Amsal · Proverbs

21:11
Apabila pencemuh dihukum, yang pandir itu dijadikan berhikmah: dan apabila orang berhikmah diberi arahan, dia menerima pengetahuan.

Bilangan sebatan yang berbeza bagi orang yang berbeza! Suatu perkataan kepada orang berhikmah sudah cukup! Kamu tidak boleh bertengkar dengan orang bodoh! Ini dan beberapa pepatah yang serupa telah dipetik daripada amsal ini, yang telah ditulis 3000 tahun dahulu sebelum munculnya Bahasa Inggeris moden. Ada tiga jenis orang di sini, dan hanya ada dua tindakan yang menghasilkan layanan sewajarnya ke atas ketiga-tiga jenis orang itu (Ams 19:25).

Seorang pencemuh ialah orang yang angkuh dan pemberontak yang mencaci dan menghina kekuasaan, pembetulan, dan arahan. Dia begitu angkuh dalam pendapatnya sendiri sehingga dia tidak dapat diajar (Ams 9:7-8; 13:1; 15:12; 21:24). Dia harus dihukum dan ditolak (Ams 22:10). Solomo berkata bahawa seorang pencemuh adalah lebih teruk daripada orang bebal, yang dosa-dosa kebebalannya, kejahilannya dan kekukangannya adalah kurang daripada pencemuh punya keangkuhan menolak teguran (Ams 12:1; 24:9; 26:12).

Orang pandir ialah orang yang jahil tanpa banyak kecerdikan atau akhlak. Dia kurang mempunyai pengetahuan atau hikmah, dan dia lebih berbalas kepada apa yang dia nampak dan apa yang dia dapat rasa daripada apa yang dia dapat faham melalui penaakulan dan renungan yang cermat (Ams 14:15,18; 22:3). Orang pandir dapat diajar, tetapi ia suatu proses yang memakai banyak tenaga (Ams 1:4; Maz 119:130). Oleh sebab mereka kekurangan dalam budi bicara dan pemahaman, mereka kerap kali belajar daripada pengajaran praktikal dan pengalaman.

Orang berhikmah takut akan Allah dan memegang perintah-perintahNya (Ams 1:7; 9:10; Maz 111:10). Dia suka pembetulan, arahan, teguran, dan amaran; dia tahu bahawa sumbangan-sumbangan ini merupakan satu-satunya cara untuk mendapat pemahaman (Ams 1:5; 12:1). Orang-orang yang mulia ini menerima ajaran dengan minda yang sedia, menyelidiki Alkitab untuk membuktikan apa yang mereka telah dengar ialah kebenaran, lalu mereka percaya dan mentaatinya (Kis 17:11). Walaupun berhikmah, mereka mencari nasihat bagi hal-hal yang besar (Ams 24:6).

Apabila berurusan dengan orang, terutamanya mereka yang di bawah kuasamu, ada dua tindakan asas yang diajar di sini. Kedua-dua tindakan itu akan mengendalikan tiga jenis orang itu dengan berkesan dan berhikmah. Kamu harus mengenalpastikan jenis orang yang sedang dilayanimu lalu memakai tindakan yang wajar. Di sinilah pelajaran itu: pencemuh tidak dapat diajar dan haruslah dihukum, yang akan melepaskanmu daripada persengketaan mereka dan juga memberi orang pandir suatu pengajaran praktikal bagi pembelajaran mereka; dan orang berhikmah dapat diarahkan dan diajar dengan teguran sederhana atau dengan arahan (Ams 19:25).

Pertimbangkan suatu pejabat atau suatu rumahtangga. Kamu menyelamatkan dirimu daripada perbalahan dan persengketaan dengan menghukum dan menolak pencemuh (Ams 22:10). Dengan tindakan menghukumnya dan menolaknya itu, kamu memberi pengajaran praktikal kepada yang pandir supaya takut akan kekuasaan dan mengelak perangai dan tingkah laku pencemuh itu. Pekerja atau anak yang berhikmah hanya memerlukan arahan atau teguran, sebab mereka akan belajar daripada kedua-duanya dengan sikap menunduk. Dengan itu, kehidupanmu sudah dipermudahkan: pencemuh sudah lenyap, yang pandir direndahkan dan diwaspadakan, dan yang berhikmah itu mengasihimu kerana menjadikannya lebih berhikmah (Ams 9:8-9; 28:23).

Tuhan Yesus Kristus tahu bagaimana memakai dengan sempurna kedua-dua pendekatan ini untuk menghalau pencemuh, mewaspadakan yang pandir, dan mengarahkan yang berhikmah (Mat 7:28-29; 15:12-14; 21:45-46; 22:46; Mar 12:37). Belajar lebih tentangNya dan hikmahNya daripada Alkitab, dan selepas itu mohon kepadaNya untuk membantumu menjadi lebih serupa denganNya untuk mengenalpasti orang dan mengendalikannya dengan betul.