1:13
Kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan:
Betapa hebatnya tawaran ini! Bagaimana mungkin kamu bertahan? Kesatuan dengan orang lain! Segala macam benda berharga! Rumah-rumah yang diisi penuh dengan barang rampasan! Berhati-hati! Maut dan neraka tersirat dalam kata-kata itu. Dunia tidak menggodamu untuk berdosa dengan menawarkan kesakitan dan masalah. Ia menggodamu dengan menawarkan persahabatan, kenikmatan, dan kejayaan. Tetapi semua barang berkilauan bukan semestinya emas, dan dosa akan pasti membawa kebinasaanmu dengan sepenuhnya.
Di sinilah pelajaran tentang tekanan rakan sebaya. Solomo memberitahu anaknya untuk menolak para pendosa yang mengundang dan menggodanya untuk menyertai mereka berbuat kebebalan (Ams 1:10). Dia memberi amaran terhadap janji-janji kesatuan dan kejayaan mereka (Ams 1:11-14). Dan dia berakhir dengan saranan kepada anaknya supaya mengelakkan dosa-dosa mereka dan penghakiman teruk yang akan pasti menimpa mereka (Ams 1:15-19).
Sebahagian besar hikmah adalah untuk menolak rakan-rakan yang tidak salih. Ia suatu amaran yang biasa dalam Alkitab (Kel 23:2; Maz 1:1; 26:4-5; 101:1-8; 1Kor 15:33; 2Kor 6:14-17; Yak 4:4). Tetapi Solomo menekankan itu bagi keselamatan anaknya (Ams 1:15; 4:14-15; 9:6; 13:20; 14:7; 19:27). Ibubapa yang baik akan berwaspada untuk melindungi anak-anak mereka daripada pengaruh-pengaruh yang tidak salih dan daripada kawan-kawan yang jahat.
Setiap dosa menawarkan dorongan yang menarik, kenikmatan besar, atau janji bagi kejayaan; kalau tidak sedemikian, orang tidak akan berdosa. Hawa ingat dia dapat menjadi seperti Allah, jika dia makan buah terlarang. Simson fikir bahawa Delila akan menjadikannya bahagia. Ananias dan Sapira ingat mereka dapat menyimpan sebahagian daripada wang pemberian dan masih mengekalkan nama pemberi yang besar di gereja. Dosa ialah dusta yang sangat memperdayakan!
Sementara dosa mungkin ada kadar kenikmatan jangka masa pendek, seperti yang diperakui Alkitab (Ibr 11:25), namun ia tidak akan mendekati kadar kedahsyatan kesan-kesan dosa yang mengutuk dan yang membinasakan. Lot yakin bahawa kawasan kediamannya yang cantik dengan kemudahan sekolah yang baik dekat Sodom akan memanfaatkan keluarganya – bagaikan mimpi ngeri yang paling buruk dia tidak dapat membayangkan apa yang mungkin terjadi kepada keluarganya yang beranggota tujuh orang itu.
Dosa berdusta! Nafsu berdusta! Ia memberitahumu bahawa kenikmatannya besar dan kesan-kesannya kecil. Alkitab memberi amaran tentang sifat perdayaan dalam dosa dan nafsu (Efe 4:22; Heb 3:13). Amnon teramat mengingini seks dengan adik perempuannya Tamar sehingga dia jatuh sakit, tetapi sesudah dia melakukan perbuatan yang keji itu, keadaan dia lebih teruk daripada dahulu, dia kekal hidup dalam ketakutan, dan dia telah dibunuh kerana perbuatannya itu (2Sam 13:1-39).
Iblis dan dunianya selalu memberi tawaran yang menarik. Mereka jarang mengakui bahawa mereka membenci Allah, ingin melanggari firmanNya, dan tidak sabar menunggu masuk ke neraka. Mereka muncul seperti malaikat cahaya dan para pelayan kewajaran dengan mengajar bagaimana untuk beragama dan berdosa serentak. Syaitan datang menyamar sebagai Yesus yang lain, mempersembahkan suatu injil yang lain, dan mencurahkan suatu roh yang lain (2Kor 11:3-4, 13-15).
Kita sudah memasuki masa yang membahayakan pada zaman akhir: para penggoda jahat sudah bertambah jahat berbanding zaman lain (2Tim 3:1-13). Agama Kristian badaniah penuh dengan orang sedemikian. Salah satu dusta manis mereka ialah tawaran untuk pertumbuhan – kamu dapat ada gereja yang berbilangan besar – sama seperti para perompak dalam amsal ini. Tetapi Paulus telah mengutuk ramai orang yang percaya bahawa hasil memperbenarkan cara yang salah. Paulus telah mengutuk sukatan sesat mereka, iaitu menganggap keuntungan sebagai kesalihan (1Tim 6:3-5). Dia telah memberitahu Timotius untuk menjauhi orang sedemikian (1Tim 6:5).
Apakah penawar bagi para penggoda yang berdusta ini? “Tetapi kesalihan bersertakan kepuasan ialah keuntungan besar” (1Tim 6:6). Tekanan rakan sebaya tidak dapat memberi kesan kepada orang yang setia kepada kesalihan dan berpuas hati dengan apa yang dimilikinya. Penggoda tiada apa pun pintu peluang dalam orang sedemikian. Paulus memberi lebih amaran tentang bahaya-bahaya yang buruk tentang cita-cita yang duniawi (1Tim 6:7-10). Musa harus menjadi teladanmu: dia meninggalkan segala peluang di Mesir untuk menderita bersama umat Kristus (Ibr 11:24-26).
Dosa berdusta! Nafsu berdusta! Apakah yang akan dilakukanmu ketika sudah insaf tetapi terlalu lambat untuk meleraikan kebebalanmu (Ams 5:12-14)? Apakah yang akan dilakukanmu ketika sedang tercungap-cungap untuk nafasmu yang terakhir (Ams 5:11)? Dosa-dosa masa mudamu akan menghukum fikiran-fikiranmu yang terakhir – sebelum Allah menghakimimu bagi nafsumu di hadapan relau api neraka yang membara. Siapakah yang akan kamu percaya pada hari ini – Allah dan amaran-amarannya dalam Alkitab, atau nafsu-nafsu yang berdusta dan yang berdosa? Larikan dirimu daripada nafsu-nafsu orang muda – sekarang juga (2Tim 2:22)!