5:2
Supaya kamu dapat mengambil tahu akan budi bicara, dan supaya bibirmu dapat mengekalkan pengetahuan.
Sudahkah kamu tahu bagaimana untuk menyelamatkan dirimu daripada masalah seksual? Sudahkah kamu tahu secukupnya untuk mengajar keselamatan seksual kepada orang lain? Raja Salomo mengajar anak-anaknya kerap kali tentang dosa-dosa seksual, godaannya yang sangat kuat, dan kesan-kesannya yang teruk sekali (Ams 2:16-19; 5:1-23; 6:20-35; 7:1-27; 9:13-18; 22:14; 23:27-28; 30:19-20; 31:3; Pkh 7:26). Ambil perhatian. Berhati-hati, hai pembaca.
Pertimbangkan konteks. Salomo meminta anak lelakinya untuk mendengar dengan rendah hati hikmahnya dan pemahamannya yang kebapaan itu (Ams 5:1), dan dia memanggil semua anaknya supaya menerima arahannya dan tidak berpaling daripadanya (Ams 5:7). Apakah ketakutannya yang paling besar dalam kehidupan mereka? Perempuan sundal! Salomo mengenal ucapan perempuan yang mengampu itu (Ams 5:3), kesan-kesan yang sungguh pedih kerana menyentuh perempuan tersebut (Ams 5:4-5), dan bagaimana perempuan itu dengan mudah dapat memperdaya dan menggoda kebanyakan orang (Ams 5:6).
Perbuatan berkendak dan perzinaan ialah dosa-dosa yang hampir dilupai pada zaman kini. Ia diglamorkan dan digalakkan di televisyen, gambar wayang, buku, majalah, dan Internet. Banyak bintang-bintang masyarakat – sama ada bintang politik, bintang pelakon, atau bintang olahragawan – menjalani kehidupan seksual yang berdosa yang dianggap kebanyakan orang sebagai kehidupan yang bahagia. Tetapi Alkitab mengutuk perbuatan berkendak dan perzinaan, dan ia memanggil anak-anak Allah kepada kekudusan seksual (1Kor 6:12-20; 7:1-5; 1Tes 4:1-8; Ibr 13:4).
Seks bersahaja hanya bersahaja dalam pemikiran bebal dua orang pendosa yang sedang melakukannya. Masalah yang pasti terturut tidak bersahaja: ia memedihkan, kekal, dan merosakkan. Banyak kesannya – kamu akan menuai satu atau lebih daripada hasil-hasil ini: kecemburuan, penyakit sifilis, penceraian, penyakit herpes, reputasi yang rosak, penyakit gonorrhea, perasaan ketakutan pasangan tidak setia, penyakit HIV, disfungsi seksual, ayah atau suami yang membalas dendam, kutu di bulu ari-ari, isteri yang berang, penyakit HPV, kehilangan keperawanan, perasaan serba salah, kehamilan yang tidak diingini, malu, dan sebagainya.
Amsal ini ada pelajaran yang cukup jelas dengan dua bahagian. Pertama, arahan yang berhikmah daripada Allah dan ibubapa adalah untuk menyelamatkanmu daripada dosa dan kepedihan seksual. Kedua, arahan yang berhikmah daripada Allah dan ibubapa adalah untuk membantumu menyelamatkan orang lain daripada dosa seksual dan kepedihan. Sudahkah kamu belajar secukupnya untuk menyelamatkan dirimu sendiri? Sudahkah kamu belajar secukupnya untuk menyelamatkan orang lain? Adakah hikmah memimpin kehidupanmu dan menjadi sumber ucapanmu bagi orang lain? Masa depanmu dan masa depan orang lain bergantung kepadanya.
Allah sudah menyatakan hikmah yang ajaib kepada manusia (Ula 29:29). Ia tugasmu untuk mendengar dan memakai kata-kata itu kepada kehidupanmu sendiri (Maz 119:11,128). Dan itu tugasmu untuk mendengar dan memakai kata-kata itu kepada kehidupan orang lain (Ams 22:17-21; Yak 5:19-20). Kesinambungan kebenaran di bumi dan kemakmuran dan kejayaan anak-anak Allah bergantung kepada adanya hikmah seksual pada dirimu dan juga mengkomunikasikan itu kepada anak-anakmu dan orang lain untuk melindungi dan memakmurkan mereka.
Jika kamu seorang ibubapa, sudahkah kamu mengajar dan memberi amaran kepada anak-anakmu? Adakah kamu mengawasi kehidupan mereka dengan secukupnya untuk memelihara mereka daripada dosa-dosa seksual di zaman yang adanya kemudahan komunikasi dan pengangkutan? Jika kamu seorang pastor, adakah kamu berkhutbah menentang itu, seperti yang Salomo lakukan di dalam kitab Amsal? Jika kamu seorang pakcik atau seorang datuk, kamu juga boleh melibatkan diri untuk membantu isi keluargamu mengelak dosa-dosa seksual dan kesan-kesan celaka yang turut menyertainya.
Bagi semua orang, sudahkah kamu menerima arahan dan amaran seksual ibubapa? Pastor? Penasihat? Alkitab? Kebanyakan orang tidak mengajarnya pada zaman kini, tetapi kamu dapat mencari banyak amaran yang keras di dalam Alkitab. Adakah kamu tahu jawapan-jawapan Allah bagi soal-soal seksual? Sudahkah kamu siap untuk memberi jawapan bagi imanmu (Ams 22:17-21)? Bersiap sedia, sebab kamu akan pasti bertembung dengan orang yang memerlukan jawapan yang jelas, yang muktamad, dan yang meyakinkan.