Amsal · Proverbs

22:2
Orang kaya dan orang miskin bertemu bersama: TUHAN ialah pencipta mereka semua.

Orang kaya dan orang miskin ada banyak kesamaan. Allah Jehovah menciptakan mereka semua. Belajarlah kesamaan mereka, dan janganlah memandang hina atau beriri-hati kepada yang mana-mana satu. Pandangan yang salih ialah hikmah yang besar.

Apabila orang kaya dan orang miskin bertemu bersama, orang kaya memandang hina orang miskin kerana serba kekurangan dan bodoh, dan orang miskin beriri-hati akan orang kaya kerana makmur dan angkuh. Tetapi TUHAN menjadikan mereka berdua, dan mereka tidak ada sebab untuk berasa geram terhadap satu sama lain. Sebab jika hakikatnya dinyatakan, mereka berdua sampai ke bumi telajang dan ketandusan, dan mereka akan meninggalkan dunia ini dengan cara yang sama.

Orang kaya dan orang miskin bertemu bersama pada waktu lahir dan waktu mati, dan kamu patut perhatikan bahawa mereka sungguh serupa di dalam banyak hal yang penting. Mereka dilahirkan dengan cara yang sama, datang telanjang, tidak sedar diri dan jahil, merupakan orang berdosa di depan Allah, mudah terjejas dengan penyakit yang sama, tergoda dengan dosa yang sama, dan menghadap Allah selepas mati dengan jumlah aset yang sama.

Perbezaan kewangan antara orang kaya dan orang miskin itu bukan keputusan mereka. Allah Pencipta yang berdaulat di syurga telah menentukan pengaruh-pengaruh ekonomik di dalam setiap insan sebelum adanya dasar bumi (KPR 15:18; 1Kor 4:7; Dan 4:35). Jika kamu tidak suka akan hakikat ini pun, kamu tidak boleh berbuat apa-apa. Kamu tidak boleh mengubahkannya, dan pilihan-pilihanNya sudah dan selalu akan mempengaruhi kehidupanmu.

Salomo tidak menulis di amsal ini tentang kepapaan hasil perbuatan-perbuatan bebal. Apabila seseorang itu malas, pembazir, dan/atau bebal, kepapaannya itu kesalahannya sendiri. Allah menghakimi orang sebegitu. Tetapi itu bukan tujuan amsal ini. Ada banyak lagi amsal yang mengutuk perangai sedemikian. Di sini, pelajarannya adalah tentang pembezaan yang nyata dan yang ketara yang dilakukan Allah.

Pertimbangkan suatu pengaruh ekonomik yang penting. Siapakah yang memilih ibubapamu? Ibubapa yang berjaya membekal anak-anak mereka dengan harta pusaka, kontrak kerja, pendidikan yang unggul, nama yang hebat, cita-cita dan keyakinan, dan banyak lagi kelebihan. Tetapi anak itu langsung tidak buat atau meluluskan pilihan itu! Anak yang dilahirkan kepada ibubapa yang cacat mental dan yang penggeledah sampah itu pun tidak buat atau meluluskan pilihan itu!

Siapakah yang memilih kewarganegaraanmu ketika lahir? Salah satu anak dilahirkan di Etiopia yang dilanda kepapaan tanpa peluang untuk apa pun. Yang satu lagi dilahirkan di Amerika pada kelas menengah dengan segala peluang. Tetapi kedua-dua bayi yang di negara-negara itu tidak buat atau meluluskan pilihan itu.

Siapakah yang memilih kepandaian dan kemampuanmu? Salah satu anak dilahirkan dengan IQ tahap 10% yang pertama antara populasi dunia, mahir matematik dan petah petuturannya, berdaya penarik dan berkemampuan memimpin. Salah satu lagi anak dilahirkan dengan IQ tahap 25% yang terendah antara populasi dunia, buta huruf, tidak fasih bertutur, dan kurang baik dalam matematik, dan mempunyai perangai yang lemah dan penakut. Allah membuat pilihan-pilihan ini, dan kejahilan akan kedaulatan besar Allah atas manusia ialah kejahilan akan hakikat-hakikat kehidupan.

Siapakah yang memilih kerjayamu atau perniagaanmu? Salah seorang awal-awal mendapat kerja dengan suatu syarikat yang besar di dalam industri yang semakin makmur; syarikat itu menaikkan pangkat pekerja di dalam syarikat, memberi ganjaran bagi kecemerlangan, dan memberi saham syarikat kepada pekerjanya. Dia menjadi kaya dalam tempoh dua puluh tahun. Salah seorang lagi bekerja untuk dua puluh tahun pada gaji yang rendah di dalam industri yang semakin merosot dan dihentikan kerja tanpa amaran atau apa pun faedah. Dia melarat pada umur empat puluh tahun dan tidak tentu arahnya. Allah memilih, dan orang kaya dan orang miskin haruslah akur akan ini.

Contoh-contoh ini dapat digandakan banyak kali untuk pengaruh-pengaruh yang lain. Allah telah menentukan pengaruh-pengaruh yang membawa kepada kejayaan kewangan sebelum kamu dilahirkan. Dia telah menjadikan kedua-dua orang yang kaya dan orang yang miskin, dan mereka harus gementar di hadapanNya dan mengasihi dan menghormati satu sama lain. Tiada yang tahu masa depan, tetapi Allah syurgawi tahu, dan dia memberkati atau tidak memberkati orang dengan sewajarnya. Dia mengenal semua pengaruh dan mengagihkannya menurut kehendakNya sendiri.

Kamu harus memantapkan fikiran akan apa pun soal yang kamu ada tentang kedaulatan Allah di dalam pengaruh-pengaruh ini. Salomo menyatakan aksiom ini: “Aku kembali, dan nampak di bawah matahari, bahawa perlumbaan tidak memihak kepada orang yang laju, dan juga pertempuran tidak memihak kepada orang yang kuat, dan juga roti tidak memihak kepada yang berhikmah, dan juga kekayaan tidak memihak kepada orang yang ada pemahaman, dan juga keredaan tidak memihak kepada orang yang mahir; tetapi waktu dan nasib terjadi kepada mereka semua” (Pkh 9:11). Siapakah yang bertanggungjawab untuk waktu dan nasib ini? Salomo memberimu amsal ini yang berbunyi, “Undi dibuang ke pangkuan; tetapi segala ketentuannya itu adalah daripada TUHAN.” (Ams 16:33).

Orang kaya dan orang miskin juga bertemu bersama di dalam keadaan hidup yang lain. Mereka perlu bertemu bersama di dalam pencarian kemajuan ekonomi, sebab mereka saling bergantung. Orang miskin memberi kerja buruh, khidmat, dan benda dagangan untuk membekalkan orang kaya dengan makanan, perkhidmatan, dan kemewahan; dan orang kaya memberi orang miskin pekerjaan, gaji, dan peluang membeli hasil keluaran syarikat mereka.

Jika semua orang menjadi kaya atau semua menjadi miskin, ekonomi-ekonomi dunia akan merosot sampai kena berhenti. Jika semuanya orang miskin, siapakah yang akan membekalkan modal? Jika semuanya orang kaya, siapakah yang akan membekalkan kerja buruh?Orang kaya dan orang miskin bertemu bersama, sebab mereka memerlukan sesama diri. Dan perhubungan yang saling bergantung ini juga berkaitan dengan gereja juga, iaitu orang yang kaya dengan kurnia-kurnia roh tidak harus memandang hina orang yang kurang kurnia (1Kor 12:21).

Apabila orang kaya dan orang miskin bertemu bersama, orang kaya haruslah mengambil berat akan orang miskin dan menjadi rela untuk mengagihkan kemakmuran mereka kepada keperluan orang miskin, dan orang miskin haruslah rela untuk menghormati dan bersukacita dengan orang kaya bagi keredaan Allah ke atas mereka (1Tim 6:17-19; KPR 4:34-37; 2:44-45; Rom 12:15; 1Kor 12:26).Tidak boleh ada apa pun sikap memandang orang bagi kesempatan ekonomi di rumah Allah (Yak 2:1-10). Semuanya disanjungi (Yak 1:9-11).

Untuk mengolok-olok orang miskin sungguh salah, sebab ia menghina Penciptamu (Ams 14:31; 17:5). TUHAN Jehovah itulah yang menjadikan kedua-duanya kaya dan miskin, seperti yang dinyatakan doa Hana (1Sam 2:7). Ayub tahu bahawa kedua-dua orang kaya dan orang miskin sama-sama dibentuk di dalam rahim oleh tangan Allah (Ayub 31:14; 34:19). Orang kaya harus gementar, kerana mengenal bahawa Allah dapat menurunkan mereka ke lembah kepapaan dalam sekelip mata; dan orang miskin tidak harus murung, kerana tahu bahawa Allah dapat memperkayakan mereka dengan mudah.

Mengapakah Allah menjadikan salah seorang miskin dan seorang lagi kaya? Dia TUHAN; Dia lebih besar daripada manusia, dan Dia melakukan apa pun menurut kesukaanNya kepada manusia (Ayub 33:12). Tetapi Dia boleh mengajar orang miskin kerendahan hati, kepuasan, kesabaran, dan iman melalui kemiskinannya. Dan Dia juga boleh mengajar orang kaya keperluan untuk merendahkan diri, berbaik hati, bermurah hati, mengasihi dan bersyukur.