Amsal · Proverbs

11:18
Orang durjana mengerjakan suatu kerja yang memperdaya: tetapi bagi orang yang menabur kewajaran adanya ganjaran yang pasti.

Ada hanya satu cara untuk kehidupan yang berjaya – kejar itu dengan setia dan dengan benar, seperti kepada Tuhan. Para pendosa menipu diri sendiri! Mereka merancang dan berjerih lelah kepada sesuatu matlamat, tetapi mereka sama ada tidak mencapainya, atau mereka tidak bahagia ketika memperolehnya. Sebaliknya, orang benar dengan tekun dan dengan sabar mengejar objektif sendiri, dan mereka memperoleh apa yang diharapkan, atau mereka menemui damai sejahtera dan kesenangan yang setara atau yang lebih banyak tanpanya. Betapa berbeza dua kehidupan ini!

Pertimbangkanlah amsal ini. Kerja yang memperdayakan orang oleh orang durjana ialah kesukaran mendapat kejayaan. Dia menyasar mencapai kesenangan melalui dosa. Dia mengejar nafsu-nafsunya, tetapi hasilnya tidak pernah memuaskan hatinya atau tubuhnya yang kedambaan. Pertimbangkan dua klausa untuk membuktikan tafsiran ini. Orang durjana dibandingkan dengan orang benar. Kerja yang memperdaya dibandingkan dengan ganjaran yang pasti. Oleh sebab itu, orang benar mendapat apa yang dikejarnya dengan sabar, tetapi orang durjana berakhir menjadi terperdaya.

Pertimbangkan sesetengah contoh. Syaitan menjanjikan Hawa kemampuan menjadi seperti Allah dengan menolak perintah Allah dan memakan buah terlarang (Kej 3:1-5). Kesan-kesan buruk pertama sampai dengan serta-merta, tetapi ia tidak pernah berakhir (Kej 3:6-24; 5:5; Wah 20:11-15). Sebaliknya, Syaitan menawarkan kerajaan-kerajaan dunia kepada Yesus, tetapi Yesus bertahan menolak godaan itu, dan sekarang Dia memerintah syurga dan bumi (Mat 4:8-11; Ibr 12:1-3). Dia memperoleh ganjaran yang pasti.

Amnon jatuh sakit kerana bernafsu terhadap adik tirinya yang cantik, maka dia berkomplot lalu merogolnya, tetapi kesan-kesannya sungguh tidak memuaskan dan mengakibatkan dirinya kehilangan nyawa sendiri (2Sam 13:1-39). Sebaliknya, Ishak pada umur 40 tahun dan Yakub pada umur 77 percaya kepada arahan ayah mereka tentang isteri, dan mereka berdua mendapat perempuan yang cantik yang takut akan Allah – Ribka dan Rahel – dan keturunan yang besar. Amnon telah terperdaya, tetapi kedua-dua bapa leluhur itu mendapat ganjaran yang pasti.

Israel merungut dan mengadu tentang hal manna sampai mereka memaksa Allah untuk memberi mereka burung puyuh. Allah memberi itu kepada mereka – tiga kaki tinggi dari setiap arah sejauh jalan kaki sehari, tetapi Dia membunuh banyak di kalangan mereka kerana nafsu mereka lalu menyampaikan kekurusan ke dalam jiwa mereka yang masih hidup (Maz 106:13-15). Sebaliknya, sedikit salad atau roti kering lebih daripada mencukupi bagi dua orang yang berjalan dengan Allah dan dalam kasih dan yang ada damai sejahtera dengan satu sama lain (Ams 15:17; 17:1).

Gehazi yang bebal bernafsu untuk pakaian mewah dari Siria yang ada pada Naaman, lalu dia berbohong untuk memperolehnya, tetapi dia sungguh dikecewakan pada akhirnya kerana kehilangan pakaian itu, dan dia bersama keluarganya berakhir dengan penyakit kusta (2Raj 5:20-27). Sebaliknya, Musa menolak kesenangan dan kekayaan Mesir demi umat Allah, lalu dia diganjari salah satu jawatan yang tertinggi dan kerjaya yang paling gemilang di Israel (Ibr 11:24-29), dan dia muncul dalam keadaan yang mulia dengan Elia di gunung transfigurasi [perubahan rupa] (Mat 17:1-3).

Orang yang bekerja sampai nak mati untuk memajukan diri kurang menikmati kekayaan yang dikumpulkannya, sebab dia tiada masa untuk bersantai dan menikmatinya, dan kemudian dia pula mati. Sementara mendengar akan harta miliknya yang sedang bertambah, dia mendapati dirinya tidak berpuas hati dan mengingini lebih (Pkh 5:10). Tetapi orang benar tidak mahu bahaya atau kesia-siaan kekayaan, maka dia berdoa untuk pendapatan dan aset yang sederhana dan bukan kekayaan, dan dia tertarik dengan hasil yang sungguh menyenangkan itu (Ams 30:7-9).

Orang benar mungkin tidak dapat melihat ganjarannya untuk seketika, sebab menabur ialah istilah yang diambil daripada bidang pertanian, di mana petani menunggu banyak minggu malah berbulan-bulan juga untuk ganjaran tuaian. Gesaannya tidak pernah lemah, “Dan janganlah kita jemu-jemu berbuat baik: sebab tepat pada waktunya kita akan menuai, jika kita tidak menjadi lemah” (Gal 6:9). Adakah kamu percaya akan itu, hai pembaca?

Ganjarannya akan pasti datang bagi orang benar. Tabur dengan setia dalam kewajaran, dan kamu akan menuai ganjarannya tidak lama lagi (Gal 6:7). “Supaya orang akan berkata, Sesungguhnya ada ganjaran bagi orang benar: sesungguhnya dia Allah yang menghakimi di bumi” (Maz 58:11). Kesalihan ada janji bagi kehidupan yang sekarang ada dan juga bagi kehidupan yang akan datang (1Tim 4:8).