Amsal · Proverbs

13:2
Seseorang akan memakan kebaikan daripada hasil buah mulutnya: tetapi jiwa para pelanggar akan memakan keganasan.

Pertuturan menentukan kejayaan. Kata-kata baik membawa berkat dan keredaan. Kata-kata durjana membawa kepedihan dan kebinasaan. Mulutmu ada banyak potensi untuk baik atau jahat di dalam perniagaan atau perhubungan. Jika kamu fikir kamu dapat bercakap dengan sewenang-wenangnya, kamu akan jatuh, tidak lama lagi.

Betapa mudahnya jalan untuk beroleh maju! Betapa mudahnya peraturan untuk kejayaan! Allah mengilhamkan Salomo untuk memberitahumu rahsia tentang kehidupan – kata-kata yang berbudi baik akan meluncurkanmu ke depan; ucapan yang kejam dan yang bebal akan membawa kebinasaanmu. Kamu dapat menjadikan kehidupanmu lebih baik pada hari ini dengan menguasai lidahmu.

Bagaimanakah Yusuf mendapat kenaikan pangkat dari penjara ke takhta? Dengan pertuturan yang menunjukkan rohnya yang cemerlang (Kej 41:38-45). Bagaimanakah Daud mendapat kenaikan pangkat dari kalangan kawanan domba kepada orang kegemaran raja? Dengan pertuturan yang berbudi baik (1Sam 18:1-5). Bagaimanakah Daniel memerintah di Babel dengan banyak raja? Dengan roh dan ucapan yang cemerlang (Dan 6:1-3). Peraturannya mudah – pertuturan yang berbudi baik akan memenangi orang bahkan raja (Ams 22:11). Jika tidak seorang pun telah baru-baru ini memuji pertuturanmu, maka kamu memerlukan amsal ini.

Pertuturanmu boleh membawa kebaikan ke dalam kehidupanmu, atau ia dapat membawa keganasan. Allah dan orang baik suka orang yang bertutur dengan baik, tetapi mereka memandang hina orang yang bertutur dengan durjana. Apakah yang dihasilkan kata-katamu di dalam kehidupan orang lain? Kerana itulah apa yang kamu terima. “Mati dan hidup berada di dalam kuasa lidah: dan mereka yang mengasihinya akan memakan buah daripadanya” (Ams 18:21). Begitu pentinglah pertuturan – mati atau hidup! Guna atau salah guna pertuturan masing-masing membawa keuntunganmu atau hukumanmu.

Mulutmu bukan kepunyaanmu, tidak kira apa pun yang dikatakan hatimu yang penuh perdayaan (Maz 12:4; Yer 17:9). Allah menciptakan kemampuan pertuturan, dan Dia telah memberimu mulutmu, dan Dia menuntutmu untuk mentaati peraturan-peraturanNya berkenaan perbualan. Dia tahu setiap perkataan yang dituturkanmu dan setiap perkataan yang ditahanmu. Kamu akan dipertanggungjawabkan sekarang dan kemudian (Mat 12:36-37).

Amsal ini ada banyak kiasan. “Memakan kebaikan” ialah berkat-berkat Allah dan pujian manusia. Ia diperoleh dengan hasil buah mulutmu, iaitu pertuturan yang berbudi baik dan yang berhikmah. Bagi perbandingan yang bertentangan, adanya para pelanggar adab, yang bercakap dengan kasar dan dengan bebal. Mereka akan memakan keganasan, sebab kedua-dua Allah dan manusia akan menghukum mereka. Apakah pelajarannya? Suatu jalan yang mudah untuk bertambah di dalam keredaaan Allah dan keredaan manusia adalah untuk memajukan pertuturanmu (Ams 3:4; 1Sam 2:26; Luk 2:52).

Pertuturanmu akan membawa sama ada kebaikan ataupun keganasan kepada jiwamu dan kehidupanmu (Ams 12:14; 13:3; 18:20). Kata-kata yang baik mendapat berkat dan keredaan daripada Allah dan daripada orang baik (Ams 15:23; 22:11; 24:26), sebab kata-kata yang baik mensahihkan adanya hati yang baik (Mat 12:34-37; Yak 3:8-12). Pertuturan jahat mencetuskan murka dan penghakiman Allah dan manusia (Ams 18:6; 22:10; Maz 52:1-5; 140:11), sebab ucapan jahat mengesahkan hati yang suka membantah dan yang durjana (Mat 12:34-37; Yak 3:8-12).

Pertimbangkan lapan jenis ucapan. Orang salih tidak akan menyebar khabar yang merosakkan nama baik orang lain, dan tidak memfitnah atau mengumpat. Belas ihsan dan belas kasihan ada di dalam mulutnya (Ams 17:9; 31:26; Pkh 10:12). Tetapi orang durjana berdosa terhadap orang lain dengan mengumpat, memfitnah, membawa mulut, dan membisik, iaitu semua yang dibenci Allah dan orang yang baik (Ams 6:16-19; 10:18; 16:28; 25:23).

Seorang lelaki yang mulia selalu menghormati kekuasaan dan memberi hormat kepada orang yang patut dihormati. Dan seorang perempuan yang salih selalu menyegani suaminya, bahkan memanggilnya tuan (Rom 13:7; Efe 5:33; 1Pet 2:17; 3:6). Tetapi seorang yang jahat dengan berani mengkritik para penguasa danmentohmah mereka, seperti binatang yang jahil, yang dinyatakan Alkitab harus dibinasakan (Yud 1:8-10; 2Pet 2:10-12).

Seorang yang berakhlak mulia adalah terkawal dan serius, sementara tahu bahawa kehidupan penting; dia hanya bercakap untuk membangunkan orang lain, dan dia mengelak kata-kata yang kosong (Ams 17:27; 29:11; Mat 12:36-37). Tetapi orang durjana berborak-borak, beromong bebal dan kotor, dan bergurau senda; Allah menyamakan jenis ucapan itu dengan perzinaan, dan Dia akan datang untuk menghakimi itu (Ams 10:10; 26:18-19; Efe 5:3-6).

Orang salih ialah pendamai: dia berucap untuk menghibur dan menenang; dia memakai jawapan yang lembut untuk memalingkan murka; dia tidak akan mencemuh (Ams 15:1; 25:15; 31:26). Tetapi orang jahat memakai kata-kata yang kasar dan angkuh yang memprovokasi kemarahan; dia menghina orang lain dengan nama sindiran; dia memedihkan orang dengan kata-kata yang tajam; dan perempuan yang sedemikian pula ialah isteri yang meleter (Ams 12:18; 21:19; 26:21; 27:15; Mat 5:21-22).

Orang benar mengasihi kebenaran dan selalu bercakap benar, tidak kira apa pun; dia saksi yang setia dalam segala hal; dia tidak membesar-besarkan cerita (Ams 12:17; 13:5; 14:5,25). Tetapi orang durjana ada perdayaan dalam hatinya dan lidahnya; dia tidak takut mentohmah atau berbohong; dan dia akan kekal selamanya di neraka (Ams 6:16-19; 12:19; 19:5,9; Wah 21:8).

Seorang lelaki yang berakhlak mulia bersyukur untuk segalanya, memberi kemuliaan kepada Allah untuk segalanya; dia tahu dia tidak layak untuk apa pun berkat, jadi dia bersukacita dalam kemurahan yang paling kecil pun (Efe 5:20; Kol 3:17; 1Tes 5:18). Tetapi orang jahat mengadu, merungut, dan merengek; dia hanya melihat apa yang negatif; dan dia suka mengkritik (Bil 11:1-35; Ula 28:47-48; Yud 1:15-16).

Orang salih rendah hati, suka menunduk, dan sederhana; dia tidak memuji dirinya sendiri, malah secara tidak langsung pun tidak; dia hanya bermegah dalam Allah, dan mendahului orang lain (Ams 25:27; 27:2; Maz 34:1-3; Flp 2:3-4). Tetapi orang durjana suka bercakap tentang dirinya dan memuji dirinya; dia akan bermegah, dan dia dengan angkuh akan merendahkan orang lain; dia sombong dalam pertuturannya (Ams 8:13; 14:3; 1Sam 2:3; Maz 10:3).

Orang yang berbudi baik adalah mesra, lemah-lembut, dan murah hati; dia baik hati dan suka menggalakkan orang; dia tidak mementingkan diri dan sungguh mengambil berat tentang orang lain (Ams 11:16; 16:24; 22:11; Pkh 10:12; Luk 4:22). Tetapi orang jahat adalah angkuh, kejam, dan kasar; dia mementingkan diri sendiri dan beriri hati dengan orang lain; dia lantang, suka berpendapat, dan biadap; dia kasar dan tidak sopan santun (Ams 12:18; Pkh 10:12-14).

Berkatilah dirimu dengan kebaikan! Pilihlah kehidupan yang baik! Hentikan percakapan jahat: ia sebegitu mudah (Maz 34:12-13). Bacalah itu, dan percayalah itu. “10 Bagi dia yang ingin menyayangi kehidupan, dan melihat hari-hari baik, biar dia menahan lidahnya daripada kejahatan, dan bibirnya supaya tidak mengucap kelicikan” (1Pet 3:10).

Isikan mulutmu dengan pujian dan syukur (Maz 34:1). Berbicara kerap kali kepada orang lain tentang Tuhan: Dia akan mencatatkan namamu dalam suatu kitab yang istimewa (Mal 3:16). Biar ucapanmu selalu berbudi baik dan selalu membangun – membina orang lain (Efe 4:29; Kol 4:6). Kamu akan ada kehidupan yang baik dan menyelamatkan dirimu daripada hukuman yang ganas. Majukanlah pertuturanmu pada hari ini juga.