13:1
Seorang anak yang berhikmah mendengar arahan ayahnya: tetapi seorang pencemuh tidak mendengar teguran.
Sukatkanlah hikmahmu. Jawablah satu soalan dengan jujur. Adakah kamu suka diperbetulkan orang yang kamu tahu memiliki kesalahan-kesalahan dalam dirinya sendiri? Salomo dalam Amsal menekankan tanda orang hebat ini dengan kerap kali (Ams 1:5; 8:17; 9:7-9; 12:1; 13:18; 15:5,12,31-32; 23:9; Maz 32:8-9).
Anak-anak lelaki hidup dengan ayah mereka dan nampak kesalahan, kejahilan, dan dosa-dosanya. Para pemuda ini, yang penuh dengan kebebalan dosa orang muda, tidak suka untuk ditunjuk ajar daripada sesiapa pun, apatah lagi daripada lelaki yang mereka tahu ada kesalahan. Maka, mereka selalu menghadapi pilihan yang sukar – tunduk atau memberontak.
Ada Allah di syurga, dan Dia telah berbicara: taatilah dan hormatilah ayahmu. Apakah rawatan bagi anak-anak lelaki yang pencemuh? Hukuman mati! Mudah, wajar, dan sempurna! Biarlah dirimu gementar di hadapan Allah dan bapamu (Ams 20:20; 30:17; Kel 21:15,17; Ima 20:9; Ula 21:18-21; 27:16).
Hai pemuda, Allah telah memilih satu orang dari kalangan dua bilion orang untuk menjadi bapamu. Dia tidak minta izin kamu berdua bagi hal itu. Perhubungan itu adalah melalui pilihanNya, dan Dia telah memberinya jawatan ayah dan 20-40 tahun hikmah dan pengalaman sebelum kamu dilahirkan.
Kekuasaan di dunia ini adalah tidak sempurna. Tiada ayah, suami, majikan, atau raja yang sempurna. Mereka melakukan kesilapan, bahkan banyak kesilapan. Tetapi itu tidak penting, sebab jawatan itu haruslah ada ketakutan, ketaatan, dan keseganan, dan kepercayaan. Inilah ordinan Allah. Sesiapa pun yang berbahas tentang itu ialah binatang yang tidak berakal yang perlu dibinasakan (2Pet 2:10-12; Yud 1:8-10; Rom 13:1-7).
Mengapakah kamu harus mendengar ayahmu? Pertimbangkan. Ayah dipilih oleh Allah, ada pengalaman yang kamu tidak ada, beremosi stabil, tidak bertestosteron tinggi, mengasihimu dengan niat melindungi, mementingkan nilai masa depanmu, ada lebih pengetahuan, ada tanggungjawab daripada Allah, tahu tentang kerugian dan kepedihan hasil daripada kebebalan, dan hidup dan tidur dengan ibumu!
Jika kamu menolak arahan ayahmu, kamu seorang pencemuh – salah satu nama yang paling buruk dalam Alkitab (Ams 15:12; 24:9). Kamu lebih teruk daripada orang bebal (Ams 12:1). Kamu seorang yang gagal dengan angkuh (Ams 26:12). Kamu fikir diri sendiri berhikmah, tetapi kamu orang tolol yang kebinatangan (Ams 26:16; 21:24). Kamu menyebabkan terlalu banyak masalah dunia, dan dunia lebih baik ketika kamu meninggal (Ams 22:10; 29:8).
Di antara hal-hal yang harus dijauhi para pemuda, ciri-ciri si pencemuh menjadi sungguh utama. Allah tidak akan diperolok-olokkan, dan semua pencemuh akan dihukum (Ams 15:10; 29:1; 19:25; 21:11; Yes 29:20-21). Maka salah satu peraturan kehidupan orang salih adalah untuk mengelak tempat duduk orang pencemuh pun (Maz 1:1). Semua pencemuh haruslah ditandai, dielak, dan dipandang hina sebagai orang yang cabul dan penjenayah yang berbahaya.
Eli memberi amaran dan menegur anak-anak lelakinya yang cabul, Hofni dan Pinehas, tetapi mereka tidak mendengar arahan ayah mereka, sebab TUHAN sudah bermaksud membinasakan mereka (1Sam 2:25). Jika kamu memandai untuk menolak teguran orang yang diutus TUHAN, baik ayah mahupun pastor, berapa jauhkah dirimu dari penghakiman pasti yang serupa dengan Hofni dan Pinehas (2Taw 36:16)? Menolak para utusan Allah sememangnya menolak Allah sendiri (1Sam 8:7; Kel 16:8; Luk 10:16). Berhati-hati!
Peraturan hikmah ini juga dipakai bagi segala jawatan kekuasaan dan jawatan arahan yang lain. Hai perempuan muda, adakah kamu mendengar arahan ayahmu dan ibumu? Hai perempuan yang sudah berkahwin, adakah kamu mendengar permohonan-permohonan suamimu? Hai pekerja, adakah kamu mendengar arahan majikanmu? Kamu bersemuka setiap hari dengan satu pilihan – akankah kamu dengar dan menyegani arahan, atau menolaknya dengan mencemuh?
Manusia memasuki dunia ini dalam keadaan jahil dan bebal, dan Allah di syurga yang besar dan yang murah hati menyediakan ibubapa, suami, tuan majikan, pastor, dan majistret untuk mengajar dan memimpin mereka menerusi kehidupan. Tanpa guru-guru ini, dunia akan huru-hara dan beranarki. Bagaimanakah kamu menerima arahan mereka? Sebagai orang berhikmah, atau sebagai orang bebal? Atau yang lebih teruk pula, sebagai seorang pencemuh?
Berapakah sukarnya bagi dirimu menerima arahan, pembetulan, amaran, dan teguran hamba Allah? Kamu tahu dia seorang pendosa seperti dirimu, dan kamu mungkin nampak kelemahan dalam dagingnya. Namun, dia berdiri dan berucap sebagai duta bagi Yang Berbahagia dan Yang Satu-satunya Diraja, dan sikap yang memandang hina kepadanya atau arahannya akan membawa penghakiman (1Tes 5:12-13; Ibr 13:7,17).
Kamu memiliki teladan yang sungguh hebat untuk dituruti dalam hal ini. Tuhan Yesus Kristus telah diajar oleh BapaNya, dan Dia bersukacita untuk mendengar dan melakukan segala perintah, malah dari umur yang kecil pun (Yes 50:4-5; Luk 2:49; Yoh 8:29). Ketika ia melibatkan korban bagi nyawaNya sendiri, Dia belajar ketaatan dan menjadi sempurna dengan menempuhi penderitaan itu (Ibr 5:7-9). Biarlah Dia menjadi teladanmu!