Amsal · Proverbs

28:23
Dia yang menegur seseorang akan kemudian menemui lebih keredaan berbanding dengan dia yang mengampu dengan lidah.

Persahabatan sejati dan hal dihormati bergantung kepada sumbanganmu terhadap kehidupan orang lain. Orang yang mengampu orang lain mungkin ada kawan yang tidak sejati atau teman yang bebal, yang masing-masing suka pujian yang kosong. Tetapi orang yang memperbetul dan mengajar orang lain jalan Allah yang lebih sempurna akan mempunyai kawan yang setia dan yang bersyukur kerana keuntungan yang diperoleh jiwa dan kehidupan mereka.

Apakah maksudnya untuk menegur? Ia bermaksud untuk memperbetulkan atau menunjuk ajar orang lain bagi sesuatu perbuatan atau sesuatu sikap yang tidak boleh diterima. Ia memberitahu orang lain bahawa dia salah dan dia perlu berubah. Ia bermaksud untuk menunjukkan kesalahannya dan meluahkan kesungguhan tidak suka kepada itu.

Apakah maksudnya untuk mengampu? Ia bermaksud untuk memuji atau menyanjungi dengan tidak munasabah atau dengan tidak ikhlas. Ia memberitahu orang lain hal-hal yang positif semata-mata untuk menjadikan mereka gembira dan menginginkan persahabatanmu. Ia bermaksud bermain-main dengan kesia-siaan orang dan menggirangkan mereka tanpa apapun dasar yang wajar.

Amsal ini bukan bermaksud untuk membandingkan dua perkara yang baik dan mencadang bahawa salah satu lebih baik daripada yang lain. Teguran ialah sesuatu yang sangat baik dan kudus, sebab ia menghentikan dosa di dalam kehidupan orang lain dan menghalanya ke arah kebenaran. Mengampu ialah perbuatan yang jahat, sebab ia menghibur dan mendorong orang lain untuk terus memakai jalan dosa semata-mata untuk persahabatan yang tidak sejati (Maz 20:19; 29:5; Ayub 17:5; Maz 12:2-3).

Kasih sejati akan menegur dosa di dalam sahabat. Sebenarnya, mengasihi sahabat mewajibkanmu untuk menegurnya akan dosa. Jika kamu tidak menegurnya, kamu membencinya (Ima 19:17). Jika kamu mengasihi seseorang, kamu ingin menolong menyempurnakannya dengan menunjukkan hal-hal yang salah dalam kehidupannya (Ams 27:5-6; Rom 15:14; 1Tes 5:14). Kamu akan mempertaruhkan persahabatan itu untuk harapan membantunya.

Teguran yang sedang dipertimbangkan di sini berkenaan dengan pembetulan atau tunjuk ajar akan dosa, menurut sukatan firman Allah. Amsal ini langsung tidak berkenaan dengan hal-hal kebebasan, sebab baik Allah mahupun orang yang baik tidak peduli akan fikiranmu bagi hal-hal kebebasan. Tiada sesiapa pun yang berhak menghakimi apa yang tidak terkandung di dalam Alkitab. Pendapat peribadi itu hanya pendapat peribadi!

Pertimbangkan nilai teguran. Tiada kemajuan tanpa perubahan, dan tiada perubahan tanpa pembetulan, dan pembetulan bermakna menegur kerana melakukan sesuatu dengan salah. Bapa yang mendisiplinkan anak akan lebih dikasihi pada jangka masa panjang daripada bapa yang memanjakan anak; dan para olahragawan secara am menghargai jurulatih yang keras kerana memaksimakan potensi mereka.

Perbuatan mengampu, betapa riang, positif, atau berbunga-bunga pun, tidak akan membawa apa pun kebaikan kepada mana-mana pihak. Ia hanya membazir oksigen dunia dan menghasilkan pencemaran bunyi. Kamu menjadikan penerima kata-kata itu lebih teruk kerana pengalaman itu, tidak kira betapa manis bunyi kata-kata mengangkat pada saat ia disebut. Akhirnya, orang benar akan mengelak orang yang mengampu, sebab orang benar memang lebih suka teguran (Ams 27:9; Maz 141:5).

Lelaki dan perempuan yang hebat merupakan pokok kehidupan – mereka menyuburkan orang lain dengan hikmah (Ams 10:21; 11:30). Tetapi kebanyakan orang lain sungguh tidak bernilai, kerana mereka tidak pernah menyumbang kepada keuntungan atau penyempurnaan orang lain. Mereka terlalu takut untuk membantu. Mereka terlalu jahil untuk membantu. Mereka terlalu mementingkan diri sendiri untuk membantu. Daripada menjadi pokok kehidupan, mereka menjadi tiang pagar yang semakin hari semakin reput!

Nilai dan hayat kehidupan gereja bergantung kepada amalan amsal ini. Ada dua manfaat yang besar. Jika semua ahli jemaah memenuhi peranan mereka untuk menegur satu sama lain bagi dosa, maka gerejaakan bertumbuh di dalam rahmat dan kekudusan (Rom 15:14; Efe 4:16; 1Tes 5:14; Ibr 3:12-13; 10:24-25). Gereja akan membesar dalam kasih dan hormat yang sejati bagi satu sama lain untuk manfaat yang diperoleh daripada teguran-teguran yang berhikmah dan yang salih. Berilah Allah kemuliaan!

Kebanyakan gereja hanyalah sedikit lebih daripada kelab-kelab sosial yang cetek. Sesudah suatu sesi singkat kebaktian yang adanya bentuk kesalihan, yang mereka panggil kononnya sebagai ibadah, mereka melibatkan diri dalam borak-borak kosong dan gurau senda yang tidak bermakna. Selepas itu mereka balik ke rumah lalu mengumpat dan memfitnah akan satu sama yang lain. Biarlah Allah melarangkannya! Mereka harus dengan serius, tenang dan terkawal mengakui kesilapan mereka kepada satu sama lain, sementara menggesa satu sama lain untuk menjadi lebih salih, dan menegur apa pun dosa (Gal 6:1; Efe 4:29; Yak 5:16, 19-20).

Mengapakah kebanyakan orang Kristian tidak memperbetul atau menegur sesiapa pun untuk menuruti kesalihan? Sebab mereka menolak kebenaran akan hikmah ini! Mereka menganggap cara mendapat dan mengekalkan sahabat adalah dengan mengampu, perbualan yang selesa, dan borak bebal. Mereka takut kehilangan kawan dan keredaan kawan – ini sungguh bertentangan dengan hikmah Allah – oleh itu, mereka tidak menegur orang lain bagi dosa.

Apakah ganjaran untuk menegur orang lain? Allah senang hati kerana kamu sudah memenuhi perananmu dan telah menuruti arahanNya, dan orang yang kamu tegur itu akan mengasihimu kerana berbuat demikian (Ams 9:7-9). Walau bagaimanapun, dia tidak akan mengasihimu pada saat kamu menegurnya! Bagi hal ini kamu harus bersiap sedia. Ingatlah amsal ini. Ia menyatakan bahawa dia akan mengasihimu “kemudian.” Kanak-kanak akan mentaati didikan yang tegas sewaktu mereka dewasa, walaupun mungkin tidak pada minggu itu (Ams 22:15; Ibr 12:11)!

Tuhan Yesus Kristus, yakni teladan yang paling unggul, selalu memperbetul, menegur, dan mengarahkan orang yang ditemui di dalam kehidupanNya, baik murid mahupun musuh. Dan Paulus melakukan perkara yang sama juga, dan memakai kehidupannya untuk memperbetul dan menegur dosa yang ditemuinya dalam kehidupan orang lain. Lelaki dan perempuan salih mengasihi kedua-dua orang ini, kerana mereka menghargai usaha-usaha salih Yesus dan Paulus untuk menyempurnakan kehidupan mereka.

Jika seseorang insaf dengan wajar tentang Hari Penghakiman yang menjelang, maka masa akan kesuntukan bagi apa pun perkara yang lain kecuali untuk menyempurnakan orang lain dengan teguran dan arahan yang berhikmah. Sebab ketika kamu berdiri di hadapan Raja segala raja, kamu akan sungguh harap orang lain telah lebih menegurmu, dan orang lain akan sungguh harap kamu telah lebih menegur mereka. Buat apa kamu menjadikannya Hari Penyesalan besar? Dengan lemah-lembut dan dengan berhikmah tegurlah dosa di mana jua kamu melihatnya pada hari ini juga.