26:23
Bibir yang membakar dan hati yang durjana adalah seperti pecahan tembikar yang disaluti tahi leburan perak.
Adakah kamu bersalah kerana melakukan mana-mana dua dosa yang buruk ini – bibir yang membakar yang menyebut hal-hal yang negatif tentang orang lain atau hati yang durjana yang memikir hal-hal demikian? Jika kamu bersalah akan kedua-duanya, kamu adalah seperti pecahan tembikar yang disaluti dengan lapisan kotoran leburan. Betapa hodohnya dan tidak bernilainya orang itu! Jika kamu tidak dapat menyatakan apa pun yang baik tentang orang lain, maka jangan menyatakan apa-apa pun.
Di sinilah kiasan simili yang mudah – penyamaan yang dinyatakan dengan perkataan, “seperti”, tentang orang dengan tembikar tanah liat. Orang yang jahat, dengan hati yang berniat buruk dan ucapan yang kejam, adalah seperti pecahan tembikar yang dicat dengan lapisan kotoran. Orang yang baik, dengan hati yang mulia dan kata-kata yang baik, adalah seperti karya tembikar yang disaluti perak terpilih, dan merupakan objek yang menyukakan dan bernilai.
Apakah bibir yang membakar? Orang ini ada api di dalam mulutnya, dan dia dengan kerap kali membakar orang lain dengan ucapan yang kritikal dan yang membenci. Dia tidak dapat senyap lama-lama – dia harus berkata sesuatu yang menghina tentang orang lain. Bibirnya dinyalakan dengan api dari neraka (Ams 4:24; 10:18; 16:27; Yak 3:5-9).
Apakah hati yang durjana? Ungkapan ini menjelaskan orang yang hatinya penuh dengan pandangan hina yang angkuh dan kebencian berniat jahat terhadap orang lain, seperti yang ditunjukkan konteks (Ams 26:18-28). Dia tidak mengenal Allah, dan dia tiada kasih sayang bagi orang lain, kecuali untuk memakai mereka bagi kepentingan dirinya yang mementingkan diri sendiri. Dia pembunuh dalam hati, walaupun dia belum melakukan jenayah itu.
Adakah kamu memiliki bibir yang membakar atau hati yang durjana, atau kamu ada kedua-duanya? Ia mudah untuk diperlihatikan. Berapa mudahnya kamu bertengkar, mengumpat, mengampu, berbohong, memfitnah, membawa mulut, atau membisik? Jika kamu berdosa dengan cara-cara tersebut dengan mudah, kamu sudah pasti ada bibir yang membakar. Dan jika kamu tidak berdukacita sesudah dosa-dosa demikian daripada bibirmu, maka kamu juga ada hati yang durjana. Hai pembaca, telitilah dirimu sendiri dan bertaubat.
Sementara bibirmu dan hatimu tidak betul-betul bersambung, ia sungguh berhubung rapat. Seseorang mungkin berdosa sekali sekala dengan bibirnya dan ada hati yang suci, tetpai dia akan berdukacita akan itu. Jika seseorang berdosa kerap kali dengan menyerang orang lain dengan kata-katanya, dia menunjukkan hati yang ganas dan yang durjana. Yesus mengajar bahawa mulut dengan jelas menyatakan hati (Mat 12:34-37).
Banyak karya yang indah dan bejana-bejana rumah dahulu diperbuat daripada tembikar. Suatu objek tanah liat yang dibentuk dengan elok dan disaluti dengan perak pilihan akan menjadi sungguh istimewa untuk dipandang dan untuk diguna. Tetapi pecahan tembikar ialah apa yang sudah rosak, dan tahi leburan perak ialah lapisan kotoran yang sudah disingkirkan dalam proses peleburan.
Orang berhikmah menyelidiki hati mereka dan menjaga bibir mereka – mereka takut memiliki hati yang kritikal dan bibir yang kejam yang melukakan orang lain (Ams 6:12-15; 17:20). Mereka akan sebaliknya memilih suatu hati yang suci dan bibir yang berbudi baik yang boleh memenangi seorang raja sebagai kawan (Ams 22:11). Hai pembaca, selidikilah dirimu sendiri!