Amsal · Proverbs

29:6
Dalam pelanggaran orang durjana ada jerat: tetapi orang benar memang bernyanyi dan bersukacita.

Sesetengah orang jatuh ke dalam masalah ini dan masalah itu. Yang lain menanyi mengharungi kehidupan dengan gembira! Apakah perbezaannya? Jawapannya layak untuk perhatianmu. Kamu dapat hidup dengan kepedihan dan masalah, atau kamu dapat hidup dengan sukacita dan kesenangan. Mana satu yang kamu pilih?

Orang jahat memilih untuk melanggari perintah-perintah Allah. Dia ingin menjalani hidup dengan caranya sendiri. Baik pertimbangan mahupun hormat bagi firman Allah pun tiada dalam dirinya. Dia mengasihi fikirannya sendiri. Dia percaya dia dapat terlepas dengan perbuatan dosanya. Dia sudah yakin bahawa dia dapat menemui kebahagiaan dengan berdosa. Dia dengan yakin menolak hikmah untuk memilih jalan orang bebal.

Tetapi dia sudah terperdaya! Setiap dosa ada jerat! Ada jerat yang tidak kelihatan untuk menghukum dia bagi pemberontakannya terhadap Allah. Walaupun dia tidak nampak jerat itu ketika dia memilih untuk berdosa, namun gigi besi karat jerat itu akan tiba-tiba mencengkam kehidupannya. Barulah pada waktu itu dia akan merasa kesan-kesan pedih pilihannya yang bebal itu (Maz 36:2; Ams 4:19; 13:15; 28:14). Dia memandang hina satu-satunya jalan keluar daripada jerat itu – pertaubatan penuh – yang baginya adalah seperti memakai pisau kecil untuk menghiris kakinya!

Pertimbangkan beberapa contoh. Seorang lelaki mengahwini seorang perempuan cantik yang tidak takut akan Allah. Ada jerat tak? Dia kena hidup dengan perempuan yang menjelekkan sampai dia mati. Seorang isteri menolak suaminya supaya tidak bersetubuh dengannya setiap hari. Ada jerat tak? Dia harus hidup bersama suami yang hatinya pahit seumur hidupnya. Ada seorang lelaki yang lain yang secara senyap melawat rumah pelacur. Ada jerat tak? Dia kena penyakit yang berjangkit melalui seks. Seorang ayah yang malas mengabaikan didikan anak. Ada jerat tak? Seorang anak pemberontak muncul dan menghancurkan hatinya atau mengaibkan nama keluarga.

Pertimbangkan beberapa contoh lagi. Seorang lelaki mencemuh kerajaan di rumahnya (Pkh 10:20). Ada jerat tak? Anak-anaknya dengan angkuh berperangai pemberontak yang sama terhadapnya. Seorang anak lelaki yang bongkak memilih untuk mengetepikan nasihat ayahnya. Ada jerat tak? Dia mengahwini seorang perempuan sundal dan memilih kerjaya dalam bidang yang sedang luput. Ada seorang lagi yang tidak ingin menabung kerana dia suka berbelanja. Ada jerat tak? Dia tidak akan dapat melabur bersama-sama kawannya dan akhirnya menjadi muflis. Ada seorang perempuan yang mengadu tentang kehidupannya. Ada jerat tak? Anak-anaknya melarikan diri daripadanya untuk mencari sukacita dan keamanan.

Tetapi orang benar menjalani kehidupan yang kudus. Dia dengan teliti hidup dengan taat kepada segala perintah Allah. Dia gementar di hadapan firman Allah. Dia dengan lekas mengakui apapun dosa, dan Bapanya di syurga yang berbelas kasihan memulihkan semangatnya. Hati nuraninya suci dan yakin. Dia tidak ada ketakutan, rasa bersalah atau keaiban. Dia tidur dengan lena pada waktu malam, dan sungguh berpuas hati. Jiwanya penuh dengan kesenangan sekarang dan dengan harapan besar bagi masa depan. Dia menyanyi dengan sukacita yang besar. Dia menikmati segala aspek kehidupannya, sementara mengesan peluang untuk bersyukur di mana jua.

Kesenangan ialah buah hasil kesalihan, dan kesalihan berserta kepuasan ialah keuntungan yang besar (1Tim 6:6). Jika Allah berfirman bahawa itulah keuntungan, maka itulah keuntungan! Kehidupan yang kudus adalah selamat daripada bahaya, bebas daripada rasa salah, bebas daripada masalah. Tiada apa pun jerat dalam perbuatan baik, baik penyesalan yang membinggungkan mahupun kesan-kesan yang memedihkan. Tiada hati nurani yang terhancur atau kemunafikan yang mengelirukan. Orang benar ada pesta setiap hari (Ams 3:17; 15:15). Dan dia tahu berkat-berkat yang lebih besar sedang menjelang saat menemui ajal!

Allah tahu kamu ingin menjadi bahagia, maka Dia memberitahumu caranya dalam amsal ini dan juga di tempat lain dalam Alkitab (Maz 34:12-16; 127:5; 128:2; 144:15; Ams 3:13, 18; 14:21; 16:20; 29:18). Dia tahu lebih tentangkebahagiaan dan kepuasan sejati daripada semua manusia yang hidup. Adakah kamu merujuk kepada buku panduanNya bagi kehidupan – Alkitab? Adakah kamu menghadiri gereja yang ada hamba yang telah dilantikNya untuk mengkhutbahkan kebenaran dan hikmah daripada Alkitab itu bagi kebahagiaanmu?

Hai pembaca, adakah kamu faham? Pernahkah kamu melihat orang yang penuh masalah dan yang melarat? Pernahkah kamu juga bermasalah? Itu salah kamu! Kamu telah memilih untuk melanggari peraturan-peraturan bijak Allah, dan jerat dosa telah menangkapmu. Ada jerat dalam setiap dosa. Hentilah berdosa, dan kamu dapat memulihkan ketenanganmu (Ams 11:6; 12:13). Di bahagian hidup manakah yang kamu cuba tipu Allah? Jerat itu sudah siap nak mencengkam. Biar orang benar menyanyi dengan sukacita, sebab kehidupannya diberkati dan masa depannya akan menjadi lagi baik.