Amsal · Proverbs

17:24
Hikmah berada di depan dia yang ada pemahaman; tetapi mata si bebal ada pada hujung bumi.

Kamu pernah bertemu dengan orang bebal. Mereka melompat dari suatu perkara kepada perkara yang lain. Mereka teruja dengan ini dan kemudian dengan itu. Mereka selalu mencari kebahagiaan dan kejayaan, yang tak dapat mereka temui. Mereka suka benda baru. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada hal-hal yang penting. Perhatian mereka mudah dialihkan daripada tugas mereka bagaikan kanak-kanak. Mereka mencari penyelesaian di tempat-tempat yang aneh. Mereka berkhayalan. Mereka banyak bercakap. Mereka tidak berpuas hati. Mereka mudah berubah-ubah, tidak tetap, dan mudah dikelirukan.

Tetapi seorang yang berhikmah sangat berbeza. Dia memiliki pemahaman sebagai panduan dan pengaturan tingkah-lakunya. Dia tertumpu kepada amalan perintah-perintah Allah didalam setiap aspek hidup. Dia tidak melupakan apa yang telah diajarkan kepadanya dan dia juga tidak jahil didalam pengetahuan ayat-ayat Alkitab. Dia menyelidiki Alkitab untuk mencari pengetahuan dan hikmah. Dan dia menguji segala perkara dengannya (KPR 17:11; 1Tes 5:21). Dia berpuas hati didalam kehidupan dan berkeyakinan didalam hampir semua dugaan.

Orang bebal kerap kali menjadi pencemuh [orang yang mengeluarkan kata-kata untuk menghina] – geram terhadap pembetulan dan arahan – jadi mereka kurang belajar (Ams 14:6). Seorang bebal begitu gembira dengan kebebalan sehingga dia mengelak hikmah dan pemahaman (Ams 15:14). Seorang bebal begitu malas sehingga dia tidak mengerahkan tenaga yang diperlukan untuk mencari hikmah. Dia lebih suka meleterkan pendapatnya sendiri (Ams 18:1-2). Orang bebal kerap kali orang yang angkuh. Keangkuhan menjadikan mereka tidak mungkin untuk mengenalpasti dan belajar hikmah (Ams 26:12).

Orang berhikmah tidak berkhayalan atau mengagak-agak. Mereka lebih suka belajar daripada dikejutkan (Maz 143:5). Mereka lebih suka berfikir dalam-dalam daripada berkhayal; lebih suka arahan daripada berekreasi; lebih suka penelitian diri daripada kepuasan nafsu diri. Mereka inginkan kebenaran dan mereka menerimanya sebagai perkataan-perkataan muktamad Allah didalam Alkitab (Ams 22:17-21). Mereka tidak pedulikan pendapat-pendapat manusia (Maz 119:98-100). Mereka tidak perlu mencari hikmah, sebab mereka sudah mengenalinya (Maz 14:6). Mereka telah menyembunyikannya didalam hati mereka (Maz 119:11, 128), dan mereka merenungkannya siang dan malam (Maz 1:3).

Kamu sampai ke bumi tanpa mengenal apa-apa pun. Kamu berada di sini untuk tempoh yang singkat, dan seluruh tugasmu adalah untuk takut kepada Allah dan memegang perintah-perintahNya (Peng 12:13-14). Dagingmu, iaitu, bahagian rosak dirimu yang berdosa, melihat dengan memakai nafsu mata (1Yoh 2:15-17). Syaitan dan dunia menghidangkan banyak perkara untuk diperlihatkan (Luk 4:5-7). Orang bebal berserah kepada nafsunya dan menyia-nyiakan hidup dengan mengejar khayalan. Tetapi Daud pula berdoa untuk diselamatkan daripada melihat hal yang sia-sia (Maz 119:37)!

Sungguh membuang masa memakai hidupmu untuk menginginkan sesuatu yang lebih baik, sedangkan kamu beroleh maju kepada sesuatu yang pahit, iaitu, maut! Kesalihan bersertakan kepuasan adalah keuntungan yang besar (1Tim 6:6). Kamu tidak boleh mengabaikan hukum ini untuk kehidupan yang berjaya. Kesalihan ialah hidup yang cermat dengan memperoleh hikmah sebagai matlamatmu (Ams 4:5-9; 8:17). Kepuasan ialah untuk menghargai Allah kerana menjadi sahabatmu dan percaya bahawa setiap perkara yang Dia bawa kedalam hidupmu adalah yang terbaik (Ibr 13:5-6). Tetapi orang bebal kena berkhayal sahaja!

Orang bebal selalu mencari peluang yang lebih baik dari dekat dan jauh. Mindanya adalah suatu penapis terbuka yang menerima banyak buih daripada khayalan yang sia-sia dan tidak menyimpan apa-apa yang bernilai. Solomo memberi amaran akan kesia-siaan dan kegeraman yang berhasil daripada keinginan yang merayau-rayau (Peng 6:9). Tetapi orang bebal lebih suka belajar politik Bangsa-bangsa Bersatu, mendengar nasihat mendidik anak yang karut daripada Ben Spock, mengamalkan yoga atau meneliti gaya hidup orang yang kaya dan terkenal di televisyen lebih daripada memakai firman Allah untuk keselamatan keluarganya.

Mantera orang bebal ialah, “Aku hidup dengan fikiran terbuka”. Fikirannya begitu terbuka sehingga apapun boleh melayang masuk dan hal yang bernilai pula tidak melekat padanya. Dunia menghantar jajaran aliran iklan, minat-minat terkini, pendapat umum, pengaruh rakan sebaya, soalan-soalan dan pengaruh-pengaruh lain yang membentuk fikiran orang bebal kepada keinginan Syaitan. Syaitan hanya tersengih-sengih dengan keseronokan jahat akan mantera bodoh orang bebal yang telah membuka pintu masuk jiwanya kepada bapa segala dusta. Tutupilah mindamu dengan firman Allah (Maz 119:128)!

Ada matlamat yang penting untuk hidupmu dan ada pula kesia-siaan hidup yang bodoh. Pengetahuan lebih baik daripada kejahilan, hikmah lebih baik daripada kebebalan, kebaikan lebih baik daripada kejahatan, syurga lebih baik daripada neraka dan Allah lebih baik daripada manusia. Sementara Marta sibuk mengkhuatiri hal-hal yang mengalihkan perhatian, Maria mengenal satu-satunya yang diperlukan untuk kehidupan iaitu mendengar arahan daripada Tuhan Yesus Kristus (Luk 10:38-42). Para pembaca, Juruselamat mengolongkan kamu didalam golongan yang mana? Golongan Marta? Ataupun golongan Maria?

Bagi menyelamatkan kamu daripada dirimu sendiri dan keinginanmu yang merayau-rayau, Tuhan syurgawi telah memanggil, memperlengkapkan dan mengutus orang untuk menjadi pastor dan guru (Maz 68:18; Peng 12:8-14; Yer 3:15; Mal 2:7; Efe 4:8-12; 2Tim 3:16-17). Apakah tugas mereka? Bukanlah kerja sosial! Bukanlah pentadbiran! Bukanlah pernikahan dan pengebumian! Bukanlah bertapa di biara! Bukanlah kerja teologi yang hapak! Tugas mereka adalah untuk mengekalkan matamu didalam kepalamu dan hatimu didalam kebenaran: mereka akan menyempurnakan kamu supaya tidak diumbang-ambingkan seperti orang bebal (Efe 4:13-14; Kol 1:28-29).

Adakah kamu mencarikan seorang diantara hamba-hamba Allah ini? Bolehkah kamu tunduk kepada arahannya tentang keutamaan hidup yang benar? Jika kamu boleh, kamu akan dipenuhi pemahaman, dan hikmah langsung berada didepan kamu. Dia akan menolak soal-soal yang bodoh dan tak terpelajar, oleh sebab dia menginginkan kamu teguh didalam iman yang dulu telah disampaikan kepada orang-orang kudus. Dia akan bekerjasama dengan roh Allah untuk menyelaraskan setiap bayangan dan fikiranmu kepada firman Allah yang diilhamkan dan yang tidak boleh salah (2Kor 10:4-6).

Tetapi bolehkah kamu menumpukan perhatianmu kepada sejam dua jam arahannya setiap minggu? Kebanyakan orang tidak boleh. Yesus Kristus menggambarkan mereka sebagai pendengar pinggir jalan. Khutbah tidak mendapat tempat kekal didalam minda dan hati mereka yang tidak tersedia. Iblis mengambil keluar firman itu dengan cepat. Mereka meninggalkan setiap pertemuan ibadah dengan menjadi lebih jahil daripada dahulu. Benar! Sila bacakan (Luk 8:12,18)!

Oleh sebab orang bebal tidak suka penekanan kepada pembetulan, arahan, teguran, dan amaran, maka, mereka mencarikan guru-guru yang mengangkat-angkat. Mereka mahu guru-guru untuk menghiburkan mereka dengan dongeng dan membantu mereka untuk menyelam didalam takungan najis pendidikan dan bayangan-bayangan manusia (Yes 30:8-11; 1Tim 6:3-5; 20-21; 2Tim 4:3-4). Oh betapa sukanya mereka akan repek ini! Ajar kami lagi, mereka melaung! Tetapi Allah telah berjanji untuk memberi mereka penyesatan yang keras supaya percayakan dusta (2Tes 2:9-12; 2Tim 3:6-7).

Para pembaca, kamu ada pilihan. Dan pilihan itu serius. Kamu sedang membaca satu daripada banyak tawaran hikmah didalam Alkitab. Allah sekali lagi mendekati kamu dengan firmanNya untuk menjadikan kamu bijak. Ianya langsung didepan kamu jika kamu ada hati yang faham. Ia sangat menjijikan jika mata kamu lebih suka hujung bumi. Hapuskan apa-apapun peralihan perhatian dan carilah hikmah (Ams 4:7; 18:1).