7:2
Berpeganglah pada perintah-perintahku dan hidup; dan hukumku sebagai biji matamu.
Ayah yang baik memberi amaran kepada anak lelakinya tentang perempuan. Salomo memberi amaran kepada anak lelakinya di sini (Ams 7:6-27), dan dia menyuruh anak lelakinya untuk mengingat nasihatnya dan menghargai itu dengan setinggi-tingginya. Perempuan lacur melukakan lebih banyak lelaki muda daripada apa pun faktor yang lain (Ams 7:26; 23:27-28; Kej 3:12; Pkh 7:26). Mereka harus kerap kali ditentang dengan amaran ayah, dan amaran-amarannya haruslah dihargai.
Amsal ini tidak menekan ketaatan kepada arahan ayah, tetapi sebaliknya menekan supaya jangan melupakan atau mengabaikan nasihatnya. Kata kerja berbentuk perintah, “berpeganglah” difahami di sini sebagai ambil perhatian atau ambil peduli peraturan-peraturannya. Ini diketahui oleh konteks yang sebelumnya (Ams 7:1), dan konteks yang seterusnya (Ams 7:3), dan penjelasan yang berelipsis dalam ungkapan, “sebagai biji matamu” (Ams 7:2).
Ketika elipsis itu diisikan, amsal ini akan berbunyi, “Berpeganglah pada perintah-perintahku dan hidup; dan berpeganglah pada hukumku sebagai biji matamu”. Godaan besar yang dihadapi kebanyakan orang muda adalah untuk memperlekehkan nasihat ayah mereka tentang perempuan kerana kebebalan yang tertambat dalam hati mereka dan nafsu yang bergelora pada mata dan sanubari mereka (Ams 22:15; Maz 25:7; 2Tim 2:22; 1Yoh 2:16).
Simpulan bahasa, “biji mata”, bermaksud sesuatu yang dihargai dengan sanjungan yang paling tinggi. Ia sungguh berharga kerana anggota mata ini dipakai untuk melihat, dan sementara semua objek diperlihatkan melalui anggota tubuh ini, ungkapan ini memberi maksud sesuatu yang sungguh-sungguh berharga.
Ayah yang baik kerap kali memberi amaran kepada anak lelaki mereka tentang perempuan lacur. Salomo menekankan bahaya perempuan lacur dalam kitab Amsal (Ams 2:16-19; 5:1-23; 6:20-35; 7:1-27; 9:13-18; 22:14; 23:27-28; 30:20; 31:3). Mungkinkah pemberian amaran itu disebabkan oleh kegagalan ayahnya (2Sam 11:1-27)? Atau kegagalannya sendiri (1Raj 11:1-8)? Atau kegagalan Yehuda (Kej 38:12-26)? atau Simson (Hak 16:4-21)?
Dengan semula jadi, seseorang anak lelaki tidak menghargai amaran-amaran ayahnya. Dia memperdayakan dirinya sendiri untuk percaya bahawa ayahnya ketinggalan zaman, bahawa ayahnya terlalu membesar-besarkan bahaya itu, bahawa ayahnya ingin mengongkongnya daripada kenikmatan, bahawa ayahnya tidak pernah melihat perempuan yang mempersonakan, bahawa ayahnya tidak pernah ada nafsu seksual, atau bahawa dia dapat terlepas daripada kesan-kesan yang diceritakan ayahnya. Segalanya itu merupakan bohong berbahaya hasil hati orang muda yang bebal dan daripada bapa segala bohong.
Anak lelaki harus percaya kepada ayah dan menyanjungi nasihat dan amarannya. Setiap ayah pernah dahulu muda dengan keinginan-keinginan dan godaan-godaan yang sama. Tetapi seseorang ayah sudah mengharungi kemudaan dan telah banyak merenung apa yang paling baik bagi anak lelakinya. Dia ada kejayaan jangka masa panjang dalam fikirannya bagi anak, bukan kenikmatan jangka masa pendek yang akan membinasakan kehidupan anaknya. Ayah mengasihi anak lelaki mereka melebihi mana-mana pun perempuan yang akan mengasihi mereka, termasuk seorang isteri yang berakhlak mulia. Hai lelaki muda, peganglah perintah-perintah ayahmu!
Lelaki muda harus menahan daya tarikan dan daya godaan perempuan lacur dengan memastikan mindanya cukup teguh dimantapkan dalam perintah-perintah ayahnya jauh sebelum dia menemui makhluk yang bahaya ini. Ketika dia sedikit pun tertarik kepada wajah, pengampuan, atau tawaran perempuan yang penggoda, keadaannya sudah hampir mustahil untuk mengingati amaran ayah.
Tetapi apakah yang akan dibuat seorang lelaki muda yang ayahnya tidak mengajarnya atau tidak memberi amaran kepadanya tentang perempuan sedemikian? Dia akan menjadi lemah dan langsung tidak bertahan di hadapan daya tarikan kuasa tubuh dan perdayaan perempuan tersebut. Ayah sedemikian ialah penyubahat kepada pembinasaan anak lelakinya. Walaupun ayah itu mungkin pernah menasihati dan mewaspadai anaknya tentang banyak bahaya yang lain, dia telah mengabaikan apa yang paling mencelakakan. Hai kaum bapa, selamatkanlah anak-anak lelakimu!
Hai pembaca! Allah Bapamu telah memberi perintah-perintahNya dan hukumNya kepadamu. Adakah kamu berpegang kepadanya seperti menghargai biji matamu? Adakah kamu membacanya setiap hari? Adakah kamu merenungnya? Adakah kamu gementar di hadapan amaran-amarannya dan bersukacita ketika menerima arahannya? Atau adakah kamu memperdayakan dirimu sendiri bahawa kamu dapat melupakan atau mengabaikannya untuk hidup? Jangan menjadi seperti anak lelaki yang bebal.