Amsal · Proverbs

12:15
Jalan orang bebal adalah betul di matanya sendiri: tetapi orang yang mengendahkan nasihat adalah berhikmah.

Setiap orang bebal memikir bahawa dia betul. Dia tidak boleh memikir sebaliknya. Dia memikir bahawa setiap orang lain adalah salah. Orang berhikmah belajar untuk membenci fikirannya sendiri. Dia tahu bahawa fikirannya mementingkan diri sendiri, berberat sebelah, dan memperdayakan. Sebaliknya, dia mendengar dengan penuh perhatian dan dengan menunduk kepada nasihat orang lain, sebab dia tahu mereka sedang berbicara dengan kurang mementingkan diri sendiri, kurang berberat sebelah, dan kurang memperdaya daripada apa yang difikirkan hatinya.

Manusia adalah rosak dari batiniah sampai lahiriah. Hatinya – tempat asal keinginan, dorongan, dan pilihan – ialah bahagian yang paling rosak. Alkitab mengisytiharkan bahawa hati penuh perdayaan melebihi segala sesuatu dan adalah sungguh durjana, dan itu membawa dakwaan kepadanya dengan cukup teruk (Yer 17:9). Siapakah yang boleh benar-benar tahu sifat cabul hati diri sendiri? Bukanmu, kecuali kamu percaya kepada Alkitab.

Secara semula jadi, kamu membenci Allah, hikmah, pembetulan, dan orang yang memperbetulkanmu. Secara semula jadi, kamu mengasihi diri sendiri, menganggap diri sendiri betul, dan percaya bahawa kamu melakukan segalanya lebih baik daripada orang lain. Satu-satunya alasan yang dipakaimu sekiranya gagal adalah kerana kesalahan orang lain atau kerana keadaan yang teruk. Kamu ada setiap segi pandangan terlindung supaya terus percaya bahawa kamu memang betul dan selalunya betul. Betapa hebatnya kebebalan itu!

Untuk keluar dari takungan najis keangkuhan dan pemberontakan manusia, kamu harus belajar untuk tidak percaya, dan pandai mengkritik dan membenci fikiranmu sendiri. Ini salah satu cabaran yang paling sukar dalam pencapaian untuk hikmah, sebab dengan hati naluri dan nafsu, kamu ingin melindungi dan mengikuti fikiranmu. Ia kegiatan yang paling besar dalam kerendahan hati untuk mengakui kesalahanmu sendiri dan untuk menyambut pendapat orang lain.

Satu-satunya sukatan hikmah yang paling baik ialah kemampuanmu untuk meremukkan fikiranmu sendiri dan menerima arahan. Inilah penekanan Salomo yang paling lazim menerusi seluruh kitab Amsal. Dia dengan kerap kali merayu kepada para pendengarnya untuk menerima arahan, dengan tahu bahawa hati mereka dengan semula jadi memberontak terhadap apa pun nasihat atau gagasan yang bercanggah dengan gagasan mereka sendiri.

Setiap orang haruslah datang kepada Allah dan Alkitab dengan kepercayaan dan penundukkan yang sepenuhnya. Suatu sanjungan yang kudus harus dibentuk dalam hati bagi setiap ketetapan; suatu kebencian kudus haruslah dipupuk bagi setiap fikiran yang bercanggahan (Maz 119:128). Salomo menulis, “Dalam segala jalanmu akuilah dia, dan dia akan mengarahkan jalanmu” (Ams 3:7).

Kamu harus mendiamkan hatimu yang suka menjerit. Dambakanlah hikmah, dan akuilah bahawa hikmah tiada di dalam dirimu secara semula jadi. Akuilah bahawa hanya Allah yang benar-benar ada hikmah yang benar. Ujilah segala sesuatu dengan Alkitab (1Tes 5:21; Kis 17:11). Pakailah banyak penasihat yang berhikmah bagi keputusan-keputusan yang praktikal (Ams 11:14; 15:22; 24:6). Jagalah hatimu dengan tekun dan dengan tegas (Ams 4:23; Yes 8:20).

Pilihan-pilihan yang dibuat setiap hari menyatakan isi hatimu. Orang bebal mendengar hati mereka sendiri; orang berhikmah mencari firman Allah. Orang bebal menolak arahan dan amaran orang lain; orang berhikmah mengasihi dan mencari amaran orang lain. Jangan berpuas hati untuk memikir dirimu sendiri betul; pastikan dirimu betul melalui dua kriteria ini.