Amsal · Proverbs

14:8
Hikmah orang berhemat adalah untuk memahami jalannya: tetapi kebebalan orang bebal ialah perdayaan.

Segelintir orang memahami apa yang mereka buat. Kebanyakan orang hidup terperdaya. Mereka fikir bahawa mereka berhikmah dan betul, tetapi mereka bebal dan salah. Mereka berfikir bahawa mereka tahu kesan-kesan tindak laku mereka, tetapi mereka percaya bohong-bohong yang menyembunyikan masalah yang menjelang (Ams 4:19). Hanya orang berhikmah ada kehematan dan ada budi bicara untuk menyelidiki kehidupan mereka dan memilih apa yang betul (Ams 22:3).

Perdayaan ialah hal yang buruk. Ia suatu kesilapan yang membinasakan. Ia kesalahan paling teruk yang seseorang boleh buat. Kamu tidak boleh tahu ketika terperdaya, sebab perdayaan bermaksud kamu fikir bohong ialah kebenaran, atau kebenaran ialah bohong. Perdayaan ialah keyakinan bahawa kamu betul, sementara kamu sebenarnya salah. Perdayaan ialah perbuatan berbohong kepada diri sendiri. Perdayaan ialah perbuatan percaya bahawa putih ialah hitam, atau hitam ialah putih. Perdayaan ialah perbuatan berjalan telanjang di depan orang ramai, sementara memikir bahawa kamu sedang memakai baju sepenuh-penuhnya, seperti kisah salah seorang raja yang terkenal.

Ada perbezaan yang besar di antara orang berhikmah dan orang bebal. Orang berhikmah tidak mengambil apa pun secara percuma. Mereka menyelidiki dengan teliti dan menguji segala sesuatu. Mereka memastikan bahawa mereka tahu apa yang harus dibuat, risiko-risiko yang terlibat, dan jalan untuk mencapainya. Mereka memahami jalan mereka. Mereka tidak terperdaya. Mereka ada rancangan yang salih, dan mereka melaksanakannya.

Orang bebal hidup secara bebal. Kebebalan mereka adalah kerana minda mereka yang sudah terperdaya. Mereka membuat pilihan oleh hati naluri (nafsu), oleh tradisi (tabiat), oleh tekanan rakan sebaya (ketakutan), oleh buku-buku kemajuan diri (kasih kepada diri sendiri), oleh cara cuba-cuba (nasib), dan oleh pendidikan (hikmah duniawi). Kehidupan terjadi kepada mereka. Mereka tidak memahami kehidupan atau jalan yang betul untuk hidup. Mereka memperdayakan diri mereka sendiri sampai bebal.

Yusuf memahami kejahatan perzinaan, jadi dia menolak isteri Potifar; Simson sebegitu pasti bahawa dia dapat mengendalikan Delila. Yusuf orang yang berhemat dengan masa depan yang cerah; Simson telah diperdaya dan kemudian dihukum. Abraham memahami maksud memerintah keluarganya untuk mentaati Allah. Eli ingat dia boleh melonggarkan pemerintahannya. Abraham menjadi sahabat Allah; Eli dibinasakan dengan pedih sekali.

Orang bebal terperdaya untuk berfikir bahawa Benjamin Spock dan James Dobson ialah pakar mendidik anak, namun kebebalan dua orang itu menghasilkan generasi budak yang disfungsi, yang memberontak, dan yang mementingkan diri sendiri. Orang berhemat tahu bahawa bebelan falsafat kemanusiaan mereka adalah bercanggahan dengan Alkitab. Mereka memakai firman Allah, dan tongkat (rotan) yang diwajibkannya, dengan hasil yang cemerlang, seperti yang bapa mereka telah buat terhadap mereka.

Amsal ini boleh diperhatikan sepenuhnya di dalam agama. Orang mulia menyelami Alkitab, satu-satunya sumber mutlak kebenaran, untuk menguji segala sesuatu dan untuk mengesahkan apa yang betul (Kis 17:11; 1Tes 5:21). Orang bebal tidak dapat bertahan dengan doktrin yang sihat, jadi, mereka akan mencari guru-guru yang akan menghiburkan mereka dengan dongeng dan bohong (Yoh 8:45; 2Tim 3:13; 4:3-4; Yes 30:9-11; Yer 5:30-31). Hanya beberapa minit menonton siaran agama Kristian di televisyen/internet atau melawat gereja yang paling cepat bertumbuh secara bilangan akan mengesahkan kebebalan itu.

Paderi-paderi Rom memperdayakan banyak orang ke dalam kebebalan suatu biskut yang mampu menjelma menjadi tubuh, darah, jiwa, dan keilahian Yesus di dalam Misa. Orang berhemat akan menolak allah berbentuk biskut dan memahami bahawa Perjamuan Tuhan hanya merupakan lambangan tubuh dan darah Kristus. Pemakaian perdayaan oleh Rom itulah yang menghasilkan negara-negara yang paling miskin dan yang paling mudah dipengaruhi kepercayaan karut.

Anak-anak perempuan Rom – Orang Luteran, Episcopalian, Methodist, dan Presbyterian – memperdayakan orang lain ke dalam kebebalan memercik air ke atas kepala bayi untuk pembaptisan. Tetapi orang yang berhemat memahami bahawa Yesus pergi kepada Pembaptis itu dan telah dikuburkan dan dibangkitkan dari dalam kubur air yang merupakan lambangan. Mereka menyelami Alkitab untuk renjisan air dan bayi tetapi tidak dapat menemuinya.

Persatuan Watchtower (Saksi-saksi Yehuwa) memperdayakan orang-orang bebal mereka ke dalam kebebalan menyangkal neraka yang kekal. Jiwa-jiwa yang terperdaya itu tidak lama lagi akan menerima suatu kejutan yang besar, bertempoh panjang, dan yang hangat sekali! Billy Graham dan Robert Schuller memberitahu bohong yang sama – Allah tidak akan melemparkan manusia ke dalam neraka yang membakar. Tetapi orang berhemat tahu bahawa ia sudah ditentukan untuk manusia mati sekali, dan selepas itu penghakiman di lautan api. Kehidupan bukan suatu lawak jenaka, atau apa yang siaran Maharaja Lawak ingin kamu percaya.Atau sudahkah kebebalan mereka memperdayakanmu?

Adakah kamu memahami jalanmu? Adakah kamu memperdayakan diri sendiri dengan apa pun kebebalan dalam kehidupanmu? Sementara kamu tidak dapat melihat perdayaanmu sendiri, bagaimanakah mungkin kamu mengesan bohong dalam kehidupanmu? Melalui Alkitab! “Aku benci fikiran yang sia-sia: tetapi aku mengasihi hukummu” (Maz 119:113). “Maka aku menyanjungi segala ketetapanmu akan segalanya sebagai betul; dan aku benci setiap jalan palsu” (Maz 119:128). Pakailah masa untuk melindungi dirimu sendiri – selidiki setiap pilihan dan keadaan melalui Alkitab.