Amsal · Proverbs

10:20
Lidah orang benar seperti perak pilihan: hati orang durjana kurang nilainya.

Di sinilah amsal yang berharga. Adakah kamu menanggapi peraturan hikmah ini dan pelajaran-pelajaran yang diajarnya? Orang yang benar ada hati yang suci, yang menyebabkan pertuturannya mulia dan bernilai. Orang durjana ada hati yang cabul dan yang tidak bernilai, yang menyebabkan pertuturannya bebal dan menyinggung. Perbandingan ini adalah di antara kedua-dua hati dan pertuturan orang baik dan orang jahat.

Untuk menyelami amsal ini, ingatlah sumber amsal-amsal ini. Meskipun Salomo telah membuat pemerhatian dan menulis kata-kata ini, ia berasal daripada Roh Allah, Yang telah mengilhamkan kata-kata Salomo (Pkh 12:9-11; 2Pet 1:21). Sementara seluruh Alkitab ada satu Pengarang, kita boleh memperoleh bantuan bagi amsal ini daripada bahagian-bahagian nas kitab yang lain (1Kor 2:13; 2Pet 1:20).

Ia jelas dalam amsal ini bahawa orang benar, yang merupakan orang baik, sedang dibandingkan dengan orang durjana, yang adalah orang jahat. Orang benar telah dipilih dan diperbenarkan oleh Allah untuk menjadi anak-anakNya. Tetapi apakah yang istimewa dalam mereka yang menjadi bernilai seperti perak? Lidah-lidah sebenar mereka? Tidak, ia pertuturan mereka, yang dimaksudkan oleh lidah sebagai kiasan metonim, yang merupakan alat untuk berucap (Ams 10:21; 25:11).

Orang durjana ialah orang yang ditinggalkan dalam dosa-dosa mereka dan yang telah mewarisi pencemaran daripada Adam. Dan apa yang ada pada orang jahat ini yang bernilai sungguh rendah? Hati mereka yang sebenarnya? Tidak, ia sebaliknya pertuturan mereka yang tercemar dan yang cabul, yang mengalir dari hati mereka yang durjana. Amsal ini membandingkan hati dan pertuturan yang baik pada orang benar dengan hati dan pertuturan yang jahat pada orang durjana.

Pertuturanmu mencerminkan jenis hati yang kamu ada. Yesus berkata, “Hai generasi ular kapak, bagaimanakah mungkin kalian yang jahat mengucapkan apa yang baik? sebab daripada luapan hati mulut berucap. Orang baik daripada khazanah baik hatinya mengeluarkan apa yang baik: dan orang jahat daripada khazanah jahatnya mengeluarkan apa yang jahat” (Mat 12:34-35).

Salomo tahu hati dan pertuturan adalah berkait sungguh rapat. Dia telah menulis, “Dia yang mengasihi kesucian hati, oleh sebab bibirnya yang santun akan memperoleh raja sebagai sahabatnya.” (Ams 22:11). Dia tahu bahawa pertuturan yang berbudi baik dianggap para raja bernilai tinggi (Ams 16:13; 1Sam 18:1; Pkh 10:12). Betapa besarnya insentif ini untuk kamu bertutur dengan lebih baik! Dia tahu bahawa ucapan dan perkataan yang sebegitu berjaya datangnya dari hati yang mulia, yang tidak dimiliki orang durjana dalam sifat mereka (Maz 58:3; Yer 17:9).

Orang bebal berkata, “Kamu tidak mengenal hatiku”. Tetapi hati manusia dikenal melalui pertuturannya. Jika pertuturannya tidak baik, bebal, atau cabul, maka hatinya durjana. Jika pertuturannya baik, berhikmah dan boleh diterima, hatinya suci. Setiap orang akan dihakimi oleh pertuturannya, sampai kepada setiap perkataan yang kosong; kamu akan sama ada diperbenarkan atau dikutuk oleh cara kamu bertutur (Mat 12:36-37).

Hai pembaca, selidikilah hatimu (Maz 139:23-24; 2Kor 13:5). Adakah kamu suka fikiran yang baik, berbelas kasihan, benar, dan yang berhikmah selalu? Jagalah hatimu dengan segala ketekunan, sebab dari situlah terpancar isu-isu kehidupan, termasuk pertuturanmu (Ams 4:23). Akuilah dosa-dosa pertuturanmu dan rayulah kepada Allah untuk bantuan memandu lidahmu dalam kewajaran (Ayb 34:31-32; Yes 6:1-5; Maz 19:14). Biar setiap perkataan yang diucapkanmu menjadi seperti perak – bagi kemuliaan Allah dan bagi keuntungan orang lain.