Amsal · Proverbs

24:17
Janganlah bersukacita apabila musuhmu jatuh, dan jangan biar hatimu bergembira apabila dia tersandung:

Di sinilah suatu ujian rapi akan akhlak. Di sinilah suatu bukti kukuh jika kamu seorang anak Allah atau tidak. Di sinilah suatu sukatan benar akan kesalihan dan hikmah. Di sinilah suatu cabaran bagi imanmu, sama ada kamu menginginkannya ataupun tidak. Cuba fikir sekarang. Adakah kamu bergembira apabila celaka menimpa musuh-musuhmu?

Allah mengarahkan kamu untuk mengasihi musuh-musuh peribadimu, dan itulah salah satu daripada sukatan-sukatan yang terbaik untuk seorang Kristian benar. Kasih sedemikian melibatkan hati yang menjadi dukacita apabila musuhmu jatuh atau tersandung di dalam kehidupan. Jika kamu gembira atau bersukacita apabila dia ditimpa kesusahan, kamu telah berdosa. Di dalam amsal ini, Tuhan Allah menawarkan suatu peraturan yang mudah bagi kemenangan rohani di dalam kehidupanmu. Sila langsungkan pembacaan.

Amsal ini secara tunggal tidak lengkap, sebab ayat yang kemudian menerangkan lagi kesan-kesan bersukacita atas kesesakan-kesesakan musuh peribadimu, “Supaya jangan TUHAN melihatnya, dan tidak senang hati kerana itu, lalu dia memalingkan murkanya daripada orang itu” (Ams 24:18). Allah mungkin berubah daripada berpihak dengan kamu kepada berpihak dengan musuhmu, jika dia mengesan kamu bermegah-megah tentang kesakitan atau masalah di dalam kehidupan musuhmu. Berwaspada!

Jika kamu berasa gembira atas celaka yang menimpa musuhmu, Tuhan akan melihat kesukaanmu yang mementingkan diri sendiri dan yang bersikap suka membalas dendam itu; Dia akan menjadi marah terhadap perangaimu yang jahat; dan Dia mungkin menarik hukumanNya daripada musuhmu (Ams 24:18). Kamu sudah menurunkan darjatmu kepada lebih rendah daripada musuhmu, dan merosot kepada tahap renungan hati yang penuh dengan fikiran membunuh. Allah Yang Maha Kudus dan Yang Maha Benar tidak boleh membiarkan sikap itu terus berlangsung.

Membalas dendam ialah dosa; hak pembalasan itu kepunyaan Allah (Rom 12:17-21). Tetapi makna amsal ini tidak sampai setakat itu sahaja. Sang Pengkhutbah amsal ini tidak akan melepaskan kamu hanya kerana kamu tidak berusaha untuk mendatangkan celaka kepada musuhmu. Hikmah Allah lebih luas daripada itu (Maz 119:96). Sasaran Salomo ialah fikiran hasad dengkimu yang suka melihat musuhmu di dalam kesakitan atau kesusahan (Ams 24:9).

Adakah kamu bersukacita – di dalam fikiranmu – apabila musuhmu jatuh? Adakah kamu gembira – di dalam hatimu secara rahsia – apabila musuhmu tersandung? Adakah kamu mengalami suatu perasaan kepuasan dan kesenangan ketika mendapat khabar akan kemalangannya? Inilah dosa-dosa yang dikutuk Salomo. Wahai pembaca sekalian, cahaya kemuliaan firman Allah bersinar sampai menusuk hati – iaitu sampai kepada perasaan batiniahmu itu.

Bagaimanakah musuh-musuh jatuh dan tersandung? Mereka boleh jatuh dan tersandung ke dalam dosa. Ini tidak memberi hak kepada kamu untuk bersuka, kerana kasih itu “tidak bersukacita di dalam ketidakadilan, tetapi bersukacita di dalam kebenaran” (1Kor 13:6). Jika kamu mengambil berat akan seseorang, meskipun hanya pada kadar yang paling rendah, kamu tidak akan bergembira untuk mendengar penglibatannya di dalam dosa, sebab kamu patut ada keinginan untuk semua manusia hidup dengan benar.

Musuh-musuh boleh jatuh dan tersandung ke dalam masalah-masalah duniawi. Mereka mungkin kehilangan kerja, bercerai ada masalah dengan anak-anak mereka, dihinggapi penyakit, ditimpa kemalangan jalan raya, hilang kucing belaannya, atau mendapat selsema. Orang jahat senyum secara rahsia di dalam hatinya yang berniat jahat itu, sebab ada kurang peristiwa yang lebih manis di dalam hati rosaknya daripada melihat musuhnya ditimpa celaka.

Ada cara yang betul untuk membalas musuhmu dengan kudus. Adakah kamu siap untuk mendengar rahsia hikmah yang berilham? Layanilah musuhmu dengan kasih dan kemurahan, bahkan di dalam fikiranmu, dan biarlah Tuhan berurusan dengannya (Ams 25:20-21; 20:22). Kamu membuktikan hati yang benar; Tuhan dijadikan senang atas tindakanmu; dan musuhmu itu akan menghadap Bapamu yang marah.

Kamu harus membahagikan firman kebenaran dengan betul (2Tim 2:15). Kamu tidak harus secara keperempuanan memakai amsal ini kepada musuh Allah. Musuh yang dibicarakan di sini ialah musuh yang telah menyalahimu atau yang berniat membawa celaka kepadamu. Maklum dengan teliti bahawa yang sedang dinyatakan amsal ini ialah musuhmu. Musuhmu ini ialah orang yang menyalahimu atau yang melukaimu pada masa silam atau mempunyai suatu rancangan yang jahat bagi kamu pada masa kini.

Orang kudus tidak mengasihi musuh-musuh Allah; mereka tahu oleh arahan Tuhan dan oleh teladan untuk membenci musuh-musuhNya (Ams 11:10; 29:27; Kel 15:1-21; 2Taw 19:2; Ayb 22:19; Maz 15:4; 31:6; 58:10; 139:19-22; Wah 6:9-11; 18:20; 19:1-6). Mengasihi musuh Allah adalah berdosa, dan Allah akan menghakimimu bagi kemurahan dan kemesraan yang dihulurkan kamu kepada mereka yang Dia benci (2Taw 19:2; Yak 4:4; Wah 2:6,15).

Manusia secara semulajadi membenci musuh-musuh mereka. Kamu secara semulajadi tidak suka sesiapapun yang menyalahi, menghina, atau mengatasimu; pembalasan itu keinginanmu. Orang Farisi memutar-belit hukum Allah sebagai usaha untuk memperbenarkan kebencian jenis ini. Tetapi Tuhan Yesus memperbetulkan ajaran sesat mereka dengan menuntut kebudian terhadap musuh-musuh peribadi, supaya dapat mengenalpastikan mana anak Allah yang sejati (Mat 5:43-48).

Orang Farisi juga merosakkan hukum “mata ganti mata” di dalam hukum Allah supaya dipakai untuk kesalahan-kesalahan orang lain terhadap diri sendiri. Walaupun Allah menulisnya hanya untuk sistem pemerintahan sivil, mereka telah memakainya pula untuk memperbenarkan balas dendam terhadap musuh. Yesus sekali lagi memperbetulkan mereka dengan mengajar hikmah untuk memberi sebelah pipi lain jika seorang musuh menamparmu (Mat 5:38-42). Biarlah Allah benar!

Ayub, seorang yang sempurna, yang telah menolak kejahatan, iaitu orang yang dimegah-megahkan Allah kepada Syaitan, sungguh berhati-hati berkenaan musuh-musuhnya. Dia berkata bahawa dia layak untuk menerima hukuman Allah, “Jika aku bersukacita atas pembinasaan orang yang telah membenciku, atau telah meninggi-ninggikan diri apabila celaka menimpa dia: aku juga tidak mengizinkan mulutku untuk berdosa dengan mengucapkan kutuk kepada jiwanya” (Ayb 31:29-30). Betapa hebatnya orang ini!

Daud, orang yang mengejar hati Allah, telah menulis tentang musuh-musuhnya, “Tetapi bagi aku, apabila mereka telah jatuh sakit, pakaianku menjadi pakaian berkabung: aku merendahkan jiwaku dengan puasa; dan doaku kembali timbul dalam dadaku. Aku memperlakukan diriku seolah-olah dia merupakan sahabatku atau saudaraku: Aku tunduk berkeluh-kesah, seperti seorang yang meratap bagi ibunya.” (Maz 35:13-14; 2Sam 1:11-12,17). Namun begitu, musuh-musuh Daud menyerlahkan kejahatan yang besar kerana bersukacita pada kesusahan Daud (Maz 35:15-16).

Orang kudus yang paling baik pun ada musuh, sebab keluargamu, jiran-jiranmu, rakan sekerjamu, dan ahli segerejamu semua orang berdosa, dan dunia ini bukanlah sahabat kepada yang benar. Pertimbangkanlah kehidupanmu. Siapakah musuh-musuhmu? Pasangan kekasihmu pun mungkin menjadi musuhmu sekali sekala.

Adakah mana-mana rakan sekerjamu memprovokasi dirimu? Adakah mana-mana ahli gereja yang nampaknya membenci dirimu? Adakah mana-mana ahli keluarga kamu tidak mengendahkanmu dan menghina dirimu? Adakah mana-mana rakan di sekolah yang mempersendakan dirimu? Adakah mana-mana jiran mencerobohi batasan tanahmu? Adakah mana-mana orang upahanmu biadap terhadapmu? Adakah seorang bekas kawan memfitnah kamu tanpa apa-apa sebab? Cari dengan teliti. Kenalpastikan semua.

Bagaimanakah tindak balasmu? Walaupun mereka membencimu tanpa sebab, kamu harus mengasihi mereka. Mereka mungkin memfitnah dan mengumpat, tetapi kamu harus memberkati dan memuji mereka. Mereka mungkin tidak peduli atau mempersendakanmu, tetapi kamu harus menegur sapa dan memuji mereka. Mereka mungkin melukakanmu, tetapi kamu harus melakukan baik terhadap mereka. Jika mereka melakukan jahat terhadapmu, atasi kejahatan mereka itu dengan kebaikan (Ams 25:21-22; Kel 23:4-5; Mat 5:43-48; Rom 12:14,17-21; 1 Tes 5:15; 1Pet 3:9).

Jika kamu mengingini kemenangan rohani pada hari ini, supaya menyenangkan Bapamu dan menjadi sempurna seperti Dia, berdoalah untuk musuh-musuhmu itu. Perbuatan berdoa bagi mereka akan memeliharamu daripada melanggari amsal yang kudus ini. Jika kamu melakukannya secara ikhlas, kamu akan diberkati dengan damai dan sukacita, dan Roh akan dibebaskan ke dalam hidupmu untuk memberi kekuatan dan menambahkan buah roh melalui manusia barumu itu. Kamu mendukakan dan memadamkan Roh oleh fikiran bencimu atau fikiran jahatmu terhadap musuh-musuh peribadimu (Efe 4:30; 1Tes 5:19; Yak 3:14-17).

Wahai pembaca kekasih yang terpilih oleh Allah, cuba fikir seandainya Bapa tidak mengasihimu melalui Yesus Kristus, pada waktu kamu masih musuhNya (Rom 5:6-10). Bagaimana pula sekiranya Bapa menyimpan kasihNya hanya untuk orang yang mengasihi Dia? Kamu pastilah tercicir. Bolehkah kamu mengikuti teladan Allah? Dia akan memberkatimu kerana itu.

Yesus Kristus menunjukkan kemurahan kepada musuh-musuh peribadiNya dan Dia berperikemanusiaan terhadap musuh-musuhNya berkenaan kebinasaan Yerusalem yang melibatkan kanak-kanak juga (Luk 19:41-44). Dia juga menunjukkan belas kasihan dengan berdoa kepada BapaNya untuk mengampuni askar-askar yang berjudi untuk pakaianNya di bawah kayu salib (Luk 23:34). Betapa kudusnya teladan ini yang harus diikuti!

Diaken Stefanus yang mulia, sementara batu berdebak-debuk mengena tubuhnya, dan sementara dapat melihat Tuhan Yesus di hadapanNya, berdoa kepada Allah untuk mengampuni orang Yahudi kerana merejamnya dengan batu sampai mati (Kis 7:55-60). Di sinilah seorang diaken yang penuh dengan Roh Kudus dan yang menjalani hidup sepadan dengan itu di bawah ujian paling keras yang mungkin. Semua ini merupakan teladan-teladan kudus bagimu: berfikirlah, berdoalah, bertuturlah, dan bertindaklah seperti mereka pada hari ini.