Amsal · Proverbs

10:13
Pada bibir orang yang ada pemahaman ditemui hikmah: tetapi tongkat adalah bagi bahagian belakang orang yang kekosongan pemahaman.

Kadar kebodohan atau kadar hikmah kamu dikenali daripada pertuturanmu. Orang yang memiliki pemahaman ada kata-kata yang berhikmah yang membantu yang lain; orang yang kekosongan pemahaman berkata-kata dengan bodoh dan tidak membantu sesiapa pun. Kamu tidak dapat menyembunyikan sifatmu. Kamu tidak dapat menipu orang selama-lamanya. Kamu tentu akan terdedah (Ams 26:26; Pkh 5:3; 10:3). Dan jika pertuturanmu mengenalpastikan dirimu sebagai orang bodoh, layanan yang paling baik untukmu sesuai dengan kebijaksanaan Allah ialah pukulan yang cukup baik (Ams 18:6; 26:3).

Perhatikan amsal ini dengan teliti. Bahagian pertama mengenalpastikan seorang yang ada pemahaman yang bertutur dengan hikmah. Bahagian yang kedua memberi arahan untuk memukul orang yang tidak memiliki pemahaman. Keselarian amsal ini mengajar dua pelajaran utama: (1) pertuturanmu menunjuk keadaanmu jika ada pemahaman atau tidak, dan (2) hukuman adalah wajar bagi orang yang berkata-kata bodoh. Elipsis – pengguguran kata dalam teks – pada bahagian kedua amsal ini, “berkata-kata bodoh” difahami pada bahagian pertama amsal ini.

Allah dan Salomo telah memberikanmu hikmah yang berharga. Di sinilah nasihat untuk kehidupan supaya kita tahu menyukat hati manusia dan cara melayani mereka. Orang baik dengan hati yang berhikmah menyampaikan pengetahuan, nasihat yang salih, dan hikmah yang kukuh; dan mereka melakukannya dengan cara lemah-lembut dan dengan kasih. Orang bodoh dengan hati yang cabul membebelkan pendapat dan masalah-masalah mereka; mereka merungut tentang hampir semua perkara; dan mereka melakukannya dengan cara yang menjelekkan.

Betapa berharganya hikmah ini! Orang jahat suka berkata, “Engkau tidak tahu hatiku. Aku orang baik. Aku orang yang ada pemahaman”. Tetapi ini merupakan alasan-alasan yang bohong untuk membenarkan ucapan dan perlakuan mereka yang tidak salih. Suatu pelajaran utama di dalam amsal adalah untuk mengenalpastikan sifat seseorang melalui ucapannya (Ams 10:19,21,32; 12:13; 14:3,7; 15:7; 16:2; 17:7,27-28; 18:7; Pkh 10:12). Tuhan Yesus Kristus juga menyerlahkan perkaitan yang pasti ini (Mat 12:33-37).

Hai pembaca! Adakah pertuturamu menampilkan dirimu sebagai bodoh atau berhikmah? Ia mudah untuk dikenalpastikan. Bolehkah kamu memberi asas untuk perkataanmu melalui Alkitab? Adakah kamu mempunyai terlebih kawan sehingga melampaui kemampuanmu? Adakah orang lain memandang dirimu dengan darjat yang tinggi? Adakah orang kerap kali mencari nasihatmu? Jika kamu boleh menjawab keempat-empat soalan ini dengan positif, maka kamu seorang yang berhikmah. Jika sesetengah soalan tersebut didapati berjawapan negatif, maka kamu adalah orang bebal! Akuilah kebebalanmu kepada Allah. Rayu kepadaNya untuk mengawal bibirmu.

Hai pembaca! Adakah orang lain berpendapat bahawa kamu seorang yang berbudi bahasa atau jelek, berbudi baik atau menghiris hati, membantu atau melukakan, ceria atau kritis, serius atau suka mempersenda, suka mengasihi atau suka mengertawakan orang, berbudi bicara atau berkelakar? Renungan yang jujur akan perbandingan-perbandingan ini akan menampakkan sifatmu. Rendahkanlah dirimu di hadapan Allah. Biar ucapanmu dikurangkan. Biar kekuatan suaramu dikurangkan. Jangan bercakap tanpa apa pun yang penting untuk dikatakan. Belajarlah sebelum kamu bercakap. Jadilah berbudi baik dan positif, selalu! Pergi beri pujian kepada orang lain sekarang juga!

Tahap keduniawian atau kerohanianmu juga dikenalpastikan oleh pertuturanmu. Ia mudah sekali untuk menjadi musuh Kristus – pentingkanlah dunia ini, itu sahaja (Mat 6:24; Fil 3:18-19; Yak 4:4; 1Yoh 2:15-17). Bagaimana mengenalpastikan musuh Yesus Kristus? Dengar. Mereka berbincang akan sukan, perniagaan, kesihatan, politik, atau peristiwa-peristiwa terkini. Walaupun kamu dengar dengan teliti, kamu langsung tidak akan mendengar Kristus dipuji, doktrin ditinggikan, atau kesyukuran yang mendalam.

Lagi pula, tahap kasih atau benci kamu kepada orang lain diperlihatkan kata-katamu. Jika kamu mengasihi orang kudus yang lain, iaitu bukti yang terbesar akan hidup yang kekal, kamu akan selalu mengucap perkara baik kepada mereka, untuk mereka, dan tentang mereka. Orang yang kerap kali mencerca, merungut, memfitnah, mengumpat, atau berbisik-bisik bukan sahaja orang bodoh tetapi anak Iblis (Yoh 8:44; 1Kor 3:3; Tit 3:3; Yak 3:14-18; 1Yoh 3:1-19).

Hukuman pukul adalah paling baik untuk seseorang dengan lidah yang bebal (Ams 26:3). Jika orang itu merupakan anakmu, maka kamu boleh mendidiknya dalam jalan yang patut dipakainya dengan tongkat dan teguran (Ams 22:6; 29:15). Jika dia merupakan calon pasanganmu, maka putuskanlah perhubungan kamu itu! Jika dia merupakan kawanmu, maka kamu dengan mudah sahaja boleh cari kawan lain yang lebih baik (Ams 9:6; 13:20; 14:7). Pilihlah orang berhikmah yang ada pertuturan yang berhikmah untuk dijadikan teman-temanmu, sebab ini akan menjadikan dirimu lebih baik (Ams 22:11; Maz 119:63).