Amsal · Proverbs

25:28
Dia yang tiada penguasaan bagi rohnya sendiri adalah seperti kota yang telah runtuh dan yang tidak bertembok.

Kejayaanmu bergantung kepada hal menguasai rohmu. Orang-orang yang hebat menguasai roh mereka. Mereka menahan godaan untuk bertindak balas atau melampau. Mereka menahan emosi dan mengendalikan emosi untuk kebaikan. Mereka kekal mengawal perasaan dan kemarahan untuk mengendalikan respon-respon mereka terhadap peristiwa yang terjadi.

Berapakah selamatkah kamu daripada masalah? Jika kamu tidak menguasai rohmu, kamu rentan untuk bertutur atau berbuat apa yang akan merugikan dirimu dengan teruk sekali. Kamu mungkin sudah rugi oleh perbuatan-perbuatan demikian. Ia hikmahmu untuk belajar bagaimana mengawal dan mengendalikan perasaanmu untuk berbuat hanya apa yang wajar.

Rohmu ialah sanubari dirimu, yang mengawal tingkah lakumu. Ketika kamu tidak menguasai rohmu, kamu terdedah dan rentan kepada segala jenis kebebalan dan masalah. Seperti kota yang tiada pertahanan dan tembok pada zaman yang ada banyak pasukan perompak dan penjarah, demikian juga orang yang tidak menguasai rohnya dan tidak tekun untuk menjaganya sesuai dengan jalan akhlak mulia, kebenaran, dan hikmah.

Rohmu melibatkan kerinduanmu, seleramu, dan keghairahanmu. Orang yang berhikmah dan yang mulia menguasai rohnya oleh hati nuraninya dan mindanya. Dia menambatkannya dengan rantai-rantai penyangkalan diri sendiri untuk mengawal cita-cita, kemarahan, nafsu, keangkuhan, atau dendam supaya tidak terlepas keluar. Dia memandu itu dengan kesetiaan minda untuk berpegang teguh kepada kehormatan, kerendahan hati, kewajaran, dan akhlak mulia. Dia menguasai fikirannya, keinginannya, kecenderungannya, kebenciannya, dan mengekalkannya semua dalam keadaan ketertiban berdisiplin.

Orang bebal membiarkan rohnya menguasai tingkah lakunya. Dia tidak menahan gerak hati dari rohnya; dia membiarkan rohnya untuk memimpinnya; dia mengabaikan perjuangan untuk akhlak baik dan kesalihan. Dia tidak dapat melakukan apa yang sepatut dilakukannya; dia tidak dapat berhenti melakukan apa yangtidak patut dilakukannya. Orang demikian kerap kali marah, biasanya bebal, kerap kali murung, atau selalu menangguh-nangguh, di antara kesalahan dan dosa lain. Mereka tidak pernah dewasa, sebab mereka dikuasai keghairahan kebudakan dari hati yang rosak.

Pada zaman Salomo, sebuah kota bergantung kepada pengubuan dan pintu gerbang yang kuat, dengan tembok-tembok yang mengelilinginya, untuk menghalau serangan mendadak oleh pasukan-pasukan penjarah gerila atau angkatan askar orang asing. Jika kubu, pintu gerbang, atau menara-menara dirobohkan dan tembok-tembok dikeluarkan, maka kota itu terdedah sepenuhnya kepada serangan mendadak mana-mana pun musuh yang berhajat untuk menjarah atau menaklukinya. Jika sebuah kota tidak melabur secukupnya dalam jalan-jalan perlindungan tersebut, maka ia dapat dengan mudah diambil alih.

Seorang lelaki tanpa penguasaan roh terdedah dan rentan seperti kota yang tiada pertahanan. Rohnya sudah siap untuk berdosa dengan sedikit provokasi sahaja, dan dia tidak dapat mengendalikan kuasanya untuk apa pun kebaikan yang sejati. Dia dengan ketiadaan bantuan dan harapan selalu berada di bawah pengaruh musuh-musuhnya – kebebalan, nafsu, dan dosa – yang selalu menjarah kehidupannya. Tetapi orang yang menguasai rohnya adalah lebih hebat daripada seorang penakluk yang sendiri menakluki kota (Ams 16:32).

Hai pembaca, apakah yang menggoda rohmu? Adakah kamu lekas marah, iaitu tanda yang pasti orang bebal? Haruskah kamu bercakap dengan tidak terhenti-henti, iaitu satu lagi tanda orang bebal? Berkenaan wang, adakah kamu seorang pembelanja yang terikut-ikut gerak hati? atau orang bakhil yang suka mengumpul banyak-banyak? Adakah kamu memperbenarkan sikap melulu yang tidak berhemat sebagai sikap optimistik? Atau adakah kamu memanggil orang melankolik yang suka bermurung sebagai orang yang merenung diri sendiri? Roh mana yang kamu ada? Adakah kamu menguasainya? Cepat ke kubu! Tegakkan menara! Tutupilah pintu gerbang! Binalah tembok! Kuasailah rohmu!

Adakah kamu bermulut murai? atau kamu murung dan kekal senyap? Adakah kamu membuat pilihan kewangan dengan mengikut gerak hati? Adakah kamu suka mengkritik semuaorang? Adakah kamu bergurau senda dan berkelakar selalu? Adakah rungutan mudah bagimu? Adakah kamu makan lebih banyak daripada apa yang harus kamu makan? Adakah kamu gagal untuk membaca dan berdoa setiap hari? Adakah kamu membiarkan kekecewaan membinasakan dirimu? Adakah ketakutan menjadikanmu tidak melakukan kerjamu?

Adakah kamu tidak menghormati kekuasaan, terutamanya penguasa sivil? Adakah kamu dikenali dengan sikap suka menyendiri dan mengelak keluargamu atau kawan-kawanmu? Adakah kamu mengampuni dengan mudah, atau adakah ia sukar? Dapatkah kamu berhenti menjadi ibu yang terlalu suka menguasai dengan membuat cadangan untuk segala apa pun yang dilakukan anakmu yang sudah berkahwin? Adakah kamu mengolok-olok orang kaya, kerana kamu fikir bahawa kamu lebih tahu daripada mereka (Pkh 10:20)?

Kehidupanmu akan dijarah dan dirosakkan, kecuali kamu mengawal diri dan membangunkan pertahanan. Kamu tidak akan berguna. Kamu akan menjadi orang buangan, sebab roh yang tidak tertib tidak menghasilkan apa yang baik untuk Allah atau manusia. Kamu akan terjunam masuk ke dalam dosa-dosa perlakukan dan dosa-dosa pengabaian. Cepat ke kubu! Tegakkan menara! Tutupilah pintu gerbang! Binalah tembok! Kuasailah rohmu!

Pertempuran yang paling besar kamu akan tempuhi ialah pertempuran menentang rohmu sendiri. Musuhmu yang paling teruk ialah orang yang rosak dan yang mementingkan diri sendiri di dalam dirimu. Itu menyebabkan paling banyak kerosakan dan menjauhkan dirimu daripada kejayaan dalam hidup. Kerugian yang paling memalukan adalah untuk hidup dan mati sebagai mangsa rohmu sendiri yang tidak tertib. Dan kemenangan yang paling mulia dan yang mengganjari ialah kemenangan mengatasi rohmu sendiri.

Raja Saul tidak menguasai roh cemburunya, yang lagi cuba membunuh anak lelakinya sendiri (1Sam 20:27-34). Daud tidak mengekang rohnya yang bernafsu, yang memberanikan dirinya untuk berzina dan membunuh (2Sam 11:1-27). Dan Simson, orang yang paling kuat, menjadi paling lemah di hadapan keghairahan yang tidak terkawal untuk Delila yang lawa (Hak 16:4-21). Hai pembaca, jangan biar dosa-dosa yang keji itu menjadikanmu yakin akan kehidupanmu kerana banyak dosa kecil pun dapat membinasakan kehidupan.

Kenalpastikan kelemahan rohmu – setiap orang memilikinya. Dosa-dosa apa yang paling menggodamu? Apakah yang menyebabkanmu untuk paling cepat jatuh ke dalam kebebalan? Akuilah kesalahan-kesalahanmu kepada Tuhan. Akuilah kepada keluargamu atau sahabat-sahabatmu. Suruh mereka untuk memberitahumu ketika mereka nampak ada lubang rekah di tembok. Kuasailah rohmu, dan remukkanlah apa pun kebebalan yang dicarinya, dan lakukanlah apa pun hikmah yang cuba dielak rohmu. Sekarang juga!

Ketika nampak tanda pertama kubu atau menara sedang roboh, berdoalah untuk kekuatan besar Penguasa Yesus. Jangan percaya kepada kekuatanmu sendiri; kamu memerlukan kekuatanNya. Kamu tidak dapat berlega, sebab rohmu akan mengambil kawalan kecuali kamu menguasainya. Oleh rahmat Tuhan Yesus Kristus kamu dapat menguasainya. Mengapa nak tunggu seminit lebih lama lagi? Pergilah kepada Dia sekarang juga! Bangunkanlah tembok-tembok kota yang dikuasai dengan elok dan kota yang kudus!

Ajarlah anak-anakmu disiplin diri, yang dipanggil sebagai penguasan diri di dalam Alkitab. Ini akan menjadikan mereka lebih baik di hadapan Allah dan manusia lebih daripada didikan akademik. Ini akan menjadikan mereka hebat daripada lelaki yang seorang diri menakluki sebuah kota (Ams 16:32). Kamu dapat bermula ketika anak masih muda dengan perlahan menyangkal mereka benda-benda kecil yang mereka mahu. Dunia zaman kini tidak nampak apa pun keperluan baginya, sementara mereka percaya di dalam sikap segera memuaskan diri dalam hal makanan, pembelian, seks, pertuturan, kemarahan, tidur, dsb.

Yesus Kristus menguasai rohNya dan menundukkan diri kepada kehendak Allah, meskipun sungguh kehairanan dantakut oleh penyalibanNya yang menjelang (Mar 14:33). Walaupun digodai si iblis beberapa kali pada masa yang berlainan, Dia tidak pernah mempertimbangkan cadangan-cadangan si iblis (Mat 4:1-11). Tetapi bukan itu sahaja, Dia akan menyediakan rahmat dan kekuatan bagi orang yang meminta untuknya (2Kor 12:9-10; Flp 4:13).