24:12
Jika kamu berkata, Lihatlah, kami tidak ketahuinya; tidakkah dia yang merenung hati menimbang itu? dan dia yang menjaga jiwamu, tidak tahukah dia? dan tidakkah dia membalas kepada setiap orang setimpal dengan pekerjaannya?
Usah berdalih! Ia tidak akan berhasil. Kamu tidak dapat memperdayakan Allah, Yang merenungi hatimu dan menjaga jiwamu. Dia tahu fikiranmu, dan Dia akan mengganjarimu dengan sewajarnya. Alasanmu mungkin dapat membebaskanmu kalau kepada orang lain, tetapi Allah Yang Maha Besar tidak sebegitu mudah dipengaruhi.
Amaran yang takzim ini haruslah difahami dengan memakai nas yang sebelumnya, “Jika kamu menahankan diri untuk menyelamatkan mereka yang ditarik ke maut, dan mereka yang siap untuk dibunuh” (Ams 24:11). Allah menjadikanmu bertanggungjawab untuk menyelamatkan sesiapa pun yang tidak bersalah daripada kematian yang tidak wajar. Jika kamu gagal untuk melibatkan diri, meskipun dengan alasan kamu tidak tahu, maka Allah akan menghakimimu dengan adil.
Di mana adanya bayaran, usaha, atau bahaya yang terlibat, di situlah kebanyakan orang tidak akan melibatkan diri, seperti pelajaran yang diajar Yesus dalam kisah Orang Samaria yang baik. Kedua-dua imam dan orang Lewi, meskipun bangsa yang sama, tidak mahu menyelamatkan orang Yahudi yang sudah terluka. Hanya orang Samaria, iaitu musuh orang Yahudi dari segi kebudayaan, yang telah berhenti dan memberi bantuan yang menyeluruh kepada orang yang terluka itu (Luk 10:29-37).
Kebanyakan orang tidak suka meninggalkan ruang keselesaan mereka. Kebanyakan orang berharap supaya orang lain akan menjaga sesuatu masalah. Kebanyakan orang tidak suka melibatkan diri, kerana ia mungkin memakai wang atau masa. Orang yang mementingkan diri sendiri dan yang malas ini mengelak hati nurani yang menuduhi mereka dengan tidak mempedulikan peristiwa-peristiwa di sekeliling mereka. Tetapi orang yang mulia dan yang berakhlak baik akan berwaspada dan melibatkan diri, sebab mereka orang yang lebih baik.
Orang dalam amsal ini telah memilih untuk tidak tahu. Inilah dalih supaya tidak melibatkan diri untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Alasan-alasan sedemikian membawa penghakiman Allah, “Sesiapa yang menghentikan telinganya pada seruan orang miskin, dia sendiri juga akan berseru, tetapi tidak akan didengarkan” (Ams 21:13). Dan, “Dia yang memberi kepada orang miskin tidak akan kekurangan: tetapi dia yang menutupi matanya akan mendapat banyak kutuk” (Ams 28:27).
Di sinilah dosa pengabaian – kamu tidak berbuat sesuatu yang harus dilakukanmu. Kebanyakan orang hanya fikir tentang dosa perlakuan – berbuat sesuatu yang tidak harus dilakukan. Tetapi orang yang salih juga menyukat diri sendiri dengan apa yang diharapkan Allah daripadanya, kerana Alkitab menyatakan, “Oleh sebab itu, dia yang tahu bagaimana harus berbuat baik, dan tidak melakukannya, kepadanya itulah dosa” (Yak 4:17).
Jangan membuat alasan bagi dosa-dosamu, sebab ia langsung tidak akan menyelewengkan Hakim yang benar ini. Hakim ini merenung, atau menimbang dan menyukat dengan teliti, setiap dorongan dan perilaku seseorang (Ams 5:21; 21:2). Jangan mengelak melibatkan diri atau mengelak mengambil bahagian ketika kamu harus membantu orang lain, kerana Dia akan pasti mewajibkanmu berbuat demikian (Ams 3:28-29; 17:5; Yak 4:17; Mat 25:41-46).
Firman Allah, Tuhan Yesus Kristus, hidup dan sungguh berkuasa dan Dia membezakan fikiran dan niat hati (Ibr 4:12). Segalanya dalam kehidupanmu adalah telanjang dan terbuka kepada mataNya (Ibr 4:13). Oleh sebab itu, kamu patut dengan takzim mempertimbangkan segala tugasmu di hadapanNya, yang dalam amsal ini adalah untuk membantu dan menyelamatkan orang ketika berada dalam kesesakan yang serius (Ibr 4:14).