Amsal · Proverbs

13:16
Setiap orang yang hemat berurus dengan pengetahuan: tetapi seorang bebal memaparkan kebebalannya dengan terbuka.

Khayalan atau fakta? Rekaan atau bukan rekaan? Berharap-harap atau memang tentu? Adakah kamu pasti? Setiap orang harus memilih dasar bagi fikirannya dan keputusan-keputusankehidupannya. Orang bebal beroperasi menurut alam rekaan pendapat dan tekaan diri sendiri, dan kebebalan mereka ternyata kepada semua orang. Orang berhikmah dengan bijak memilih pengetahuan bagi kesemua fikiran, pertuturan dan tingkah-laku mereka.

Salomo juga menyatakan ini dengan elok di tempat yang lain, “Orang pandir percaya setiap perkataan: tetapi orang berhemat memandang rapi ke mana dia pergi” (Ams 14:15). Ada perbezaannya. Orang bebal percaya segala sesuatu yang dia dengar, sementara orang berhemat pula berhati-hati dan kurang percaya akan semuanya. Salomo pernah tambahan lagi menulis, "Orang yang berhemat nampak kecelakaan, dan menyembunyikan dirinya: tetapi yang pandir lalu sahaja, dan dihukum.” (Ams 22:3). Orang berhemat mempertimbangkan bahaya yang mungkin terjadi dan mengelakkannya; orang bebal membabi buta di dalam kejahilannya dan dihukum. Dekapilah kecermatan untuk menjadi berhikmah!

Orang berhemat berhikmah, cermat, berhati-hati, dan memakai penghakiman yang sihat. Mereka sungguh berhati-hati supaya hanya berurus dengan apa yang dapat dibuktikan sebagai fakta atau hakikat. Mereka tidak percaya segala yang didengar atau yang dibaca; ia harus dimantapkan dengan bukti sebelum mereka mahu mempertimbangkannya. Mereka tidak lekas membuat kesimpulan, tidak mendengar desas-desus, tidak percaya apa yang menimbulkan sensasi atau yang menggemparkan, dan tidak membenarkan cerita dibesar-besarkan. Mereka tidak bercakap tentang hal yang kurang mereka tahu, tidak memasuki activiti yang tidak difaham mereka, dan tidak menerima pendapat tanpa semua fakta (Ams 14:8).

Orang bebal percaya hampir segalanya, terutamanya kalau ia mengesahkan anggapan bebal mereka. Mereka mencari-cari apapun yang dapat menyokong pendapat jahil mereka; mereka menganggapnya kebenaran, dan mereka mengulanginya kepada orang lain. Mereka sebenarnya tidak mahu pemahaman; mereka hanya ingin menunjuk dan mengumumkan apa yang ada di dalam hati mereka (Ams 18:2). Jika ia nampaknya boleh dipercayai, maka mereka percaya akan itu. Jika ia nampaknya menimbulkan sensasi dan menggemparkan, mereka sungguh teruja akannya. Mereka menjawab perkara-perkara sebelum mendengarkannya pun (Ams 18:13). Bagi mereka, perasaan sudah cukup mantap sebagai fakta. Sungguh aib!

Orang berhemat belajar sebelum menjawab, tetapi orang bebal mencurahkan kebebalan (Ams 15:28). Orang berhemat tidak memberitahu segalanya yang mereka tahu, tetapi orang bebal pula bercakap tentang apa yang mereka tidak tahu (Ams 12:23). Orang berhemat memakai pengetahuan dengan betul, tetapi orang bebal pula mencurahkan kebebalan (Ams 15:2). Orang bebal memaparkan kebebalan dalam pertuturan dan tingkah laku setiap hari (Pkh 10:3). Orang mulia pula meneliti segala sesuatu (Kis 17:11).

Harus perlu ada lebih orang seperti bani Isakhar, seperti yang dicatatkan di dalam Alkitab, orang yang ada, “pemahaman zaman-zaman, untuk mengenal apa yang harus dibuat Israel” (1Taw 12:32). Inilah orang yang akan menghakimi dengan penghakiman yang betul, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat semata-mata (Yoh 7:24). Inilah orang baik yang diisi penuh dengan pengetahuan, dan yang mampu menegur satu sama lain (Rom 15:14). Amsal ini memberi kesimpulan akan kebanyakan pelajaran yang Pengkhutbah Salomo harap untuk mengajar anaknya.

Salomo telah mendedahkan orang bebal dalam buku Pengkhutbah. Dia menerang bahawa orang yang membebel ini bermula dengan borak bebal dan tamat dengan kenakalan yang gila (Pkh 10:13). Mereka penuh dengan perkataan walaupun tak seorang pun tahu apa yang akan berlaku pada hari esok (Pkh 10:14), dan mereka rasa jengkel akan pekerjaan keras, sebab mereka tidak dapat memahami apa yang paling mudah pun (Pkh 10:15).

Paulus telah mengarahkanmu supaya berhikmah dan memahami apa kehendak Allah (Efe 5:17). Kamu harus menjadi lelaki dewasa, dan bukan budak, di dalam pemahaman (1Kor 14:20). Orang kudus menguji segala sesuatu (1Tes 5:21). Satu-satunya punca pengetahuan ialah firman Allah dan takut akan Allah (Ams 1:7). Apa pun yang menentang nas-nas kitab ialah kejahilan (Yes 8:20).Kamu harus menganggap Allah benar dan setiap orang yang lain pembohong (Rom 3:4). Alkitab benar di dalam setiap subjek, dan kamu harus membenci setiap jalan yang bertentangan dengannya (Maz 119:128). Jangan bersandar kepada pemahamanmu sendiri tetapi sebaliknya percayalah kepada Tuhan dengan segenap hatimu (Ams 3:5-6). Dia akan mengarahkan jalan orang yang hemat (Maz 37:23).

Hai pembaca, adakah kamu menyebut semula apa yang belum diujimu benar? Percayakah kamu bahawa segala yang dicetak pasti benar? Berapa kerap kamu berkata, “Aku rasa ...”? Adakah kamu waswas terhadap “hasil” yang tidak biasa dan yang kurang mengikut kelaziman? Adakah kamu percaya kepada “kesaksian”? Adakah kamu faham bagaimana mengerjakan sesuatu sebelum kamu memakainya? Adakah kamu percaya bahawa seminar-seminar percuma adalah untuk membantu dirimu? Adakah kamu percaya bahawa ada “sarapan percuma” yang sedang menanti-nantikan dirimu supaya menemuinya? Adakah kamu tahu bahawa angka-angka tidak berbohong tetapi pembohong mengangka-angka? Adakah kamu tahu bahawa hal-hal yang tidak lazim biasanya lebih menyerupai benda tipu daripada benda yang lazim? Adakah sambutan orang ramai yang hebat mengagumkanmu sehingga percaya ia benar? Adakah “maklumat” menentang kerajaan atau menentang organisasi-organisasi yang kamu tidak suka mengagumkanmu?

Tekaan atau heboh sensasi politik atau kewangan bukan untu Orang Kristian. Orang Kristian harus berurus dengan pengetahuan – apa yang ditemui dalam firman Allah atau yang sudah dimantap sebagai fakta. Orang Kristian yang pelampau menonjolkan kebebalan diri mereka dan agama mereka dengan meramalkan kesudahan dunia pada Y2K. Hai pembaca, tuntutilah pengetahuan!

Jika sesuatu nampak sebagai “terlalu baik untuk menjadi benar”, maka ia memang itulah – terlalu baik untuk menjadi benar! Janganlah percaya akannya! Kamu tidak menemui apa pun, tetapi suatu godaan bagi mindamu yang lemah dan suatu batu sandungan bagi orang pandir yang lain. Ada orang pandir yang dilahirkan setiap minit, dan kamu tidak harus menjadi salah satu daripada mereka. Kamu harus berurus dengan pengetahuan, dan Allah telah memberi segalanya yangdiperlukanmu dalam Alkitab (2Tim 3:16-17) dan telah memberi arahan untuk menguji segala-galanya (1Tes 5:21).

Mengapa wujudnya sebegitu banyak agama? Sebab kebanyakan orang percaya kepada ibubapa, paderi, dan/atau guru-guru tanpa berusaha dengan bijak untuk mengesahkan atau menyangkal apa yang dituntut agama itu sebagai benar. Pertimbangkan bagaimana Allah mengolok-olok hal sembahyag berhala dan orang yang menyembah berhala kerana tidak menguji bohong agama mereka (Yes 44:9-20; Hab 3:18-20). Orang Berea yang mulia menyemak semula kebenaran walaupun kata-kata yang sedang diuji disebut oleh Rasul Paulus sendiri (Kis 17:11). Suatu bohong agama hanya dipercayai oleh orang yang terlalu takut, jahil, atau malas untuk menyoalkannya secara kritik.

Mengapah wujudnya banyak mazhab dalam agama Kristian? Sebab pastor-pastor dan orang yang menuntut diri sendiri sebagai Kristian tidak berjerih lelah untuk sungguh-sungguh memperjuangkan kebenaran rasuli dan sungguh-sungguh menentang apapun inovasi, perubahan, atau penolakan kebenaran Alkitab. Wahyu Allah di dalam Alkitab adalah mutlak dan muktamad, dan apapun kompromi ajarannya haruslah disangkal dengan sekuat-kuatnya, tidak kira betapa popular atau betapa mengagumkan bohong itu.

Hamba Allah, lebih daripada orang yang lain, harus belajar untuk menunjukkan dirinya lulus di dalam firman kebenaran (2Tim 2:15; Tit 1:9). Terlalu banyak pastor dan guru telah menggantikan khutbah doktrin sihat Alkitab dengan hiburan dan dongeng (2Tim 4:1-4). Kebebalan mereka akan didedahkan secara terbuka, selari dengan amsal ini, oleh kesan-kesan badaniah yang timbul (2Tim 3:6-9). Biarlah setiap hamba Allah gementar di dalam tugasnya untuk hanya berurus dengan pengetahuan.

Yesus Kristus dengan berhemat berurus dengan pengetahuan; Dia telah disanjungi dan dinaikkan, dan Dia sungguh-sungguh tinggi (Yes 52:13). Dia mempunyai pemahaman yang tangkas dengan roh pengetahuan untuk menghakimi dengan wajar (Yes 11:1-5). Dia menjawab soalan-soalan yang agak-agak dan yang licik daripada kepimpinan orang Yahudi yang membenciNya, dan Dia menyoal mereka dengan soalan yang mendedahkan kejahilan dan kemunafikan mereka (Luk 2:41-47; 20:1-8, 20-47). Dia selalu berurus dengan pengetahuan. Dia teladanmu, maka ikutilah Dia pada hari ini juga dalam cara kamu berurus dengan situasi-situasi yang akan ditempuhimu.