Amsal · Proverbs

4:27
Jangan belok ke kanan atau ke kiri: keluarkan kakimu daripada kejahatan.

Jangan merayau-rayau dalam kehidupan. Sesudah kamu tahu jalan mana yang harus dipakai, jangan menyimpang dari arah jalan itu. Jauhilah semua benda yang salah atau yang menggoda. Tetapkanlah matamu kepada hal yang menyenangkan Allah di setiap bahagian hidup, dan janganlah diserongkan oleh apa-apapun. Salomo dengan sungguh-sungguh telah memberitahu anaknya bagaimana untuk beroleh kehidupan yang makmur dan yang berjaya di hadapan Allah dan manusia (Ams 4:20-27).

Jalan hikmah – jalan kebenaran – lebuhraya kekudusan – lorong kesucian – membawa lurus ke hadapan (Ams 4:25-27). Amaran ini adalah jelas! Janganlah menyimpang dari jalan raya ke paya dosa pinggir jalan yang di sebelah kiri atau kanan. Dan penyelesaiannya memang mudah! Kalau-kalau dirimu menyimpang jatuh ke dalam paya itu, sentaklah kakimu dari semak itu dan lompatlah balik ke jalan raya.

Allah Yang Berbahagia telah menetapkan satu jalan untuk dipakai setiap orang kudus. Ia dinyatakan jelas dengan tanda-tanda terang dan tanda-tanda amaran dalam Alkitab (Maz 119:105). Dan Dia telah mengutus guru-guru untuk memastikan supaya kamu tidak dengan salah membaca peta jalan itu. Dia telah berjanji bahawa mereka akan membantu dengan berkata, “Inilah jalannya, kalian berjalanlah di dalamnya, ketika kalian membelok kanan dan ketika kalian membelok kiri” (Yes 30:21).

Salomo mengajar anaknya untuk menetapkan matanya ke depan. Dia berkata, “Biar matamu memandang terus ke depan, dan biar kelopak matamu memandang lurus ke hadapanmu.” (Amsal 4:25). Dunia ini menghidangkan banyak godaan supaya kamu meninggalkan jalan raya lalu mempertaruhkan dirimu kepada paya nafsu dan paya dosa. Tarikan dan undangannya sungguh menyesatkan dan menambat hati. Kamu tidak boleh memandang kepadanya sedikit pun.

Dia juga memberitahu anaknya supaya menimbang dengan teliti ke mana dia sedang berjalan, dan hanya memakai jalan yang adanya sebab-sebab yang kukuh untuk mengikutinya. Dia berkata, “Renungi jalan kakimu, dan biar semua jalanmu dimantapkan” (Ams 4:26). Ia tugas setiap orang Kristian untuk menguji segala perbuatannya supaya berasaskan firman Allah dan untuk menolak apa-apa pendapat atau aktiviti yang bertentangan dengannya (Yes 8:20; 1Tes 5:21).

Kebanyakan orang tidak suka kehidupan yang terkongkong (Mat 7:13). Mereka ingin berbuat sesuka hati; mereka ingin memakai jalan mereka sendiri. Mereka ingin merasakan kenikmatan dosa. Papan iklan paya pinggir jalan itu terlalu menarik! Hanya segelintir orang yang ada serupa dengan Musa yang telah melepaskan segala keistimewaan duniawi untuk tetap memakai jalan ke syurga dengan umat Allah (Ibr 11:24-26).

Kebanyakan orang geram terhadap doktrin yang kukuh dan terhadap guru-guru yang memberitahu mereka apa yang patut dibuat dan apa yang tidak patut dibuat mereka (2Tim 4:3-4). Mereka mengingini penghibur-penghibur yang memuaskan gatal-gatal telinga mereka dengan cerita yang enak. Mereka sudah jemu dengan jalan yang lurus dan yang sempit (Mat 7:14). Maka, mereka mencari guru-guru yang akan memimpin mereka ke paya Kristian duniawi (Yes 30:8-11). Jenis orang demikian memang banyak pada hari ini dan sungguh mudah untuk ditemui. Untuk menemui pengkhutbah yang sejati memerlukan banyak usaha untuk mencarinya, tetapi hasilnya memang berbaloi. Kaki yang indah dan harta karun mereka akan membantu dirimu (Rom 10:15; 2 Kor 4:1-7).

TUHAN telah memberi firman – ia mutlak dan muktamad. Variasi firman harus dihakimi sekeras-kerasnya. Tanyalah Kain, yang ingat bahawa Allah akan berkenan kepada korbannya yang bersih itu (Kej 4:1-5). Tanyalah Nadab dan Abihu, yang cuba memakai sembahyang gaya kontemporari (Ima 10:1-2). Tanyalah Musa, yang ingat bahawa perbuatan memukul batu itu cukup mirip dengan arahan Allah (Bil 20:7-13). Tanyalah Saul, yang menyenangkan rakyat dengan inovasi baru dalam sembahyang (1Sam 15:22-26). Tanyalah Daud tentang pemindahan tabut perjanjian Allah dengan memakai kereta lembu (2Sam 6:1-9; 1Taw 15:13-15). Tanyalah Uzia, yang ingat bahawa dia ada panggilan pelayanan (2Taw 26:16-21).

TUHAN telah membuat keputusan berkenaan kebanyakan aspek hidupmu. Jangan sesekalipun berfikir untuk memandang atau memusing ke jalan yang lain. Percayalah Dia dan percayalah firmanNya! Tolaklah fikiran-fikiran kamu sendiri (Ams 3:5-6). Kasihilah perintah-perintahnya berkenaan semua hal, dan bencilah segala pendapat-pendapat yang lain (Maz 119:128). Jangan sesekalipun berfikir untuk menambahkan sesuatu amalan agama dunia kepadanya (Ula 12:29-32). Ingat bahawa Dia menganggap dunia dengan sahabat-sahabatnya sebagai musuhNya (Yak 4:4).

Jika kamu sudah berbuat bodoh dengan membelok ke arah dunia dan memasuki paya dosa, sama ada dalam tabiat peribadi ataupun dalam nafsu atau dalam sembahyang berjemaah, hanya ada satu jalan penyelesaian. Kamu sekarang berada di jemaah orang mati, dan kamu mesti menyelamatkan dirimu sendiri (Ams 21:16). Bertaubatlah! Keluarlah dirimu daripada dosamu dan berbalik kepada jalan kebenaran sekarang. Bertaubatlah! Potong keluar tabiat-tabiatmu yang berdosa. Bertaubatlah! Tinggalkan gerejamu yang berkompromi itu. Bertaubatlah! Keluarkan kakimu daripada kejahatan.

TUHAN telah memberi firman – ia mutlak dan muktamad. Variasi firman harus dihakimi sekeras-kerasnya. Tetapi pertaubatan boleh menyelamatkan dirimu. Tanyalah Daud, yang telah diampuni penzinaan dan pembunuhan (2Sam 12:13). Tanyalah Manasye, yang telah diampuni dosa yang paling kejam (2Taw 33:12-13). Tanyalah Ninewe, yang telah menyelamatkan kota mereka daripada pembinasaan mutlak (Yunus 3:10). Tanyalah gereja Korintus, yang telah menyelamatkan nyawa mereka dengan pertaubatan yang salih (2Kor 7:9-11).

Jalan hikmah – jalan kebenaran – adalah lurus. Jangan pusing sedikit pun. Jangan mengubah-suaikan perintah-perintah Allah sedikit pun. Jangan sesekalipun memikir bahawa zaman baru ini membenarkan pemandangan Alkitab yang baru. Jangan mendengar riuh-rendah semua pihak yang berusaha untuk lebih bertolak-ansur kepada inovasi doktrin dan inovasi amalan. Jangan belok ke kanan atau ke kiri!