Amsal · Proverbs

21:22
Seorang berhikmah memanjat kota orang kuat, dan menumbangkan kekuatan yang diyakini itu.

Kekuatan tidak menjadikan sesuatu betul, dan ia juga tidak menjamin kejayaan. Sebenarnya, ia tidak penting sama sekali kalau ia dibandingkan dengan hikmah. Orang berhikmah lebih unggul daripada orang bebal, tidak kira betapa kuatnya orang bebal itu. Pelajaran di sini adalah bahawa hikmah lebih baik daripada kuasa atau kekuatan (Pkh 7:19; 9:13-18).

Pada zaman generasi yang bebal dan yang gila kenikmatan ini, orang yang ada kekuatan dihormati dan dinaikkan pangkat lebih daripada orang yang ada hikmah. Orang dengan hikmah benar – mengenal kehendak Allah bagi apa pun situasi – diketepikan atau diperolok-olokkan. Dunia tidak menjadikan orang berhikmah bintang mereka, tetapi sebaliknya memuliakan para olahragawan, pelakon, dan artis-artis muzik. Betapa teruknya layanan terhadap hikmah atau kebijaksanaan ketika menyiarkan pandangan orang-orang tersebut yang menyamai fikiran budak sekolah rendah!

Hikmah sungguh berguna. Ia dapat memperkasakan kemampuanmu. Ia dapat banyak mengarahkan tenagamu dan usahamu dengan lebih cekap daripada apa yang orang lain fikir mungkin. Kekurangan pendidikan, kepandaian, pengalaman, atau kepopularan, dan kekurangan yang lain, tidak perlu mengecewakanmu atau mengalahkanmu. Pertimbangkan dengan teliti contoh cemerlang yang dikemukakan Salomo tentang seorang lelaki lemah yang mengasah kapaknya untuk melebihi keberhasilan orang yang lebih kuat yang memakai kapak yang tumpul (Pkh 10:10).

Hikmah Allah dapat menjadi sungguh praktikal, seperti kebanyakan ajaran daripada kitab Amsal ini. Misalnya, ia menggalakkan pelaburan modal untuk menggandakan jerih lelah dengan memakai lembu jantan untuk mengatasi hasil tenaga buruh (Ams 14:4). Salomo juga telah mengajar bagaimana untuk menamatkan perselisihan (Ams 15:1; 25:15), beli dengan jujur (Ams 20:14), mengatasi diskriminasi (Ams 17:2), nilai para penasihat yang baik (Ams 15:22), mengelak liabiliti bersyarat (Ams 22:26), dan banyak perkara lagi.

Tidak kira betapa nampaknya seteru atau situasi itu kuat dan teguh, hikmah boleh membantumu untuk mengatasi apa pun usaha yang berniat menindas atau menghalangmu. Walaupun manusia bermegah maju dalam keyakinannya yang angkuh, yang menjadikan mereka lebih teruk daripada orang bebal (Ams 26:12), kamu dapat oleh hikmah melihat kesalahan-kesalahan dan kelemahan mereka untuk menumbangkan mereka (Ams 22:26), dan banyak lagi.

Kota Babel pada tahun 457 Sebelum Masihi, tidak mungkin dicerobohi dan merupakan salah satu keajaiban dunia. Raja Nebukadnezar telah memerintah dengan kuasa mutlak sepanjang hayatnya, dan sekarang ibu kotanya ini dikepung oleh orang Media dan orang Parsi. Cucunya Belsyazar sebegitu yakin akan kekuatan kota itu sehingga dia berpesta dengan para pembesarnya sampai larut malam (Dan 5:1-4).

Berapa kuatnya Babel? Kota itu enam belas kilometer lebar dan panjang masing-masing, maka ia ada keluasan 256 km persegi. Sungai Euphrates mengalir menerusi kota itu sebagai bekalan air, dan Taman Tergantung Babel membekalkan makanan. Pintu-pintu gangsa yang besar sekali dengan palang-palang besi melindungi kota itu daripada serangan dari sungai. Ada dinding dua lapis yang mengelilingi kota itu, yang tingginya 75 kaki dan lebarnya 30 kaki, dengan adanya jarak di tengah-tengah dua dinding itu. Di luar dinding luaran adanya parit yang berbekalkan air Sungai Euphrates.

Kota itu dan musuh-musuhnya menganggapnya sebagai tidak mungkin dicerobohi bagi serangan kepungan biasa. Di dalam dinding itu adanya taman dan dusun untuk membekalkan kota itu dengan makanannya sendiri. Dengan berbekalkan air Sungai Euphrates, mereka dapat bertahan ketika dikepung untuk dua puluh tahun. Orang Babel dalam kota itu memandang rendah orang Media dan orang Parsi di luar. Belsyazar dan para pembesarnya berpesta sampai larut malam dengan keyakinan besar akan kekuatan kota mereka.

Tetapi orang Parsi pula mempunyai seorang raja yang bernama Cyrus [Koresh], yang telah dipilih Allah dan diberkati dengan hikmah (Yes 45:1-4). Para jurutera Cyrus mengalihkan Sungai Euphrates ke dalam kawasan yang dipakai sebagai kawasan takungan air berlebihan pada musim banjir. Cyrus kemudian membawa angkatannya untuk berarak masuk ke dalam kota itu menerusi dasar sungai yang sudah kering. Oleh sebab keyakinan yang angkuh kepada kekuatan kota mereka, orang Babel telah meninggalkan dua pintu gerbang, yang menjadi pintu antara sungai dengan kota, terbuka. Belsyazar terbunuh pada malam itu juga lalu kota itu tertakluk dengan mudah.

Apakah pelajaran-pelajarannya? Hikmah lebih baik daripada kekuatan, dan orang yang hanya yakin dalam kekuatan ialah orang bebal. Hikmah membuat keputusan yang berhemat dan yang kreatif, dan Allah memberi Cyrus hikmah yang istimewa untuk merancang suatu strategi untuk dengan mudah menumbangkan kota Babel yang kuat.

Allah memanggil Cyrus menurut namanya dan telah meramalkan penaklukan Babel 150 tahun sebelum Cyrus dilahirkan (Yes 13:1-22; 44:21-28; 45:1-4; 47:7-9; Yer 51:30). Masalah-masalahmu mungkin nampak besar, dan musuh-musuhmu mungkin bongkak dengan keyakinan, tetapi hikmah Allah di dalam Alkitab boleh mengalahkan kedua-dua itu (Ams 22:17-21; Maz 19:7-11; 2Tim 3:16-17).