Amsal · Proverbs

14:2
Dia yang berjalan dalam kejujuran takut akan TUHAN: tetapi dia yang jalannya babil memandang hina akan dia.

Ia mudah untuk tahu kamu mengasihi Allah atau tidak. Orang bebal berkata, “Kamu tidak boleh menghakimiku, kerana kamu tidak mengenal hatiku.” Tetapi Salomo berkata bahawa kamu dapat mengenal hatinya dengan mudah sahaja. Secara mudah, kamu menghakiminya dengan perilakunya. Orang baik menunjukkan mereka mengasihi Allah; orang jahat menunjukkan mereka membenci Allah.

Wahai orang munafik! Kamu sudah terdedah. Percakapanmu itu sia-sia sahaja. Keagamaanmu pada hari Ahad kosong sahaja. Pembaptisanmu tidak bermakna. Persahabatanmu itu palsu. Kata-katamu itu berbohong. Perilakumu itu memberitahu kebenaran. Kehidupanmu yang kurang salih dan pilihan-pilihanmu yang durjana itu membuktikan bahawa kamu benar-benar benci Allah.

Tidak lama lagi kamu akan terdedah kepada seluruh gereja (Ams 26:26; Maz 144:7-8). Kamu takut untuk berkata kamu membenci Allah, tetapi perilakumu itu menyatakan bahawa kamu memandang hina akan dia. Kata-kata salihmu dan kehadiranmu yang kerap tidak bermaksud apa-apa, kerana orang yang benar-benar takut akan Allah akan mentaatiNya dalam segala aspek kehidupan.

Orang yang berjalan dalam kejujuran, iaitu orang yang melakukan apa yang betul selalu, takut akan Tuhan. Orang yang babil dalam jalannya, iaitu orang yang kerap kali derhaka, memandang hina Tuhan. Peraturan ini mudah sahaja; ia tepat; dan orang munafik yang menuntut bahawa mereka takut akan Allah langsung tidak dapat memperdayakan orang berhikmah.

Ada suatu kata pepatah yang berbunyi, “Suara perilaku lebih lantang daripada perkataan.” Salomo bersetuju. Dia berkata kanak-kanak pun dikenali oleh perbuatan mereka, sama ada mereka suci dan sama ada mereka betul (Ams 20:11). Jangan percaya apa yang kamu dengar, jika perilaku orang itu bercanggah dengannya (Ams 14:15; 26:6-7,24-25).

Pokok yang baik menghasilkan buah yang baik; pokok yang jahat menghasilkan buah yang jahat. Demikian juga dengan manusia. Kecuali hatinya baik, perilakunya akan jahat. Mulut berucap dan kaki berjalan menurut kandungan hati. Orang jahat tidak dapat menghasilkan perbuatan yang baik (Mat 12:33-35). Tidak kira betapa banyak orang munafik cuba pun, orang berhikmah nampak kehidupan yang bercanggah-canggah itu mengkhianati kata-katanya.

Orang munafik tidak mahu diketahui atau dihakimi, sebab seluruh kehidupan mereka itu bohong. Mereka berlagak takut akan Tuhan untuk mendapatkan sesuatu. Mereka mempertahankan kehidupan mereka yang bercanggah-canggah itu dengan menyangkal orang mengenal hatinya. Tetapi hati yang tulus dikenali oleh kewajaran yang konsisten, dan hati yang jahat dikenali oleh dosa. Peraturan ini mudah untuk mengesan akhlak.

Mengapakah adanya orang yang berpura-pura takut akan Allah? Fikir masak-masak, wahai pembaca. Mereka memerlukan sesuatu daripada gereja, jadi mereka berlagak salih untuk mendapatkannya. Mereka memerlukan kawan, dan orang Kristian orang peramah. Mereka memerlukan pekerjaan, dan boss mereka orang Kristian. Mereka memerlukan pasangan, dan perempuan yang paling baik ialah perempuan Kristian. Mereka mahu bantuan kewangan, dan orang Kristian murah hati. Mereka takut pasangan mereka itu meninggalkan mereka, jadi mereka bertolak ansur untuk menjadi Kristian. Mereka akan berpura-pura supaya mengekalkan kebahagiaan keluarga.

Takut akan Tuhan bukan pengakuan sekali ketika penuh emosi. “Maju ke depan” di suatu kebaktian kebangkitan rohani tidak alkitabiah atau pun Kristian, maka ia tidak bermaksud apa-apa pun. “Membuat suatu keputusan” bukan menjalani kehidupan yang jujur; ia hanya fikiran yang sia-sia. “Memperoleh keselamatan” menunjukkan kejahilan besar tentang hal keselamatan, kerana ada sekurang-kurangnya lima fasa keselamatan. “Dibaptis” dan “menyertai gereja” hanya satu langkah kecil. Itu semata-mata langsung tidak membuktikan takut akan Tuhan.

Takut akan Tuhan ialah ragam hidup yang mentaati Allah, yang memegang perintah-perintahNya, dan yang membenci dosa (Pkh 12:13; Ams 8:13; 16:6). Gereja-gereja zaman awal telah berjalan dalam takut akan Tuhan, kerana mereka menyerahkan hidup mereka untuk mengikuti Yesus Kristus, meskipun rugi banyak (Kis 9:31). Biar ayah Salomo, Daud, memberitahu kamu bagaimana dia berjalan dengan jujur di rumahnya (Maz 101).

Berjalan itu bukan melangkah: ia terdiri daripada banyak langkah. Yesus berkata, “Jika kalian berterusan di dalam firmanku, maka, kalian memang murid-muridku” (Yoh 8:31). Jika kamu tidak berterusan, maka kamu tidak takut akan Tuhan. Kamu harus berada dalam takut akan Tuhan sepanjang hari (Ams 23:17). Orang lain dapat menghakimi hatimu.

Kurang orang mengaku bahawa mereka membenci Allah. Betapa buruknya! Tetapi suatu kehidupan rohani yang malas dan berdosa berbicara lebih lantang daripada kata-kata benci terhadapNya (Mal 1:6-14). Jika kamu tidak mati habis-habisan bagiNya, Dia memandang hina akan kamu dan kehidupanmu (Wah 3:14-19). Mengasihi Kristus bermaksud memegang perintah-perintahNya (Yoh 14:21-24). Mengenal Allah dengan benar hanya dengan memegang perintah-perintahNya (1Yoh 2:3-5).

Eli menghina Allah dengan terlampau mengasihi anak-anaknya (1Sam 2:29-30). Dia babil di dalam jalan-jalannya kerana tidak membunuh mereka. Daud menghina Allah dengan berzina dengan Batsyeba (2Sam 12:9-10). Dia babil dalam jalan-jalannya dengan mengambil perempuan orang lain. Para pembesar ini telah melanggari peraturan ini.

Wahai orang munafik, pertimbangkanlah jalan-jalanmu. Kamu sudah terdedah! Dan jika hati jahatmu itu dikenali manusia, betapa banyak lagi Allah mengenal kemunafikan dan hati durjana kamu itu, yang di hadapan Dia segalanya telanjang dan terdedah (Ibr 4:12-14)? Bertaubatlah bagi kemunafikanmu itu pada hari ini juga.

Wahai orang Kristian yang dikasihi, jagalah hatimu dengan segala ketekunan (Ams 4:23). Doakan supaya Allah akan menyelidikinya dengan teliti (Maz 139:23-24; 26:1-2). Akuilah setiap percanggahan dengan tahap piawai Kitab SuciNya. Ingat bahawa hatimu hanya sebaik dan sesuci perilakumu.

Bagaimana pula dengan hati Yesus Kristus? Ia penuh dengan takut akan Tuhan, dan Allah menghormati hatiNya dengan mengabulkan doaNya (Ibr 5:7-9). KehidupanNya yang sempurna membuktikan hatiNya sempurna. Biarlah Dia menjadi teladanmu yang kudus dan yang sempurna. Jadilah suatu surat yang hidup bagiNya setiap hari (2Kor 3:3).