Amsal · Proverbs

5:23
Dia akan mati dengan tanpa arahan; dan dalam kehebatan kebebalannya itu dia akan menyimpang.

Apakah yang akan terjadi kepada kaum lelaki yang berfoya-foya dengan pelacur? Mereka akan dihukum dan mati dengan keaiban. Ada cara yang baik dan cara yang buruk untuk mati, tetapi untuk mengakhiri kehidupan berzina ialah salah satu cara yang paling teruk.

Bab lima Amsal memberi amaran tentang kaum pelacur – perempuan yang bersetubuh di luar nikah (Ams 5:1-14). Salomo mahu menyelamatkan anak lelakinya daripada perbuatan berkendak dan berzina. Rawatan hikmah adalah untuk bersukacita dalam tubuh dan asmara cinta isterimu sendiri (Ams 5:15-19), sebab Allah melihat dan menghakimi dosa-dosa seksual (Ams 5:20-21), dan ketagihan seksual akan membinasakan orang bebal (Ams 5:22).

Mengapakah Salomo memberi amaran dengan sebegitu kerap tentang para pelacur? Mereka merupakan ancaman besar kepada kaum lelaki, yang oleh kemudaan dan hormon-hormon menjadi rentan kepada mereka. Generasi ini menjadikannya lebih teruk melalui seks bersahaja, perempuan sundal, wayang dan muzik yang gasang, kawalan kehamilan, pakaian yang tidak senonoh, pornografi, renang campur jantina, sekolah campur jantina, gereja badaniah, tiada ancaman sivil, kemudahan gugur anak, gim campur jantina, dating yang tidak bercaperon, pejabat campur jantina, mesej teks yang berahi, dan keibubapaan yang lemah.

Lelaki di sini telah diberi arahan (Ams 5:12-14). Dia diajar kerap kali dan diajar dengan baik oleh ibubapa dan pastor untuk mengelak perbuatan berkendak (1Tes 4:3-8). Dia telah memilih kehidupan orang munafik dengan menghadiri gereja tetapi mengizinkan dirinya untuk mengambil bahagian dalam kegiatan berkendak. Akhirnya, sesudah dosa teruk ini membunuh jiwanya dan merosakkan kehidupannya, dia akan mati tanpa dimanfaatkan arahan yang telah diberi kepadanya. Dia telah menolak nasihat baik itu lalu membinasakan dirinya dengan seks.

Dosa-dosa seksual memberi kenikmatan untuk seketika, tetapi ia musim yang sungguh singkat (Ibr 11:25). Dan kemudian datanglah kebinasaan dan kepedihan (Ams 5:9-11). Tanyalah Simson! Nafsu daging mendambakan seks, yang merupakan keinginan badaniah lelaki untuk itu (1Kor 7:1-9). Nafsu mata mengkhayalkan perempuan, sama ada secara peribadi atau dalam gambar. Keangkuhan kehidupan memberitahu seseorang lelaki bahawa dia yang paling hebat dan layak untuk menerima yang paling hebat, maka dia memperbenarkan kebebasan-kebebasan seksual. Gabungan nafsu sungguh mematikan.

Mangsa yang sudah dibutakan itu tidak dapat melihat melebihi lengkung tubuh langsing, mata gasang, wajah berani, dan bibir yang diwarnakan bagi pembinasaan di depan (Ams 6:25; 7:13). Dia tidak dapat mendengar melebihi suara perempuan yang mengampu kepada suara ajaran guru-gurunya (Ams 5:3; 7:14-18). Nafsu-nafsunya telah berkomplot bersama-sama untuk mengambil perempuan itu untuk kenikmatan yang hebat. Dia mengejar perempuan itu seperti lembu jantan yang masuk pembantaian dan seperti burung ke dalam jerat (Ams 7:22-23); dia tidak dapat melihat bahawa dia sedang membunuh diri (Ams 2:18-19).

Apa yang dianggapnya sebagai kenikmatan menjadi pembinasaan! Seks di luar perkahwinan ialah dosa, dan Allah akan menghakiminya (Ibr 13:4). Sementara dosa ini jenis yang menagihkan (Ams 5:22), ia akan membawa seseorang lelaki memesong dari setiap jalan yang baik (Ams 5:23). Walaupun dia diajar dengan cukup teliti tentang kehidupan yang berjaya, ilusi kenikmatan akan membinasakan dirinya secarabatiniah dan secara lahiriah. Kebebalan besarnya dalam fikiran bahawa dia dapat melepaskan diri daripada kesan-kesannya akan merampas dirinya dari jalan-jalan hidup untuk selamanya.

Dengar! Kamu ingat dirimu ini siapa? Kamu tidak istimewa. Kamu telah dilahirkan, dan kamu akan mati, sama seperti orang lain. Allah tidak diperolok-olokkan. Jika kamu kekal degil dalam dosa ini, Dia dapat dan akan membutakan dirimu untuk melakukan hal-hal yang tidak pantas lalu merosakkan kehidupanmu. Dengarlah guru-gurumu. Bertaubatlah pada hari ini juga. Larilah bukan sahaja daripada para pelacur, tetapi juga berlari daripada apa-apa yang condong kepada mereka (Mat 5:27-30; Maz 101:3; Rom 13:14). Mungkin Allah akan berbelas kasihan. Mungkin ia terlambat.

Dapatkah seorang tawanan yang ketagihan dilepaskan? Boleh! Melalui kurniaan pertaubatan dari Allah (2Tim 2:25-26)! Tetapi pertaubatan haruslah jenis yang Allah nampak dan mengganjari – jenis yang salih yang menyucikan lelaki daripada dosa (2Kor 7:10-11). Daud bertaubat akan perzinaannya dan dosa membunuh, dan Allah secara percuma mengampuninya dan menyelamatkannya dengan mulia daripada pembinasaan.

Syukur kepada Allah! Yesus Kristus telah membekalkan penyucian bagi segala jenis dosa seksual (1Kor 6:9-11). Dan Allah mengutusNya untuk “mengisytiharkan kemerdekaan bagi orang tawanan, dan pembukaan penjara bagi mereka yang terbelenggu” (Yes 61:1). Para pendosa seksual dapat diampuni dan dibebaskan daripada belenggu dosa-dosa mereka. Tanyalah perempuan Samaria dan orang lain. Syukur kepada Allah!