Amsal · Proverbs

3:2
Sebab umur panjang, dan usia lanjut, dan damai sejahtera, akan ia tambahkan kepadamu.

Kamu dapat memanjangkan jangka hayatmu. Tetapi ia tidak boleh ditemui di kedai makanan kesihatan, program senaman, atau suatu kajian perubatan. Ia hanya ditemui dalam kehidupan yang benar, yang memerlukan kerendahan hati dan ketekunan untuk mentaati pembetulan dan arahan (Ams 3:1). Damai sejahtera, suatu keperluan yang berharga untuk kehidupan yang sejahtera, ditemui dengan cara yang sama – menjalani hidup yang benar.

Hikmah ialah daya untuk menghakimi dengan betul. Hikmah juga suatu ikhtiar dan pengetahun untuk hidup dengan benar. Salomo, dalam kitabnya ini yang tertumpu khusus kepada hikmah, menawarkan usia lanjut sebagai berkat kerana memperoleh pengetahuan (Ams 3:8,16; 4:4,10,22; 9:11). Dia bertanya di tempat yang lain, “Jangan durjana berlebih-lebih, dan jangan pula kamu bebal: harus mengapakah kamu mati sebelum waktumu?” (Pkh 7:17).

Ada dua berkat yang ditawarkan di sini yang harus meminatkan setiap pembaca – umur panjang dan damai sejahtera. Setiap orang ingin hidup lebih lama, dan damai sejahtera menjadikan kehidupan suatu kenikmatan yang berterusan. Hai pembaca! Ada dua perkara yang ajaib, dan ia ditawarkan kepadamu di sini dengan percuma. Apa lagi yang menghalangmu daripada merebutnya bagi dirimu sendiri?

Ponce de Leon mengembara jauh untuk mencari dongeng mata air kemudaan. Berbilion-bilion jumlah wang dipakai setiap tahun bagi apa yang kononnya makanan kesihatan dan vitamin, bagi keahlian gim dan pelatih peribadi, dan bagi peluang membaca kajian perubatan terkini dan bagi rawatan-rawatan aneh untuk melanjutkan umur. Jika hanya sebahagian kesungguhan itu dipakai untuk mencari hikmah, seseorang dapat memperoleh umur panjang dan damai sejahtera.

Kehidupan yang berdosa menjadikan tubuh tua dan membawa kematian yang awal. Orang pagan sendiri tahu risiko-risiko “kehidupan keras”. Bintang-bintang muzik rock, artis-artis rap, pelakon lelaki dan pelakon wanita – para pendosa Amerika yang paling suka bermaksiat – kerap kali hidup hanya setengah daripada hayat orang biasa. Mereka mati kerana kemalangan, kesakitan, dadah, pembunuhan, bunuh diri, dan tubuh yang terlampau lesu. Hukuman mati juga memendekkan hayat para pendosa yang keji.

Hikmah menyelamatkan diri daripada “kehidupan keras”. Orang berhikmah mengelak kemalangan melalui kehematan; mereka mengelak kesakitan dengan menjalani hidup yang monogami, mengelak ketagihan dadah dengan menjauhinya, mengelak pembunuhan dengan kehidupan yang berdamai, mengelak bunuh diri dengan kehidupan yang penuh harapan, dan mengelak kelesuan tubuh yang terlampau dengan tidur yang menyegarkan. Dengan mentaati undang-undang negara, mereka tidak berada dalam bahaya hukuman mati. Segala jalan kehidupan ini diajar di dalam Amsal.

Hikmah membawa damai sejahtera. Para pendosa menjalani kehidupan yang terseksa oleh ketakutan, rasa salah, malu, dan tekanan. Mereka murung, geram, sunyi, dan letih. Mereka tidak boleh mencari kepuasan, kesenangan dan kelegaan. Mereka selalunya sedang mencari, berlari, dan berhajat untuk sesuatu kebaikan yang tahan lama. Tetapi orang berhikmah menemui damai sejahtera dalam Tuhan, perkahwinan, kerja, kawan, dan jiwa yang benar.

Syaitan, seorang pembunuh, ingin supaya kamu mati. Dunia membenci kehidupan yang benar. Jiwamu yang rosak lebih menyukai dosa. Ketiga-tiga ini bersubahat bersama untuk memendekkan hayatmu di bumi ini dan mencuri apa pun damai sejahtera yang tinggal sementara kamu hidup. Kedua-dua kehidupan dan kematian ditawarkan kepadamu, seperti yang diterangkan Musa kepada Israel (Ula 30:19-20). Pilihlah kehidupan dan damai sejahtera pada hari ini dengan memeluk hikmah dan menghidupinya.