18:19
Seorang saudara yang tersinggung lebih susah untuk dimenangi daripada sebuah kota yang kuat: dan selisih mereka adalah seperti palang-palang istana.
Jagalah semua persahabatan dan perhubunganmu dengan hati-hati. Jagalah keamanan dengan tekun sekali. Elakkan setiap perselisihan faham dan kesalahan yang kamu mungkin dapat elak. Jika kamu langsung tidak dapat mengelakkannya, maka selesaikan itu dengan lekas. Tetapi terutamanya dengan mereka yang paling erat denganmu.
Amsal ini nampaknya sungguh membesar-besarkan hal ini. Adakah ia sebegitu sukar untuk mendamaikan seorang saudara yang telah tersinggung? Adakah harapan pemulihan sebegitu tipis ketika perhubungan yang erat telah dirosakkan? Kota-kota yang kuat jarang sekali tertakluk, dan palang-palang besi di istana adalah jenis yang paling kuat. Hikmah Salomo yang berilham ini mengajar bahawa ketika kamu menyinggung seorang saudara, kamu berada dalam keadaan yang kurang berharapan. Tuhan, berbelas kasihanlah!
Apakah yang menyebabkan pemutusan hubungan ini menjadi sebegitu teruk? Ada suatu hukum semulajadi yang ternyata bahawa jika kamu menyinggung orang yang mengasihimu, kamu mungkin menghasilkan benci dan dendam di dalam diri mereka. Oleh sebab mereka telah memberikanmu kasih, kesetiaan, khidmat, dan kepercayaan, singgungan itu akan lebih pedih di dalam jiwa mereka dan ia memerlukan lebih pembaikian dibandingkan singgungan semata-mata kenalan baru atau orang asing. Maka, jadilah lebih berhati-hati dengan orang yang paling rapat denganmu.
Singgungan-singgungan kecil dapat mencetuskan perbalahan besar di dalam keluarga atau perkahwinan, walaupun hal-hal yang kecil itu mudah diketepikan dalam perhubungan lain. Ia suatu hakikat yang keji dalam sifat cabul manusia bahawa dia kerap kali kurang menunjukkan belas kasihan kepada keluarga dan kawan berbandingkan orang asing. Kebanyakan orang lebih mudah mengampuni orang asing daripada mengampuni orang yang dikasihi dan yang dianggap langsung tidak akan melukai diri mereka.
Pertimbangkan singgungan di antara saudara lelaki dalam Alkitab. Kain membunuh Habel kerana berdengki dengan kebaikan Habel. Esau harap untuk membunuh Yakob kerana mendapat berkat yang dia sendiri telah lepaskan. Abang-abang Yusuf yang cemburu menjualnya menjadi hamba abdi. Absalom merancang selama dua tahun sebelum melaksanakan pembunuhan Amnon kerana Amnon merogol adik perempuannya. Puak-puak Benyamin dan Yehuda kedua-duanya bermusuhan dengan Israel.
Barnabas dan Paulus ada perselisihan yang tajam tentang hal mengambil Markus untuk penjelajahan kedua mereka (Kis 15:36-41). Paulus, rasul yang paling tekun itu, tidak dapat melupakan khianat Markus meninggalkan mereka pada penjelajahan pertama (Kis 13:13). Barnabas, pakcik Markus, telah tersinggung oleh penolakan Paulus akan anak kepada saudara perempuan Barnabas itu (Kol 4:10). Dua orang kudus yang besar darjat mereka, yang dulu merupakan teman yang rapat, sekarang berpisah ke jalan-jalan yang berasingan (Kis 9:27; 11:25; 13:1-2; 14:14; 15:2,25,35). Tuhan, berbelas kasihanlah!
Hikmah di sini adalah untuk mengelak menyinggung saudara seiman, terutamanya di gereja (Efe 4:3,16; Rom 14:16-19; Yak 3:18). Sementara suatu persahabatan yang rapat tidak mudah untuk dipulihkan setelah disinggungkan, ia lebih baik supaya mengelak percanggahan demikian dari awal-awal. Beri perhatian yang besar ketika berurusan dengan kawan, supaya jangan suatu batasan terlanjur sehingga ia membinasakan atau membuat parut kepada perhubungan itu, terutamanya di gereja.
Jika kamu telah menyinggung seorang saudara, tugas kamu adalah untuk berdamai dengannya secepat semungkin (Mat 5:23-26). Kalau timbul dalam fikiran sahaja mana-mana orang yang tersinggung, maka pergilah dan berdamai dengan mereka. Jika kamu telah rasa tersinggung, maka ia tugas kamu untuk melangkaui pelanggaran itu atau jika tidak dapat berbuat demikian, maka kamu harus mengikuti suatu prosedur untuk menyelesaikannya (Ams 19:11, Mat 18:15-17; 1Kor 6:1-8; 1Pet 4:8).
Amsal ini ialah hukum alamiah. Ia tidak membenarkan orang salih untuk berlambat mengampuni orang yang telah menyinggung mereka. Dan juga tidak membenarkan orang salih untuk berputus asa berdamai dengan saudara seiman yang telah dilukai. Seorang rohani tidak dapat hidup menurut hukum-hukum semulajadi. Dia hidup melalui Roh Allah, yang mengajar dia untuk lambat marah dan cepat mengampuni (Kol 3:12-13; Yak 1:19). Salah seorang saudara yang selalu mengampunimu ialah Tuhan Yesus Kristus. Akuilah dosamu kepadaNya setiap hari.