15:11
Neraka dan pembinasaan ada di hadapan TUHAN: jadi betapa lebih lagi hati anak-anak manusia?
Kamu tidak dapat bersembunyi. Allah Yang Maha Kuasa tahu setiap perasaan dan fikiran. Dia jelas-jelas nampak dunia orang mati yang tak kelihatan, mayat yang sedang reput di kubur dan roh-roh yang terseksa di penjara, maka ia lebih senang bagi Dia untuk melihat segala-galanya di dalam hatimu. Kamu tidak dapat bersembunyi. Bertaubat!
Kamu tidak dapat menyamar diri atau memperdayakanNya. Dia mengenal setiap keinginan, khayalan, dan nafsu. Dia mengenal, dengan penuh teliti, rahsia-rahsia jiwamu bersertakan dorongan-dorongan yang mementingkan diri itu. Jika maut dan neraka tidak tersembunyi daripadaNya, Dia lebih mudah mengenal kamu dengan sepenuhnya.
Semua cita-cita dan keinginan kamu terdedah sepenuhnya dalam semua aspek kepada Allah (Maz 44:21). Hatimu dan mindamu ialah kitab yang terbuka bagiNya. Tiada kemunafikan atau lagak yang dapat menutupinya. Mata Tuhan nampak segala-galanya di mana-mana tempat (Ams 15:3). Dia akan mendedah dan menghakimi setiap dosamu pada hari yang menjelang (Pkh 12:14; Rom 2:16; 1Kor 4:5; Wah 2:23).
Allah di syurga yang menakutkan dapat melihat hatimu. Mengapakah kamu takut akan manusia yang hanya dapat berbuat sedikit sahaja terhadap dirimu, tetapi tidak takut akan Allah, Yang dapat melemparkanmu ke dalam neraka (Luk 12:4-5)? Takut akan orang lain mengubahkan sikapmu, tetapi Allah pula Yang mengenal hatimu tiada apa-apa kesan kepada dirimu. Satu pandangan yang marah dari wajahNya akan jauh melebihi apa-apa air muka atau reaksi atau penganiayaan oleh manusia (Wah 20:11).
Allah Sang Pencipta Yang Mahatahu ada pengetahuan yang tidak terhingga dalam segala hal. Dia mengenal butir-butir kecil neraka dan pembinasaan dengan sempurna (Ayb 26:6), tetapi dia mengenal rahsia-rahsia lubuk hatimu dengan lebih nyata. Dia tidak memerlu izin untuk menyiasat bahagian-bahagian peribadi jiwamu. Dia mengenal dirimu dengan tidak terbandingkan. Bacalah amsal ini sekali lagi dengan menekankan “jadi betapa lebih lagi” dan sedar bahawa ia bukan “lebih lagi daripada”.
Tiada aspek pembinasaan di bumi, pereputan orang mati di kubur, atau seksaan jiwa di neraka yang tidak diketahui dan tidak difahami sepenuhnya oleh Tuhan Sang Pencipta. Maka, Dia mengenal dirimu dengan sempurna. Jangan memperdayakan dirimu sendiri dengan memikir bahawa Allah tidak dapat dengar atau tidak dapat melihat (Maz 97:7-9). Dia nampak kamu telanjang dan bogel. Setiap kecenderungan jahat terdedah sepenuhnya.
Berapa luasnya kawasan orang mati? Berapa banyak billion orang yang terseksa di sana? Berapa banyak mayat yang sedang reput di dalam bumi, namun, Allah tidak pernah kehilangan satu sel pun di antara mereka, sebab Dia akan membangkitkan mereka semua untuk berdiri di takhta pengadilan di hadapanNya (Yoh 5:28-29; KPR 24:15)? Adakah kamu mengagumi pengetahuan sedemikian? Dia lebih mengenal hatimu. Kamu akan berjawab kepada Tuhan Yesus Kristus bagi setiap fikiran, iaitu Dia Yang memiliki kunci neraka dan maut (Wah 1:18).
Daud menulis tentang hal bersembunyi di syurga atau neraka, tetapi dia mengenal bahawa Allah akan hadir di kedua-dua tempat itu dan mengenal setiap fikiran hatinya, setiap perkataan mulutnya, dan setiap gerak geri tubuhnya (Maz 139:1-13; Yer 23:24; Amo 9:2). Semua perkara, setiap fikiran dan niat hatimu, telanjang dan terbuka kepada mata Yesus Kristus (Ibr 4:12-14). Walaupun kamu tidak dapat tahu kejahatan di dalam hatimu sepenuhnya, Dia mengenalnya dengan sempurna (Yer 17:9-10).
Adam dan Hawa bersembunyi di antara pokok-pokok Eden, tetapi TUHAN Allah menemui mereka dan menghakimi mereka dengan keras sekali (Kej 3:7-12). Kain cuba menyembunyikan pembunuhan Habel, tetapi TUHAN Allah mendengar darah Habel merayu untuk balasan (Kej 4:8-12). Tuhan Yesus Kristus telah mengenal setiap butir rancangan Yudas mengkhianati Yesus untuk beberapa keping wang perak (Yoh 6:64). Dan kata-kata manis Ananias dan Sapira tidak dapat menyelamatkan mereka daripada Tuhan (Kis 5:1-11).
Walaupun orang Farisi, iaitu orang agama yang angkuh dan yang menyukat diri sendiri dengan penampilan luaran, menyimpan kebanyakan benci mereka di dalam hati, Yesus mengenal semua fikiran mereka sepanjang urusan Dia dengan mereka (Mat 9:4; 12:25; Luk 7:39-40). Dan kamu, hai pembaca, mungkin ada fikiran rahsia yang tidak diketahui semua orang yang lain, tetapi Dia mengenal setiap fikiran itu dengan sempurna (Maz 44:21). Dia tidak menganggapnya sebagai remeh, sebab fikiran kebebalan pun adalah berdosa (Ams 24:9).
Siapakah yang akan selalu menang perbahasan satu orang? Tentulah kamu yang menang! Apabila kamu membenarkan fikiran rahsia ke dalam mindamu, kamu boleh menyakinkan diri sendiri bahawa ia dibenarkan atau kamu dapat terlepas daripadanya, sebab kamu sedang mendedahkannya kepada diri sendiri sahaja. Akan tetapi, Allah sudahpun nampak pembayanganmu dan mengutukinya, tidak kira berapa tingginya anggapanmu akan idea-idea itu (Ams 16:2; 21:2). Ini terutamanya berkenaan dengan khayalan seksual yang kamu sungguh-sungguh ingin sembunyikan (Ams 5:19-23).
Jika kamu bila-bila sahaja yakin bahawa ada orang yang memerlukan bantuanmu, atau jika kamu berasa insaf untuk melakukan sesuatu yang baik, dan kamu memberi alasan kepada dirimu supaya tidak melakukannya, maka Hakim seluruh dunia nampak perbincangan jahat hatimu yang telah memimpin kepada kelalaian tugasmu itu. Dia akan membalas dengan pembalasan ilahi (Ams 24:11-12; Yak 4:17). Kamu telah diwaspadakan. Jangan berbincang di dalam hatimu sendiri tentang apapun kelulusan dosa baik dosa perlakuan mahupun dosa pengabaian. Janganlah menipu dirimu sendiri!
Para pembaca, pelajaran di sini bukanlah sukar, tetapi pemakaiannya sukar. Hatimu, dunia, dan syaitan ingin kamu melupakan bahawa Allah Yang Maha Kudus juga Yang Maha Tahu. Rendahkanlah dirimu pada saat ini juga dan bertaubat atas setiap fikiran yang telah dilayanimu dalam hati yang bercanggah dengan Allah dan firmanNya. Jika kamu tidak berbuat sedemikian, Hakim syurga dan bumi, Yang mengenal hatimu dengan lebih baik daripada pengetahuan sempurnanya akan neraka dan maut, akan mempertanggungjawabkan kamu bagi setiap fikiran tersebut.
Hai pembaca, adakah kamu gementar di hadapan Allah syurgawi dan firmanNya (Yes 66:2; Ibr 12:28-29)? Hiburkanlah dirimu di dalam kisah rayuan Petrus kepada Yesus Kristus selepas kebangkitanNya: “Tuhan, engkau tahu segala-galanya; engkau tahu bahawa aku mengasihimu” (Yoh 21:17). Demikian juga ia cukup benar bahawa Allah Yang Mahatahu mengenal fikiran dan niatmu yang baik sepertimana Dia mengenal niat yang jahat. Dan Dia telah dengan murah hati membuang keluar yang jahat itu dan menguduskan yang baik itu!
Para percayawan, adakah kamu meragu-ragukan keselamatan dan anugerah hidup kekalmu itu? Adakahpembacaan kengerian neraka menyebabkanmu takut bahawa ada kemungkinan namamu tiada dalam kitab kehidupan (Wah 20:11-15)? Hiburkanlah dirimu di dalam janji yang diilhamkan kepada Yohanes bahawa Allah lebih besar daripada keraguan hatimu (1Yoh 3:14-21). Dia mengenal dan mengingati asas keselamatanmu yang tak tergoncangkan walaupun kamu mungkin melupakannya kadang-kala (2Tim 2:19). Kasihilah Allah dan saudara seiman, dan bukti sifat Allah yang ada pada dirimu itu akan memberikanmu keberanian, bahkan keberanian untuk menghadapi Hari Penghakiman (1Yoh 4:16-21; 1Tim 6:17-19).