31:27
Dia menjaga rapi urusan-urusan rumahtangganya, dan tidak memakan roti melahu.
Wanita yang berakhlak mulia sentiasa peka terhadap keluarganya setiap masa. Dia tidak terlepas pandang sebarang keperluan mereka. Dia melihat apa yang dapat membantu dan mendapatkannya untuk mereka. Dia tidak bersantai seperti seorang suri rumah yang malas, dan dia tidak membuang masa dengan tidur siang secara berlebihan, membaca, melukis, bergayut di telefon, melayari Internet, berjalan lebih di pusat membeli belah, atau bersenang-senang. Dia sangat tekun dan rajin.
Seorang perempuan yang berhikmah sentiasa berhati-hati dan memanfaatkan masanya dengan sebaik-baiknya (Efe 5:15-16). Maksudnya, dia memperhatikan keluarganya dari pelbagai sudut. Dia tidak sekadar memandang sepintas lalu sehingga terlepas perincian penting. Dia tidak perlu diberitahu apa yang diperlukan, kerana dia sendiri telah mengenal pastinya. Dia meraih kembali masa dengan tidak membazirkannya dan bekerja secekap serta setenaga semungkin.
Perempuan yang berakhlak mulia adalah seorang perancang yang berhemat (Ams 22:3). Kehidupan tidak pernah mengejutkannya tanpa persediaan. Dia bersiap sedia untuk sebarang keperluan yang mungkin timbul. Dia dengan berhemat berfikir jauh ke hadapan tentang apa yang diperlukan dan mula membuat persediaan sebelum berlakunya krisis. Dia mengatur dan menyimpan barang-barang yang perlu dan yang berguna untuk membantu keluarga pada masa akan datang (Ams 6:8; 30:25).
Seorang perempuan yang berhikmah mempunyai daya inisiatif (Ams 13:4). Dia bukan seperti kanak-kanak. Dia tidak perlu diminta atau diberitahu apa yang perlu dilakukan; dia telah pun memikirkannya dan menyelesaikannya. Dia tidak menunggu sehingga dia terpaksa bangun: dia bangun dan segera bertindak demi keluarganya (Ams 20:13; 24:30-34). Dia tidak menunggu sehingga sesuatu keperluan itu berkembang sepenuhnya, kerana dia dapat melihat keperluan itu sebelum ia berlaku dan menyelesaikannya.
Perempuan yang berakhlak mulia seorang yang tekun dan gigih (Ams 21:5). Dia tidak membenci, takut, atau merungut terhadap kerja keras atau projek yang mengambil masa panjang. Dia suka usaha bekerja demi keluarganya. Dia dengan rela hati bekerja dengan pantas dan tekun; dia tidak mengendahkan peluh dan jerih payah. Dia mengerahkan segenap tenaga untuk menyelesaikan tugas yang sukar sekalipun (Ams 31:17). Dia menilai kehidupan dan harga dirinya melalui produktiviti dan sumbangannya untuk orang lain.
Seorang perempuan berhikmah teruja untuk membina keluarga dan penambahan harta (Ams 14:1; 24:3; 31:28). Dia tidak merosakkannya melalui kelalaian atau gangguan (Ams 11:29; 14:1; Pkh 10:18). Dia akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk memajukan dan meningkatkan kesejahteraan rumah tangga serta aset keluarganya. Dan dia tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain (2Tes 3:6-11; 1Tim 5:13; Tit 2:3-5).
Ibu Raja Lemuel telah membentangkan ciri-ciri wanita yang sempurna (Ams 31:1-2). Sifat peribadi utama seorang wanita Kristian yang hebat ialah ketekunan—iaitu usaha yang fokus, bersemangat, dan berterusan untuk mencapai matlamat keluarga yang bernilai. Hendaklah setiap wanita mengelakkan serta berwaspada terhadap amalan tidur berlebihan, melayari Internet, menggunakan media sosial dan bertukar mesej, membuat panggilan telefon yang sia-sia, membaca novel, atau kerja sekadar bermuka-muka.
Tidak ramai wanita yang berakhlak mulia—mereka amat jarang ditemui (Ams 31:10), terutamanya dalam generasi yang bongkak dan yang manja ini (Yes 3:16-26; 2Tim 3:1-7). Wanita Kristian, malah melebihi wanita duniawi, mungkin menyangka peranan mereka hanya untuk tinggal di rumah dan bersantai, menjalani hidup seadanya sebagai suri rumah. Ukurlah dirimu dengan Amsal 31:10-31! Ia hanya layak untuk wanita-wanita yang hebat!