiada pengetahuan yang sukar di sini, dan pencarian untuk teknik didikan yang baru atau kreatif itu menyesatkan. Sesiapapun dapat mendidik anak mereka, jika mereka menyingkirkan sikap mementingkan diri sendiri dan sikap malas lalu langsung mengusahakan didikan. Ia suatu keaiban moden ketika anjing dapat dilatih memimpin orang buta, tetapi anak pula tidak dapat dididik.

Kanak-kanak zaman kini sungguh rosak. Kebanyakan mereka angkuh, bebal, jahil, malas, tidak matang, cabul, suka memberontak, mementingkan diri sendiri, atau suka membazir. Ada punca bagi kerosakan sosial ini. Ibubapa mereka terlalu sibuk, mementingkan diri sendiri atau malas untuk mendidik mereka. Kesannya ialah suatu generasi orang bebal, yang akan memperanakkan orang bebal yang lebih buruk. Masa depan Amerika Syarikat sungguh suram, bukan kerana kerajaan di Washington tetapi kerana ibubapa yang bebal.

Biar kebenaran bangkit! Setiap ibubapa yang salih harus mencengkam amsal ini sebagai miliknya sendiri dan terus mengerjakannya. Keturunan yang berhikmah dan yang salih itu menjelang dengan hanya satu lagi arahan (bersertakan sedikit usaha yang cekal). Buat pelaburan yang munasabah dan yang cekal, dan percayalah kepada Tuhan bagi segalanya yang lain (Maz 127:1-2). Tuhan dapat menggandakan beberapa buku roti dan ikan untuk memberi makan kepada beribu-ribu orang dan masih tertinggal banyak lagi sisanya. Dia dapat memberkati usahamu untuk menghasilkan buah anak yang salih, yang akan menyukakan hatimu. Tiada alasan untuk mengalah; tetapi ada banyak sebab untuk bergirang. Semoga Allah menyertaimu.