18:4
Perkataan mulut orang adalah seperti lautan yang dalam, dan mata air hikmah adalah seperti aliran anak sungai.
Berapakah dalam dan berapakah mengalirnya hikmah pada dirimu? Orang yang berhikmah ialah kolam hikmah yang dalam, yang menghasilkan kata-kata nasihat yang berhemat untuk membantu orang lain. Jiwanya mengeluarkan suatu saluran hikmah yang tidak terputus-putus, yang merupakan pokok kehidupan kepada banyak orang (Ams 15:4). Berapakah dalam dan berapakah mengalirnya hikmah pada dirimu?
Amsal ini bukanlah tentang sesiapa pun atau mana-mana orang. Penjelasannya khusus bagi orang yang berhikmah, dan ini dapat diperoleh dengan membandingkan dua ungkapan yang jelas itu. Hanya mulut orang yang berhikmah menyalurkan pengetahuan kepada orang lain (Ams 15:7; 16:23; Pkh 10:12; Maz 37:30-31). Mulut orang bebal mencurahkan kebebalan.
Amsal ini ada dua simile yang indah. Yang pertama mengisytiharkan perkataan orang berhikmah sebagai lautan yang dalam. Apakah yang dapat kamu belajar melalui perbandingan ini? Hikmahnya dalam: bukanlah hanya suatu pandangan kehidupan secara cetek (Yoh 7:24; Yes 11:1-4). Hikmahnya banyak: dia dapat membantu pelbagai dilema/dugaan (Ayb 29:21-25; Mat 13:52). Hanya orang yang ada pemahaman dapat menimbanya keluar, sebab orang berhikmah tidak mudah dipujuk untuk memberi pendapatnya (Ams 20:5; 17:27).
Simile yang kedua menyamakan perkataan orang berhikmah dengan mata air yang menghasilkan aliran anak sungai. Mata air ialah punca atau sumber saluran air. Sementara anak sungai membekalkan air untuk memperkayakan kawasan lembah, demikian juga orang berhikmah berbicara untuk membantu orang di sekelilingnya. Mulutnya ialah perigi kehidupan (Ams 10:11). Arahannya ialah mata air kehidupan (Ams 13:14). Dia membantu banyak orang (Ams 10:21). Dia kesihatan dan pokok kehidupan kepada orang lain (Ams 12:18; 15:4). Orang bebal membawa maut (Ams 13:2).
Salomo ada keluasan hati dan hikmah yang mengatasi semua orang lain (1Raj 4:29-34). Dia dapat berbicara tentang apa pun subjek, termasuk pokok. Para penasihat raja-raja dari seluruh bumi datang untuk mendengar hikmahnya. Tetapi Anak Salomo, Yesus Kristus, lebih besar daripada Salomo. Ketika Yesus berbicara, orang tertakjub dengan kedua-dua kekuasaanNya dan kebaikan budinya (Mat 7:28-29; Luk 4:22). Dan dia dapat menutup mulut musuh-musuhNya pada bila-bila masa sahaja (Mat 22:46).
Berapakah dalam dan berapakah mengalirnya hikmah pada dirimu? Sudahkah kamu belajar kata-kata kebenaran untuk memberi jawapan yang pasti kepada orang yang bertanya (Ams 22:17-21)? Sudahkah kamu merenungi firman Allah untuk mampu menjawab musuh, guru, dan orang tua-tua (Maz 119:98-100)? Adakah kamu belajar sebelum menjawab hal yang baru (Ams 15:28)? Sudahkah kamu belajar bagaimana untuk menjawab setiap orang dengan berbudi baik (Kol 4:6)? Sudahkah kamu menunjukkan roh yang mulia dengan mengekang ucapanmu (Ams 17:27)?
Sudahkah kamu menguduskan Tuhan Allah dengan menyanjungiNya dalam hatimu, supaya kamu boleh memberi hujahan yang sihat bagi harapanmu itu (1Pet 3:15)? Adakah kamu percaya kepada Alkitab sebagai mencukupi untuk menyempurnakan hamba Allah (2Tim 3:16-17)? Adakah kamu cukup mengasihi orang lain untuk mengenal keperluan-keperluan mereka dan membantu mereka (1Tes 5:14; Ibr 3:12-13)? Adakah kamu cukup rohani untuk menyelamatkan orang yang lemah di sekitarmu (Gal 6:1; Yak 5:19-20)? Dapatkah kamu berbicara tentang hal-hal Allah kepada orang lain, terutamanya anak-anakmu dan cucu-cucumu (Maz 71:14-18; 78:1-8; Mal 3:16)?
Jika kamu dapat menjawab soalan-soalan ini dengan positif, maka kamu merupakan orang yang disebut amsal ini. Jika tidak, maka kamu harus mengerjakan dua perkara. Pertama, kamu memerlukan kedalaman hikmah supaya kata-katamu adalah seperti lautan yang dalam. Kamu melakukan itu dengan memperoleh sebanyak hikmah semungkin daripada Alkitab. Kedua, kamu perlu mempersiapkan pam dan membuat kata-katamu mengalir seperti anak sungai. Kamu harus menolak kebebalan berat mulut atau takut akan manusia supaya dapat menjawab dan mengajar orang lain yang memerlukan hikmah.