Amsal · Proverbs

18:11
Kekayaan orang kaya ialah kotanya yang kuat, dan seperti kubu yang tinggi dalam keangkuhannya sendiri.

Kekayaan merosakkan kebanyakan orang. Keangkuhan mereka bertumbuh sejajar dengan wang mereka. Mereka tidak nampak apa pun keperluan untuk Allah atau kebanyakan manusia. Mereka percaya mereka selamat daripada masalah; mereka anggap kejayaan mereka membuktikan bahawa mereka bijak. Mereka sudah buta terhadap hakikat bahawa Allah yang telah menjadikan mereka kaya, mereka tidak dapat mengelak maut yang tidak lama lagi disampaikan Allah, dan mereka akan memberi perhitungan yang paling teliti dan membayar dengan memasuki neraka.

Orang kaya percaya kepada wang mereka untuk keselamatan. Itu kota mereka yang kuat. Mereka fikir mereka dapat membayar untuk jalan keluar daripada segala masalah mereka. Kubu yang tinggi yang mengelilingi kota mereka dibentuk oleh keangkuhan mereka. Tetapi keangkuhan mereka memperdayakan diri mereka sendiri. Mereka tidak dapat menangguhkan maut; mereka tidak dapat mengambil satu sen pun bersama mereka; dan Hakim Yang Maha Kudus dan Yang Dahsyat Yang akan dihadapi mereka tidak dapat dirasuah atau disogok dengan sebarang apa pun.

Orang kaya fikir diri mereka sendiri selamat daripada segala musuh, seakan-akan mereka berada di dalam kota yang kuat; mereka membayangkan kota itu ada benteng yang tinggi untuk menjauhkan penyerang yang paling agresif pun. Tetapi kedua-dua kota dan kubu ialah perdayaan keangkuhan. Kanser tidak mempedulikan wang, masa pun tidak. Masalah akan merempuh kubu itu; maut akan memasuki kota itu; dan penghakiman terakhir akan menyapu segalanya ke neraka.

Kamu tidak boleh menghargai amsal ini dengan sepenuhnya, tanpa membaca amsal yang sebelumnya. Di sana kamu akan menemui, “Nama TUHAN ialah menara yang kuat: orang benar berlari ke dalamnya dan beroleh selamat” (Ams 18:10). Betapa besarnya perbezaan antara orang benar dan orang kaya! Orang benar menemui keselamatan dalam TUHAN Jehovah, sementara orang kaya mencari bantuan di dalam aset-aset dan pendapatan mereka.

Dapatkah orang kaya membeli keselamatan bagi dirinya sendiri? Mereka mampu mengupah kapal terbang untuk menyembur ubat ke atas kawasan mereka untuk mengelak perosak dan nyamuk. Mereka boleh membayar ikat jamin bagi anak yang boros. Mereka boleh menaja orang politik bagi undang-undang yang menyebelahi perniagaan mereka. Mereka boleh bayar untuk mendapatkan doktor yang paling pakar untuk mencantikkan wajah mereka. Mereka mungkin juga mampu membayar tebusan untuk menyelamatkan seorang budak yang diculik.

Maka orang kaya hidup dengan keyakinan angkuh seorang penakluk. Dia makan di restoran yang paling mewah, menduduki pesawat kelas satu, dan mempunyai seorang pemandu. Dia tidak khuatir tentang pengangguran, pendakap gigi bagi anak-anaknya, ibubapanya yang semakin sakit tua, membayar balik gadai janji, yuran pendidikan anak-anaknya, atau apa pun yang lain. Dia fikir dia sudah berjaya – sehingga dia mati dan bangun telanjang di terang silau Hakim segala daging, Yang tidak mengendahkan orang kaya!

Daud menulis tentang orang demikian dan fikiran mereka yang gila (Maz 49:6-14). Mereka tidak boleh bayar mengelak Maut untuk mana-mana anggota keluarga mereka, tidak kira betapa dikasihi. Mereka anggap Maut tidak akan menimpa mereka seperti orang lain. Mereka nampak harta besar dialihkan atau dibinasakan ketika orang kaya mati, tetapi mereka tidak mempedulikan amaran dan kekal dalam keangkuhan. Mereka mati seperti dubuk dan mereput di dalam kubur, tetapi keturunan mereka atau pewaris mereka juga bersetuju dengan gaya hidup mereka dan mempunyai keangkuhan yang sama. Orang bebal semuanya!

Adakah kamu tergoda oleh gaya hidup orang yang kaya dan yang masyhur? Hollywood dan para roh jahat yang ada di belakangnya ingin menjual kepadamu gambar kenikmatan kosong yang melaknatkan itu. Mungkinkah kawasan komuniti yang terpagar dengan rumah agam mewah dan laman yang terhias cantik menyebabkanmu untuk beriri hati dengan orang durjana? Adakah kamu membenci pekerjaanmu atau rumahmu yang sederhana atau kehidupanmu pun? Jadilah berhikmah dan pilihlah kepuasan, supaya jangan kamu juga jatuh ke dalam kehidupan disfungsi, penceraian, ketagihan dadah, kemabukan, dan sebagainya.

Yesus menceritakan kisah seorang kaya yang angkuh, yang mempunyai lebih kekayaan yang dapat disimpannya. Dia dengan angkuh menyombong dengan menyatakan dia akan membina gudang yang lebih besar untuk menyimpan segalanya, dan dia kemudian akan memulai kehidupan bersara yang mewah dalam kepenuhan kenikmatan bertahun-tahun. Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Tetapi Allah berkata kepadanya, Hai orang bebal, pada malam ini juga jiwamu akan dituntut daripadamu: maka milik siapakah barangan itu, barangan yang telah kamu sediakan itu?” (Luk 12:20). Kubunya yang tinggi roboh! Kotanya yang kuat ditakluki!

Orang kaya dijadikan kaya menurut pilihan Allah (1Taw 29:12; Maz 75:6-7; 1Kor 4:7). Mereka harus menjadi orang yang paling rendah hati, sebab mereka harus tahu dan mengakui dengan lebih cepat daripada orang lain bahawa ia semua merupakan belas kasihan dan keredaan Allah Yang Berdaulat untuk mereka memiliki apa pun. Tiada apa pun yang dapat disebut kejayaan atas usaha sendiri, dan apa pun yang melalui warisan hanya suatu fungsi kelahiran. Apa pun yang dimiliki seseorang atau kemampuannya ialah kurniaan Allah, dan Dia harus memberi Allah segala kemuliaan dan pujian.

Ada kengerian yang ditakuti mereka, dan mereka tidak dapat menangguhkan atau menundakan lawatannya ke kamar mereka. Ia akan menyebabkan ketakutan dari segala arah. Ia akan mencabut dan membinasakan segala keyakinan mereka. Ia raja segala kengerian – maut (Ayb 18:11-14). Apakah yang ada pada masa depan orang kaya yang bebal? “Dia akan dikejar dari cahaya ke kegelapan, dan dihalau keluar dari dunia” (Ayb 18:18).

Tidak hairanlah mengapa Yesus berkata ia lebih mudah untuk unta melalui lubang jarum daripada orang kaya diselamatkan (Mat 19:24). Yesus baru bertemu dengan seorang pemuda baik yang berpaling daripadanya kerana wang (Mat 19:21-22). Jangan sesekali mengingini sesuatu yang sebegitu berbahaya! Kamu tidak dapat melayani dua tuan, jadi pilihlah Allah pada hari ini dan bencilah kekayaan (Mat 6:24). Bersikaplah suka bersyukur untuk apa yang dimilikimu, dan berilah apa pun yang lebih kepada orang yang keperluan (1Tim 6:17-19).

Hai pembaca, tolaklah apa pun keyakinan kepada kekayaan yang mendatangimu (Maz 62:10; 1Tim 6:17). Janganlah mencarinya, kerana ia sudah melaknatkan banyak jiwa yang mendahului dirimu (1Tim 6:7-10). Ingat bahawa hikmah yang tidak terhingga menyatakan kesalihan besertakan kepuasan ialah keuntungan yang besar (1Tim 6:6). Pilihlah doa Agur yang berhikmah itu sebagai doa dirimu sendiri, dan berpuas hatilah dengan jalan-jalan yang sederhana (Ams 30:8). Binalah bagi dirimu keyakinan dalam Allah dengan iman kepadaNya dan dengan perbuatan-perbuatan baik (Ams 18:10; 1Tim 6:19).