Amsal · Proverbs

27:1
Jangan memegahkan diri akan hari esok; sebab kamu tidak tahu apa yang akan dibawa sesuatu hari.

Masa depan yang dapat kamu tahu ialah hari ini. Pertimbangkanlah itu. Kamu mungkin tidak akan hidup pada hari esok, dan kamu tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari esok. Allah telah memberi kamu hari ini, dan kamu harus memakaikannya dengan berhikmah. Allah memegang masa depanmu di dalam tanganNya. Oleh itu, rancangan-rancanganmu haruslah rendah hati dan sederhana.

Hari esok mungkin membawa hujan, kehilangan pekerjaan, peninggalan pasanganmu, kemalangan jalan raya, laporan penyakit kanser, ataupun kematian. Kamu tidak akan tahu atau dapat menghentikan mana-mana peristiwa ini. Pandangan kamu akan kehidupan dan masa depanmu mungkin diubahkan dalam beberapa jam.

Kamu tidak akan mendapat kembali hari ini. Jagalah fikiran, pertuturan dan perlakuanmu, supaya jangan ia menyebabkan kesan yang sakit hati pada hari esok atau rasa salah dan dukacita selama kekekalan. Suatu kehidupan yang berjaya ialah rangkaian hari-hari yang dihidupi dengan salih. Pastikan bahawa hari ini ialah hari yang paling cerah di dalam rangkaian itu.

Hikmah Allah menyatakan bahawa kesalihan bersertakan kepuasan ialah keuntungan besar (1Tim 6:6). Adakah kamu menjalani hidup pada hari ini dengan salih setakat mana kamu tahu, dan adakah kamu sudah berpuas hati dengan apa yang telah diberi Allah kepadamu? Inilah cara untuk memaksimakan hidup dan mengelak perbuatan berdosa memegahkan-diri-akan-hari-esok itu.

Janganlah menyatakan dengan lantang apa yang kamu ingin buat pada masa depan. Di dalam apapun pernyataan rancanganmu untuk masa depan, dengan rendah hati, serahkanlah kehidupan dan rancanganmu dengan kata-kata ini: “Jika Tuhan izin.” Inilah perintah Allah bagi kehidupanmu, dan apapunpendekatan selain daripada cara ini adalah jahat (Yak 4:13-16).

Janganlah beranggapan bahawa kamu boleh menangguhkan pendamaian dengan pihak-pihak yang terkilan kepada masa depan. Kamu dapat pergi kepada mereka pada hari ini. Janganlah menangguh-nangguhkan apapun hal yang penting pada hari ini dengan fikiran bebal bahawa kamu memiliki hari esok. Dengan rendah hati, puaskanlah mahkamah syurga dan bumi pada hari ini dengan memakai setiap jam dalam sehari dengan bijak.

Jangka hayat manusia berdasarkan purata tetapi tiada purata jangka hayat orang yang bernama purata Ahmad atau yang bernama purata Siti. Sebenarnya, kamu mungkin mati muda untuk menyumbang kepada purata apa yang syarikat-syarikat insuran nyatakan sebagai purata. Jika jangka hayat manusia ialah 73 tahun (Maz 90:10), ada yang mati pada umur 23, 53, dan 93 tahun untuk mencapai purata itu.

Mengapakah ada yang terkejut akan maut? Ia merupakan suatu ketentuan yang orang tidak dapat nafikan, tetapi kamu akan berjawab bagi setiap aspek hari ini pada Hari Penghakiman (Rom 14:10-12; 2Kor 5:9-11). Maka, pelajaran di sini adalah untuk hidup salih dan hidup berhikmah dan serahkan semua rancangan dengan rendah hati kepada Allah.

Apakah yang dapat kamu buat? Kamu harus hidup sehari demi sehari. Kamu harus menganggap setiap hari sebagai hadiah dan memakainya dengan berhikmah bagi kemuliaan Allah (Maz 90:12; Rom 14:7-9). Kamu harus hidup dan mengasihi menurut jalan Allah, supaya apa pun kerugian yang dibawa hari esok tidak akan mengacau perhentian kekekalan jiwamu.

Perniagaan dan rancangan-rancangan lain patutlah diserahkan kepada kehendak Allah sebab hanya Dia yang tahu tentang hari esok (Yak 4:13-16). Rancangan-rancangan yang berani tanpa penyerahan sebegini adalah berdosa. Perbuatan bermegah di dalam rancangan-rancangan strategik atau di dalam badjet bukan hanya berdosa, tetapi ia bodoh; rancangan-rancangan sebegitu hanya spekulasi semata-mata.

Yesus berkata, “Maka janganlah runsing akan hari esok: sebab hari esok akan runsing bagi hal-halnya sendiri. Sudah cukuplah masalah yang ada dalam sehari” (Mat 6:34). Betapa berharganya hikmah ini! Janganlah khuatir bagi hari esok. Hari esok akan menjaga halnya sendiri. Kamu ada cukup masalah pada hari ini untuk menjadikan dirimu sibuk. Kamu harus berkata, “Berilah aku pada hari ini roti harianku.”

Orang bebal merancang untuk berbaik dengan Allah pada hari esok, tetapi hari itu tidak akan datang. Mereka selalu ada banyak alasan. Feliks, yang gementar di bawah khutbah Paulus, telah memberitahunya, “Pergilah menurut jalanmu buat masa kini; pada waktu adanya kesempatan yang pantas kelak, aku akan memanggilmu” (Kis 24:25). Kesempatan yang pantas itu tidak muncul. Kamu memiliki hari ini untuk menjadi salih dan berhikmah – janganlah beranggapan bahawa kamu mempunyai hari yang lain.

Kanak-kanak dan orang remaja dengan bebal dan dengan tidak sabar mengharapkan banyak hari esok, sebab mereka mendambakan kenikmatan masa depan yang dikhayalkan dan tidak menghargai hari ini. Mereka yang ada pada waktu pertengahan umur pula ingat diri mereka akan mencapai umur tua-tua. Orang tua dengan yakin percaya bahawa mereka akan melebihi hayat jiran-jiran mereka. Pembayangan sebegitu tentang masa depan ialah kegilaan. Saat-saat membaca amsal ini mungkin saat-saat terakhirmu!

Yesus pernah menceritakan kisah orang yang kaya dan yang berjaya yang merancang dengan penuh keyakinan bagi banyak tahun masa depannya, namun dia mati pada malam itu juga (Luk 12:16-21). Allah memanggilnya bebal kerana keangkuhan sebegitu dan kerana anggapannya yang memandai itu. Dan kamu juga tidak lebih berhikmah, jika kamu tidak memakai hari ini untuk menyenangkan Allah.

Salah satu cara untuk menjalani hidup adalah untuk menganggap hari ini sebagai hari yang paling terakhir di dalam hal-hal rohani. Jika kamu tahu bahawa kamu akan mati pada malam ini dan sejurus kemudian bersemuka dengan Allah Yang Mahakuasa, bagaimanakah mungkin kamu menjalani hidupmu pada hari ini? Mana-mana pandangan yang berbeza daripada pandangan tersebut membuktikan bahawa kamu sedang memegahkan-diri-akan-hari-esok.

Akankah Tuhan Yesus Kristus, Yang Berbahagia dan Yang Satu-satuNya Diraja, mendapati dirimu menanti-nantikan lawatanNya yang mengejut pada waktu kamu mati atau kedatanganNya yang tiba-tiba? Kamu mungkin mati pada hari ini. Dia akan kembali tidak lama lagi. Syurga dan neraka ialah hal yang penting sekali. Akankah kamu hidup pada hari ini dengan sewajarnya? Atau akankah kamu melakukan kesilapan teruk dengan merancangkan hari esok lalu mati pada hari ini?