Amsal · Proverbs

19:2
Juga, jiwa yang tidak berpengetahuan adalah tidak baik; dan dia yang bergegas dengan kakinya berdosa.

Ada dua perkara yang boleh merosakkan masa depan dan kejayaanmu, iaitu, kejahilan dan sikap terburu-buru. Kamu seharusnya sudah faham apa yang kamu sedang lakukan sebelum kamu melakukannya. Ini bermakna bahawa kamu harus perlahankan diri untuk membuat kajian terdahulu. Kamu harus tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang boleh berlaku sebelum kamu mengambil apapun tindakan.

Kejahilan itu bukanlah kebahagiaan; ia tidak baik. Kejahilan hanya membantu di dalam perkara-perkara berkenaan dengan kemerdekaan Kristian ataupun perkara-perkara berkenaan dengan dosa dan kesesatan (1Kor 10:25-27; Rom 16:19). Hanya di dalam perkara-perkara inilah yang kejahilan boleh dipakai. Di dalam semua perkara yang lain, kamu harus berpengetahuan dan bercermat.

Kepantasan itu bukanlah suatu nilai murni, kecuali di dalam hal mentaati Allah, mendengar di dalam perbualan, atau menyiapkan sesuatu kerja dengan betul (Maz 119:60; Yak 1:19; Ams 26:14). Hanya di dalam perkara-perkara tersebut kamu harus cepat. Di dalam perkara-perkara yang lain, kecermatan dan hikmah menuntut supaya kamu memperlahankan diri supaya jangan berbuat silap di dalam keputusan ataupun tindakan.

Kejahilan dan sikap terburu-buru – kedua-duanya dikutuk oleh amsal ini. Ini menandakan kedua-duanya sebagai ciri-ciri orang bebal, kerana disambungkan kepada amsal yang sebelumnya dengan perkataan, “juga”. Sebelum keputusan-keputusan dilakukan dan tindakan dilaksanakan, Solomo mewajibkan kajian dan pengetahuan yang teliti. Sikap terburu-buru itu memang mendatangkan pembaziran!

Jika ada orang yang mengkritik atau mempersendakanmu kerana kamu cermat dan ingin tahu lebih, jangan pedulikan orang bebal itu yang hanya mengikut gerak hati. Tiada kemuliaan atau kebaikan di dalam hal membuat keputusan tergesa-gesa tanpa apa-apa kajian yang cukup. Jangan ditakut-takuti atau didesakkan sehingga membuat keputusan atau tindakan yang terburu-buru.

Orang bebal tidak ada hati untuk belajar (Ams 17:16); mereka hanya mengikut gerak hati secara semulajadi (Ams 13:16). Mereka membuat keputusan dan bertindak dengan tergesa-gesa tanpa mengenal fakta-fakta yang perlu sehingga kehidupan menghukum mereka. Orang yang berhikmah mempersoalkan kesemuanya (Ams 14:15); mereka tidak membuat keputusan dengan tergesa-gesa (Ams 14:29; 18:13; 25:8). Mereka memandang ke depan untuk mengesan masalah-masalah yang mungkin lalu mengelakkannya. Tetapi orang bebal terburu-buru dan mengakibatkan kesakitannya (Ams 22:3; 27:12).

Banyak orang lelaki memang dapat diselamatkan, jika mereka telah memperlahankan diri sendiri untuk mempertimbangkan kesan-kesan melayani perempuan yang menggodanya (Ams 7:21-22). Tidak cepat marah jauh lebih baik daripada bersemangat terburu-buru (Ams 14:29; Peng 7:9). Ia adalah kebebalan dan keaiban untuk menjawab sesuatu perkara sebelum mengenal isu-isu dengan sepenuhnya (Ams 18:13). Sikap terburu-buru di dalam hal kewangan akan membawa kemiskinan (Ams 21:5). Melibatkan diri dengan terburu-buru di dalam perselisihan akan kerap kali membawa malu pada akhirnya, apabila kejahilanmu itu terdedah (Ams 25:8).

Perjanjian baru juga mengajar akan pengetahuan dan kecermatan. Paulus mengutuk kejahilan, sebab orang Kristian sepatutnya menguji segala-galanya (1Tes 5:21; KPR 17:11; Fil 1:9-11). Orang berhikmah meneliti semua pandangan dari semua segi – mereka berhati-hati (Efe 5:15-17). Dia memberi amaran akan sikap “tidak berfikir panjang” - berdegil dan bertindak terburu-buru kerana keghairahan. Dia telah memasukkan ciri, “tanpa pemahaman”, ke dalam senarai dosa yang tidak wajar bagi orang jahanam (Rom 1:31).

Para pembaca, adakah kamu menguji semua fakta sebelum membuat keputusan atau bertindak? Adakah kamu cermat dan perlahan dalam hal membuat keputusan? Elakkan tindak balas yang beremosi, pembelian yang terburu-buru, ucapan yang liar, keputusan tergesa-gesa, dan tindakan mengikut gerak hati yang telah dikutuk di dalam amsal ini. Allah mengharapkan kamu tertib, tenang, hati-hati, cermat, hemat, dan berhikmah. Amaran di sini adalah untuk kebaikanmu.

Generasi ini berkenan kepada perkahwinan berdasarkan emosi sahaja, tetapi amsal ini menuntut supaya ada pengetahuan juga. Berapa banyak penceraian dan perkahwinan yang rosak dapat dielakkan hanya melalui pengenalan yang lebih dalam didalam pihak yang diminati? Apabila sikap terburu-buru ini ditambahkan kepada emosi, kebebalan dan kesakitan yang layak diterima akan menyertaimu. Lima puluh tahun di dalam kenerakaan perkahwinan sungguh panjang waktunya.

Orang tua, terutamanya bapa, patut menyelia hal dating dan kegiatan memikat: mereka haruslah sungguh giat di dalam proses menguji jodoh. Seseorang pemuda yang bujang tidak ada pemahaman akan perkahwinan, dan dia memerlukan gabungan hikmah dan pengalaman ibubapa untuk menyelamatkannya daripada kesakitan yang besar kelak. Bergegas-gegas ke dalam jurang yang amat dalam ini merupakan kemuncak kebebalan.

Ada yang membuat keputusan pelaburan dan perniagaan dengan fikiran optimis yang bodoh daripada memakai kecermatan dan nasihat yang bijak (Ams 14:15; 15:22; 22;3). Mereka dihukum bagi keputusan-keputusan mereka yang terburu-buru ini. Ia memang lebih baik untuk selamat daripada menyesal. Kerja keras di dalam kerja yang membosankan lebih berguna daripada bergegas-gegas atau secara jahil mengikuti idea-idea yang sia-sia (Ams 12:11; 14:23; 21:5; 28:19,22).

Zaman kini, ada lebih jalan untuk menambahkan pengetahuan akan apa-apa jua dengan cepat. Hanya dengan memakai carian Google atau perisian Alkitab, jawapan-jawapan untuk soal hidup atau soal rohani dapat diperolehi dengan senang. Namun begitu, masih banyak yang lebih bodoh daripada ibubapa mereka. Bagaimana ini boleh terjadi? Mereka tidak mengambil masa untuk menguji perkara-perkara berkenaan. Dan semua bahan Internet yang bagaikan semak mereka anggap sebagai kebenaran tanpa apa-apa dasar yang munasabah.

Tambahan pula, ada lebih jalan untuk menjadi terburu-buru pada zaman ini daripada zaman-zaman yang lain. Zaman dulu memerlukan beberapa hari atau minggu untuk membuat sesuatu pelaburan tetapi pada hari ini kita boleh melakukannya dalam sekelip mata melalui Internet. Daripada memikat seorang jodoh untuk perkahwinan yang boleh ditentusahkan oleh orang lain,orang bebal sekarang boleh berhubung melalui perkhidmatan dating tanpa sekalipun menguji sesama diri.

Kebanyakan orang menyertai gereja-gereja tanpa menyemakkannya dengan Alkitab kerana malas, atau ingin menyenangkan kawan atau keluarga. Pastor-pastor mengkhutbahkan hal yang mereka tidak belajar dengan teliti. Tetapi apabila Tuhan nampak kejahilan yang terburu-buru ini di dalam sembahyangNya, Dia membutakan mereka daripada kebenaran dan memberi penghakiman (Mal 2:1-9; 2Tes 2:9-12). Kejahilan yang terburu-buru di dalam agama ialah gabungan dua dosa tersebut dan ini lagi teruk!

Allah telah menyatakan agama yang benar di dalam Alkitab, yang di dalamnya pengetahuan boleh diperolehi dengan senang dan percuma, bagi mereka yang mengambil masa untuk meneliti mukasurat-mukasuratnya dan menunduk kepada ajaran-ajarannya. Semua doktrin dan amalan patut ditelitikan dan diuji melalui Alkitab (KPR 17:11; 1Tes 5:21). Tiada sebab untuk mengabaikan pengetahuan ataupun bergegas-gegas untuk bertindak kecuali di dalam hal ketaatan!

Kejayaan di dalam hidupmu bergantung kepada ketaatanmu kepada amsal ini. Akankah kamu belajar dan menguji segala sesuatu, dan barulah berpegang kepada apa yang betul-betul dibuktikan benar? Akankah kamu perlahankan dirimu sendiri di dalam generasi yang semakin tergesa-gesa ini untuk berfikir masak-masak dan menghitung apa yang benar sebelum bertindak?