24:18
Supaya jangan TUHAN melihat itu, dan ia tidak menyenangkan hatinya, lalu dia memalingkan murkanya daripada orang itu.
Allah melihat cara kamu memperlakukan musuh-musuhmu. Jika kamu bergembira apabila perkara yang jahat menimpanya, Dia akan membantu mereka dan kemungkinan menghukummu pula. Allah melindungi anak-anakNya dengan menghukum musuh-musuh mereka, tetapi Dia akan menghentikan hukuman itu jikalau Dia nampak kamu bermegah-megah kerana itu.
Yesus Kristus mengajar supaya mengasihi musuhmu (Mat 5:43-48), tetapi peraturan ini telah diajar dari awal-awal lagi, termasuk amsal ini dan di dalam amsal yang lain (Kel 23:4-5; Ayb 31:29-30; Ams 25:21-22). Jika hidupmu menyenangkan Allah, Dia akan mengendalikan musuh-musuh dengan caraNya tersendiri (Ams 16:7; Rom 12:19-21). Tetapi jika kamu bersukacita atas kemalangan mereka, Dia akan mengambil hati dan menarik hukumanNya itu.
Salomo, dengan ilham ilahi telah menulis Amsal untuk membangunkan anak lelaki dan rakyatnya supaya memiliki hati yang hebat – mulia dan penuh nilai-nilai murni dalam fikiran, pertuturan dan perlakuan. Di sinilah salah satu kunci kepada kehebatan sebegini: kamu tidak harus bermegah tentang malang musuh-musuh peribadimu. Ini menuntut keunggulan akhlak yang paling tinggi, yang dimiliki hanya orang yang luar biasa, iaitu putera-putera yang benar.
Untuk mendapat pemahaman yang penuh, ayat ini ialah bahagian yang kedua untuk keseluruhan amsal ini. Bahagian pertama amsal ini berbunyi: “Janganlah bersukacita apabila musuhmu jatuh, dan jangan biar hatimu bergembira apabila dia tersandung” (Ams 24:17). Seterusnya, bahagian yang kedua berbunyi, “Supaya jangan TUHAN melihat itu, dan ia tidak menyenangkan hatinya, lalu dia memalingkan murkanya daripada orang itu.” (Ams 24:18).
Daud telah mengajar Salomo ciri akhlak ajaib ini yang mengasihi musuh. “Ada saksi palsu yang bangkit; mereka telah membuat tuduhan terhadap aku tentang perkara-perkara yang aku tidak ketahui. Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sampai menjarah jiwaku. Tetapi bagi aku, apabila mereka telah jatuh sakit, pakaianku menjadi pakaian berkabung: aku merendahkan jiwaku dengan puasa; dan doaku kembali timbul dalam dadaku. Aku memperlakukan diriku seolah-olah dia merupakan sahabatku atau saudaraku: Aku tunduk berkeluh-kesah, seperti seorang yang meratap bagi ibunya. Tetapi dalam kesusahanku pula mereka bersukacita ...” (Maz 35:11-15).
Raja Saul itu musuh Daud untuk beberapa tahun. Dia cuba membunuh Daud beberapa kali dan menyebabkan banyak kesulitan di dalam hidup Daud. Namun, Daud berusaha dengan sedaya upaya untuk melayaninya dengan baik. Dia mengampuni Saul sepenuh-penuhnya akan keradangan dan usaha Saul untuk membunuhnya. Daud melepaskan peluang membunuh Saul beberapa kali walaupun dapat menamatkan nyawa Saul dengan mudah sekali, dan dia sungguh-sungguh meratap dan memuji-muji Saul apabila Saul akhirnya mati di medan peperangan (2Sam 1:17-27).
Tetapi Allah sendiri ialah teladan yang hebat setiap hari. Bagaimanakah Dia teladan? Dia menyampaikan sinaran matahari dan/atau hujan ke atas kedua-dua sahabat-sahabatNya dan musuh-musuhNya. Kamu menunjukkan akhlak Allah apabila kamu belajar untuk mengasihi musuh-musuhmu dan menunjukkan mereka kemurahan, yang sama sekali bertentangan dengan hati jahat manusia secara semulajadi. Fikiran dan perlakuan sebegini menyerlahkan dirimu sebagai benar-benar anak Allah (Mat 5:43-48).
Allah membenci perbuatan kejam bermegah-megah atas bencana musuh-musuhmu (Ams 17:5; Zak 1:15). Sejarah Wasiat Lama yang berilham itu menunjukkan beberapa kes di mana negara-negara pun dihukum kerana bersuka dalam sengsara atau menyengsarakan negara-negara yang lain (Maz 137:7-9; Hak 16:25-30; Mik 7:10; Yes 10:5-15; Lam 4:21-22; Yeh 26:2-3; Hab 1:5-11; etc.).
Namun sebegitu, membenci musuh-musuh Allah adalah berbeza. Jika kamu tidak terlibat secara peribadi, kamu harus membenci musuh-musuh Allah. Daud telah menulis ini tentang musuh-musuh Allah, “Tidakkah aku membenci mereka yang membencimu, YA TUHAN? Dan aku tidak berduka dengan mereka yang bangkit menentang engkau? Aku benci mereka dengan kebencian sempurna: Aku kira mereka sebagai musuh-musuhku” (Maz 139:21-22). Raja Yehosafat yang hebat itu ditegur oleh seorang nabi kerana mengasihi musuh-musuh Allah (2Taw 19:1-3).
Bagaimanakah prestasi dirimu kalau menyukat kemuliaan hati dan kebaikan diri berasaskan amsal ini? Adakah kamu menyerupai hati Allah seperti hati Daud? Adakah kamu berdukacita ketika melihat musuh-musuhmu dalam kesusahan? Apakah sifat yang seiras di antara Yesus dari Nazaret dan diaken Stefanus? Yesus berdoa bagi mereka yang menyalibkanNya dengan berkata, “Bapa, ampunilah mereka; sebab mereka tidak tahu apa yang diperlakukan mereka” (Luk 23:34). Stefanus berdoa bagi mereka yang melemparinya dengan batu, “Tuhan, janganlah perhitungkan dosa ini kepada mereka” (Kis 7:60).
Jika kamu ingin menjadi benar dan berhikmah untuk menyenangkan Allah syurgawi Yang Berbahagia, tugas dan keistimewaan bagi dirimu sudah ternyata (Rom 12:17-21). Kenalpastikan musuh-musuhmu dan doakan bagi mereka sekarang! Siapkanlah di dalam hatimu apa yang akan dilakukanmu untuk membantu mereka, jika kamu mendapati mereka berada dalam keperluan. Bertekad dalam hatimu untuk menegur sapa mereka dengan sungguh-sungguh, jika kamu bertemu dengan mereka. Inilah sikap Allah, dan inilah sikap bagi semua yang memang anak-anakNya.