1:28
Barulah mereka akan memanggilku, tetapi aku tidak akan berjawab; mereka akan awal-awal mencariku, tetapi mereka tidak akan menemukanku:
Puteri Hikmah tidak menghutangimu pengetahuan, kebenaran atau pemahaman. Allah tidak menghutangimu pengabulan doa-doamu. Allah tidak menghutangimu hadiratNya. Allah tidak menghutangimu bantuan ketika di dalam kesesakan. Allah memberi berkat-berkat itu oleh rahmat dan kehendakNya, dan Dia boleh menarik balik berkat-berkat itu apabila terkilan dengan perangaimu. Jika kamu memilih pemberontakan dengan berdosa, kamu pasti mahu melepaskan harta-harta yang berharga ini (Ams 15:8; 28:9; Maz 66:18).
Bagi sebahagian fasal yang pertama kitab Amsal, Salomo mempersonifikasikan hikmah sebagai seorang perempuan (Ams 1:20-33). Puteri Hikmah dengan murah hati memberi hikmah kepada yang pandir, yang pencemuh dan yang bebal (Ams 1:20-23). Tetapi dia mengancam dan memberi amaran keras-keras bahawa dia tidak akan membantu mereka ketika jatuh di dalam kesesakan, kalau mereka menolak tawaran-tawarannya yang murah hati itu (Ams 1:24-31). Dan ceritanya berakhir dengan penjelasan penghakiman yang pasti kepada si pemberontak dan berkat yang pasti kepada yang taat (Ams 1:32-33).
Kamu mungkin berada di dalam keadaan yang sungguh berbahaya dan besar kemungkinan tidak tahu pun. Kamu mungkin berfoya-foya dengan kemungkinan menjalani sisa hidupmu dengan kejahilan bebal lalu menderita teruk kerana itu. Engkau hanya perlu bersantai dan mengabaikan tawaran Allah untuk hikmah. Allah syurga bukanlah seperti mana-mana orang yang pernah ditemuimu. Dia tidak membenarkan permainan di dalam hal hikmah yang serius. Jika kamu mengabaiNya, Dia akan meninggalkan dirimu kekosongan, jahil dan terkutuk!
Adakah kamu mempunyai patung berhala di dalam hatimu? Iaitu apa yang terlampau disayangimu sehingga tidak dapat melepaskannya bagi Allah atau bagi hikmah – seperti keluarga, tabiat, wang, tradisi, atau sahabat? Mungkinkah adanya apa-apa benda atau mana-mana orang yang kamu tidak ingin lepaskan bagi Allah dan bagi hikmahNya? Inilah janji Allah yang berdaulat kepadamu:
“Dan aku akan menetapkan wajahku untuk menentang orang itu, dan aku akan menjadikannya suatu tanda dan sebuah amsal, dan aku akan memutuskannya dari kalangan umatku; dan kamu akan tahu bahawa akulah TUHAN.
Dan jika seseorang nabi terperdaya sesudah membicarakan sesuatu, akulah TUHAN yang telah memperdayakan nabi itu, dan aku akan memanjangkan tanganku kepadanya, dan akan membinasakannya dari tengah-tengah kalangan umatku, Israel.
Dan mereka akan menanggung hukuman bagi kedurjanaan mereka: hukuman nabi itu akan sama seperti hukuman kepada orang yang mencari nabi itu;”
Kamu besar kemungkinan sudah lama tidak mendengar khutbah dari petikan di atas. Allah akan menyampaikan bohong kepadamu jika kamu berpegang kepada benda duniawi dan mengabaikan tawaran kebenaranNya. Sesiapapun hamba Allah yang diharapkanmu untuk bantuan, akan Allah membutakan dan memperdayakan supaya berbohong kepadamu.
Adakah kamu mengasihi kebenaran? Iaitu dengan kerelaan untuk mengorbankan apa-apapun baginya? Atau adakah kebenaran itu hanya suatu nasihat yang berbunyi mulia yang boleh diabaikanmu dalam kehidupanmu yang sibuk itu? Kalau demikian, maka inilah janji Allah kepadamu:
“Dan oleh sebab itu Allah akan menyampaikan pendayaan kuat kepada mereka, sehingga mereka percaya akan bohong:
Supaya mereka semua akan dilaknat, iaitu mereka yang tidak percaya akan kebenaran, tetapi telah bersenang dalam ketidakwajaran.”
Kamu mungkin juga sudah lama tidak mendengar khutbah dari petikan di atas. Allah akan menyampaikan dusta kepada dirimu jika kamu mengabaikan kebenaranNya dan melingkupi dirimudengan kenikmatan dosa. Mengapakah Dia berbuat demikian? Supaya Dia boleh menghakimi kamu kerana telah menolak kebenaran dan hikmah yang ditawarkanNya kepadamu dengan percuma.
Ada sebabnya kebanyakan orang jahil tanpa harapan. Mereka terlalu malas, angkuh, atau terlalu mudah memberontak sehingga tidak merendahkan diri kepada tangan kuat Allah dan tunduk kepada hikmahNya. Mereka terlalu sibuk untuk hikmah; mereka ingat bahawa mereka sudah tahu segalanya; mereka tidak suka diberitahu untuk berubah dan menjalani hidup dengan berbeza. Membaca firman Allah dan mendengarnya dikhutbahkan merupakan aktiviti yang menjemukan dan meletihkan diri mereka (2Tim 4:3-4). Mereka sudah laknat untuk sekarang dan selama-lamanya!
Meskipun banyak usaha dikerah untuk menyanjungi hak kemanusiaan, manusia tiada hak kalau berkenaan dengan Allah. Manusia ada tugas dan keistimewaan, dan bukan hak. Ia tugasmu untuk takut akan Allah dan untuk berpegang kepada perintah-perintahNya, sebab kamu akan memberi perhitungan hidupmu kepadaNya tidak lama lagi (Pkh 12:13-14). Kebenaran dan hikmah ialah keistimewaan, yang tidak dihutangiNya kepadamu. Dia hanya akan memberi itu kepadamu jika kamu rendah hati dan taat (Yes 66:1-2; Yoh 7:17). Rendahkanlah dirimu pada hari ini juga!